Thursday, December 13, 2012

JANGAN PERBUDAKKAN ALLAH!


 
Alhamdulillah tengahari ini, Jumaat 14/12/2012 berkesempatan mendengar khutbah Jumaat oleh Mufti Musa Menk dari Zimbabwe di Masjid UIAM. Mufti menyentuh isu peperiksaan dan ujian. Pemilihan tajuk sebegini dibuat kerana mood peperiksaan yang dialami oleh para pelajar UIAM. Antara isi kandungan khutbah yang boleh dikongsi adalah:



KHUTBAH PERTAMA:

- Kita perlu bersyukur kepada Allah di atas segala ni’mat yang diberi, antaranya adalah ni’mat untuk mencari kelemahan diri dan seterusnya mencari cara untuk menghilang atau mengurangkan kelemahan tersebut. Ia disebut sebagai MUHASABAH.

- Sebagai manusia kita tidak mungkin dapat hidup tanpa Allah. Oleh itu senantiasalah berdamping dengan Allah sepanjang masa dan bukannya hanya pada musim peperiksaan.

- Antara ni’mat Allah kepada kita adalah ni’mat membaca dan menulis sedangkan kita dilahirkan secara jahil sebagaimana firman Allah:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur (al-Nahl[16:78]).


- Antara kebaikan peperiksaan adalah kita tidak tahu apakah keputusan kita selagi belum mendapat keputusan. Dengan rasa ketidaktahuan itu, kita terpaksa bergantung kepada Allah dengan cara berdoa. Ini antara ni’mat yang jarang kita sedari.


- Namun begitu, apa yang lebih penting adalah mendapat keputusan yang baik lagi cemerlang sehingga ke alam barzakh dan akhirat.


- Dalam interaksi kita dengan Allah melalui doa, kita harus sedar bahawa doa hanyalah berfungsi sebahagian sahaja daripada keseluruhan kehidupan kita, manakala bahagian berikutnya tetap bergantung kepada usaha kita. Usaha ikhtiar dan doa adalah 2 perkara yang amat disukai Allah. Ia selari dengan kehiduan manusia di dunia yang memerlukan usaha ikhtiar atau dalam lafaz Arabnya (الأخذ بالأسباب) iaitu bertindak melalui sebab musabab. Nabi SAW sendiri menekankan aspek ini dengan sabdanya:

الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Ertinya: Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah, daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu ada kebaikan (bagi kedua mereka). Bersungguhlah pada apa yang bermanfaat bagimu, mintalah tolong kepada Allah dan jangan berasa lemah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu (keburukan) maka jangan dikata: Kalaulah aku melakukan itu dan ini, akan tetapi katakanlah: Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya, kerana sesungguhnya perkataan KALAU itu membuka kepada perbuatan (hasutan) syaitan (Sahih Muslim).


-Kita juga mesti tahu tujuan utama kita bukan semata-mata mahukan kejayaan dalam ujian di dunia tetapi yang lebih utama kejayaan dalam ujian di akhirat kelak. Tujuan hidup orang beriman di dunia ini memerlukan pembelajaran dan usaha yang berterusan seumur hidup. Oleh itu, kita mesti tahu bahawa Allah senantiasa memerhatikan kita setiap saat.

- Kebanggaan sebenar bagi seorang mu’min adalah kejayaan atau graduasi pada hari akhirat dengan pemberian kitab amalan dengan tangan kanan sebagamana firmanNya:

فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ (19) إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ (20) فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (21) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (22) قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ (23) كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ (24)

Ertinya: Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! "Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!" Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, - Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), - Buah-buahannya dekat untuk dipetik. (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!" (al-Haqah[69:19-24]).


- Sebagai mu’min sejati kita mesti lebih mengutamakan tentang graduasi akhirat berbanding graduasi dunia kerana keterlaluan mengejar kejayaan dalam graduasi dunia mungkin menyebabkan kita terlupa graduasi akhirat.

- Untuk menjamin kejayaan graduasi akhirat kita mesti merebut segala peluang yang ada di dunia. Sesetengah kita amat beruntung kerana mempunyai peluang untuk belajar dan meni’mati kesenangan hidup berbanding saudara muslim kita di negara lain yang secara berterusan ditindas dan tidak memiliki peuang untuk belajar pun. Rebutlah peluang  sebagaimana sabda nabi:

إغتنم خمسا قبل خمس : حياتك قبل موتك ، وفراغك قبل شغلك ، وغناك قبل فقرك ، وشبابك قبل هرمك ، وصحتك قبل سقمك

Ertinya: Rebut 5 perkara sebelum 5 perkara: Hidup sebelum matimu, lapang sebelum tiba matimu, kaya sebelum tiba miskinmu, muda sebelum tiba waktu tuamu dan sihat sebelum tiba waktu sakitmu (Musannaf Ibn Abi Syaybah)

Kesimpulannya, kehidupan di dunia sebenarnya adalah universiti kehidupan yang selalu menyebabkan kita berdepan dengan ujian. 

- Kita mesti memastikan hari ini lebih baik dari semalam. Jika ia tidak berlaku, bermakna kita menjadi orang yang paling rugi. Usaha memastikan hari ini lebih baik dari semalam bertepatan dengan firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan (al-Hasyr[59:18]).


KHUTBAH KEDUA:


- Sekiranya anda gagal dalam ujian atau peperiksaan di dunia, jangan jadikan ia sebab untuk anda berasa tertekan kerana kegagalan sebenar adalah kegagalan pada hari kiamat kelak. Orang yang gagal menerima kegagalan di dunia sebenar orang yang tidak mempunyai iman yang cukup tentang penentuan taqdir Allah.

- Ketika berhadapan dengan ujian di dunia, kebiasaannya manusia akan banyak bedampingan dengan Allah dengan ibadat sunat dan doa demi menjamin pengurniaan kejayaan dari Allah. Perlu diingat bahawa hubungan kita dengan Allah tidak sepatutnya bermusim kerana ia seumpama memperbudakkan Allah. Seolah-olah Allah amat memerlukan doa dan ibadat kita. Maha suci Allah dari semua itu. Jangan kita memperbudak-budakan Allah dengan ibadat bermusim sebagaimana kanak-kanak diperbodohkan dengan gula-gula. Jangan juga hanya mengenal Allah apabila menghidap sakit kronik. Kita mesti senantiasa mengingati Allah sebagaimana sabda nabi SAW:

احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ أَمَامَكَ تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ
 وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ

Ertinya: Jagalah (hak) Allah, sudah pasti Dia akan menjagamu, jagalah (hak) Allah, maka kamu akan mendapatinya (seakan-akan berada) di depanmu. Kenalilah (ingat) Dia pada waktu senangmu sudah pasti Dia akan mengenalmu pada waktu susahmu. Apabila kamu memohon sesuatu makan mohonlah kepada Allah dan apabila kamu mahu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan itu kepada Allah (Musnad Ahmad dan Mustadrak al-Hakim).



Sekian, inilah antara sedikit sebanyak yang mampu saya kongsi. Semoga memberi manafaat kepada semua.

Thursday, November 29, 2012

HATI-HATI MEMILIH KAWAN


Pagi ini (30 November 2012) masuk majlis al-Liqa’ al-Syahri di dewan utama UIAM, Gombak. Sebelum majlis bermula kami dipertontonkan bacaan al-Quran dari surah al-Furqan. Lantas saya ingin berkongsi sesuatu yang berharga di sini,

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا (27) يَا وَيْلَتَا لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا (28) لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا (29)

Ertinya: Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)" (al-Furqan[25:27]).


Menurut riwayat, lelaki yang menyesal dalam ayat di atas adalah ‘Uqbah Ibn Abi Mu’ayt. Beliau pada awalnya memeluk Islam, tetapi kembali murtad kerana ingin menjaga hati kawannya Ubayy Ibn Khalaf. Di akhirat kelak ‘Uqbah menyesal kerana menjadikan Ubayy sebagai teman yang membawanya ke neraka (Tafsir al-Tabari).

Benarlah sabda nabi:

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً


Ertinya: Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya yang busuk kepada badanmu (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, November 28, 2012

SENI BERDOA AGAR MUDAH DITERIMA ALLAH



Malam tadi (27 November 2012) mengajar surah awal Maryam (ayat 1-11). Antara pengajaran menarik adalah kisah doa nabi Zakariyya AS kepada Allah memohon anak. Firman Allah:


إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)

Ertinya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan [3].

Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu [4].

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki [5].

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai [6]" (Maryam[19:3-6]).

 

TERDAPAT BEBERAPA RAHSIA MENGAPA DOA BAGINDA DITERIMA, IAITU:

1) Baginda berdoa dengan suara yang lembut yang jelas menunjukkan kerendahan hati (ayat 3).

* Dalam ayat lain Allah mengarahkan doa dibuat secara perlahan:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Ertinya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf[7:55]).

Juga firmanNya:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Ertinya: Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai (al-A’raf[7:205]).


2) Baginda mengakui kelemahan diri yang sudah tua, lemah dan beruban (ayat 4).

* Sikap ini juga digunakan nabi Adam dalam doa taubatnya:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Ertinya: Mereka berdua (Adam dan Hawwa’) merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi" (al-A’raf[7:23]).




*Ia juga sikap nabi Yunus:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri” (al-Anbiya’[21:87]).


*Juga sikap nabi Musa ketika berdoa setelah melarikan diri dari Mesir tanpa apa-apa bekalan makanan:

فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Ertinya: Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas[28:24]).


3) Baginda memuji Allah yang tidak pernah menghampakan doanya sebelum itu (ayat 4).


4) Baginda mengutamakan kepentingan agama mengatasi kepentingan dirinya sendiri. Baginda mengharapkan anak yang bakal menjaga urusan agama keluarganya yang dibimbangi terhakis selepas kematian baginda (ayat 5).

*Ia sama seperti sikap nabi Isa AS yang mengutamakan aspek agama mengatasi soal duniawi dalam doanya kepada Allah ketika memohon hidangan dari langit:

قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki" (al-Ma’idah[5:14]).


* Juga doa nabi Ibrahim semasa meninggalkan Hajar dan Isma’il di lembah kontang Mekah:

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim[14:37]).


KESIMPULANNYA: Seni berdoa amat penting bagi memudahkan penerimaan Allah. Antara yang diajar oleh al-Quran adalah merendah diri dengan segala kelemahan, memuji serta mengagungkan Allah dan mengutamakan kepentingan agama mengatasi kehendak sendiri. Contohnya ialah: Ya Allah! Selamatkan perjalananku pulang ke kampong halaman, tujuanku adalah INGIN MENGHUBUNG SILATURAHIM yang Engkau arahkan!




Tuesday, November 27, 2012

SEGALA PUJI BAGI ALLAH YANG MENGHADKAN GEGENDANG TELINGA MANUSIA PADA SESETENGAH FREKUENSI BUNYI SAHAJA



Malam tadi (Isnin @ 26 November 2012) dalam kelas berbincang panjang tentang isu adakah manusia mampu melihat jin. Saya bertegas membawa pendapat Imam Syafie yang menghukum manusia tidak boleh melihat Jin dalam bentuk asal kerana ia disebut al-Quran:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Ertinya: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka (al-A’raf[7:27]).

Imam al-Syafie menghukum orang yang mendakwa mampu melihat jin seolah menentang maksud al-Quran (Tafsir al-Alusi).

Lagipun, Allah menciptkan manusia dengan segala panca indera yang SESUAI UNTUK MANUSIA. Buat apa sibuk nak melihat jin? Hidup manusia PASTINYA LEBIH SELESA DAN AMAN TANPA MELIHAT JIN. Samalah juga Allah mencipta GEGENDANG TELINGA manusia yang hanya mampu menangkap sesetengah frekuensi bunyi sahaja tidak seperti kemampuan sesetengah haiwan (anjing, gajah) yang mampu mendengar dan menangkap frekuensi yang lebih tinggi. Kalau manusia mampu mendengar semua frekuensi bunyi, sudah pasti hidup manusia akan terganggu..



Barangkali inilah juga maksud firman Allah:

قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَى

Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: KEJADIAN SEMULAJADINYA YANG SESUAI DENGANNYA, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya" (Taha[20:50]).

Qaddara dalam ayat ini ditafsirkan oleh sesetengah mufassir sebagai: Allah memberikan setiap makhluk ciptanNya apa yang sesuai dengan bentuk ciptaannya, Allah tidak menjadikan manusia seperti penciptaan haiwan (Tafsir Ibn Kathir).

Seolah-olah ia menyebut, kalau sesetengah haiwan mampu melihat sesuatu SESUAI DENGAN KEMAMPUAN ciptaannya seperti keldai mampu melihat syaitan dan ayam yang mampu melihat malaikat, maka ia khusus untuk haiwan itu sahaja. Sabda nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ  فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaanNya kerana ayam itu telah meilhat malaikat, manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana keldai itu telah melihat syaitan (Sahih al-Bukhari & Muslim).
  

 * USAHLAH MENGHARAP SESUATU YANG BUKAN UNTUK SPESIS MANUSIA!