Malam tadi (27 November 2012) mengajar surah awal
Maryam (ayat 1-11). Antara pengajaran menarik adalah kisah doa nabi Zakariyya AS
kepada Allah memohon anak. Firman Allah:
إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ
إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ
بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي
وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي
وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)
Ertinya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi
Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan [3].
Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya
telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan
aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku
kepadaMu [4].
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan
kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan
isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari
sisiMu seorang anak lelaki [5].
Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi
keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai
serta disukai [6]" (Maryam[19:3-6]).
TERDAPAT
BEBERAPA RAHSIA MENGAPA DOA BAGINDA DITERIMA, IAITU:
1) Baginda
berdoa dengan suara yang lembut yang jelas menunjukkan kerendahan hati (ayat 3).
* Dalam
ayat lain Allah mengarahkan doa dibuat secara perlahan:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا
يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Ertinya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan
merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf[7:55]).
Juga
firmanNya:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً
وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ
الْغَافِلِينَ
Ertinya:
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri
serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula
menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang yang lalai (al-A’raf[7:205]).
2) Baginda mengakui
kelemahan diri yang sudah tua, lemah dan beruban (ayat 4).
* Sikap
ini juga digunakan nabi Adam dalam doa taubatnya:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ
تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Ertinya: Mereka berdua (Adam dan Hawwa’) merayu:
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau
Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya
menjadilah kami dari orang-orang yang rugi" (al-A’raf[7:23]).
*Ia juga
sikap nabi Yunus:
وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ
لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun,
ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia
menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah
berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang
gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat
menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan
aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang
menganiaya diri sendiri” (al-Anbiya’[21:87]).
*Juga
sikap nabi Musa ketika berdoa setelah melarikan diri dari Mesir tanpa apa-apa
bekalan makanan:
فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Ertinya: Maka Musa pun memberi minum kepada
binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada
sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas[28:24]).
3) Baginda memuji Allah yang tidak pernah
menghampakan doanya sebelum itu (ayat 4).
4) Baginda mengutamakan kepentingan agama
mengatasi kepentingan dirinya sendiri. Baginda mengharapkan anak yang bakal
menjaga urusan agama keluarganya yang dibimbangi terhakis selepas kematian
baginda (ayat 5).
*Ia sama seperti sikap nabi Isa AS yang
mengutamakan aspek agama mengatasi soal duniawi dalam doanya kepada Allah
ketika memohon hidangan dari langit:
قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا
أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا
وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke
hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada
kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi
kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan
sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan
kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah
sebaik-baik Pemberi rezeki" (al-Ma’idah[5:14]).
* Juga doa nabi Ibrahim semasa meninggalkan Hajar
dan Isma’il di lembah kontang Mekah:
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ
غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ
فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ
الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah
(Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan
mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka
mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah
hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang
beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai
jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim[14:37]).
KESIMPULANNYA: Seni berdoa amat penting bagi memudahkan
penerimaan Allah. Antara yang diajar oleh al-Quran adalah merendah diri dengan
segala kelemahan, memuji serta mengagungkan Allah dan mengutamakan kepentingan
agama mengatasi kehendak sendiri. Contohnya ialah: Ya Allah! Selamatkan
perjalananku pulang ke kampong halaman, tujuanku adalah INGIN MENGHUBUNG
SILATURAHIM yang Engkau arahkan!
No comments:
Post a Comment