Sempena sambutan hari Raya Aidil Fitri yang
bakal menjelma pada 1 Syawwal 1433H ini, pihak Multaqa Asatizah dan Du’at
(MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin memberikan nasihat
berkaitan Hari Raya ‘Idul Fitri dan juga aspek keselamatan Jalan Raya semasa
pulang berhari raya.
Sambutan hari raya adalah suatu
anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam (al-Baqarah[2:185]).
Kepulangan berhari raya sepatutnya menjadi suatu kesinambungan rahmat tersebut
dengan menjaga adab semasa berada di jalan raya dan menyambut ‘Idul Fitri.
Pesanan ini merangkumi dua perkara iaitu;
SAMBUTAN ‘IDUL FITRI
Sambutan ‘Idul Fitri sejurus
berakhirnya sekolah Ramadhan adalah suatu lambang kejayaan mendidik jiwa
manusia mencapai martabat taqwa sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu
daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
Anugerah Taqwa yang diperolehi
dari latihan Ramadhan bakal menjadi pembimbing bagi umat Islam untuk menempuh
kehidupan sepanjang hayat sebagaimana firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman!
Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk)
yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah
(sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal[8:29]).
Oleh itu, sewajibnya ‘Idul Fitri
disambut dalam kerangka taqwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang
bakal merosakkan amalan yang sudah dikerjakan pada bulan Ramadhan mesti
dielakkan. Oleh itu, MURSHID menegaskan beberapa panduan kepada pihak berikut:
1) Umat Islam perlu mengambil
perhatian tentang adab dan garis panduan sambutan ‘Idul Fitri menurut Islam,
antaranya:
· Memastikan zakat fitrah untuk diri sendiri
dan tanggungan ditunaikan sebelum selesai menunaikan solat sunat ‘Idul Fitri.
· Memperbanyakkan ingatan terhadap Allah dan
ketaatn terhadapNya dalam setiap tindakan sewaktu musim raya.
· Menjauhi rasuah dalam bisnes dalam bentuk
duit atau hamper raya sama ada selaku pemberi atau penerima.
· Menjauhi sifat
banding-membanding pemilikan harta di antara satu sama lain sewaktu berhari
raya. Tindakan tersebut tidak lain hanyaalah akan membawa kepada perasaaan ujub
dan takbur bagi mereka yang mempunyai lebihan harta manakala rendah diri kepada
mereka yang kurang. Sedangkan menurut ajaran Islam, kita adalah bersaudara dan
kemuliaan tidak terletak pada harta fizikal individu namun pada taqwa di dalam
hati.
· Mengelakkan dosa dalam keghairahan berhari
raya seperti pembaziran dan pemborosan melampau dalam perbelanjaan membeli
peralatan hari raya dan juga penganjuran rumah terbuka.
· Mengelakkan dalam menambahkan hutang bagi
hal yang tidak mendesak sempena menyambut hari raya.
· Hindari diri dari memperagakan pakaian yang
tidak menepati syariat Islam, tidak menjaga batasan hubungan antara lelaki dan
perempuan yang bukan mahram sehingga bercampur gaul dan saling bersentuhan.
· Mengelakkan sifat bakhil jika berkemampuan
dan menjaga nafqah yang wajib bagi keluarga, kebajikan ibu bapa, anak-anak,
saudara mara, jiran tetangga dan sebagainya dengan menyediakan jamuan yang
selayakknya dengan kemampuan diri serta mengeratkan silaturahim.
· Mengambil peluang keemasan pahala berganda
berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal serta tidak mencerita dan menghebahkan
bilangan puasa sunat syawal yang sedang atau telah dilakukan tanpa keperluan
kerana ia hanya akan membatalkan pahala puasa berkenaan.
2) Mencadangkan agar otoriti agama yang
berwajib serta berkuasa di Malaysia memberikan garis panduan khusus tentang apa
yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam sambutan hari raya menurut Islam
khususnya yang merangkumi beberapa perkara utama seperti penyediaan garis
panduan rancangan TV dalam sambutan hari raya kerana media penyiaran memainkan
peranan penting dalam pembentukan masyarakat. MURSHID amat berharap agar status
“IBADAH” dalam sambutan hari raya tidak dirosakkan dengan stigma “PERAYAAN
BUDAYA” dan lambakan hiburan dalam media penyiaran dalam sambutan hari raya.
Kalau perlu konsep LOGO HALAL dalam penerbitan sesebuah rancangan TV sempena
sambutan hari raya turut dipraktikkan dengan perlantikan pakar dalam bidang
hiburan Islam
3) Pihak media cetak dan penyiaran perlu lebih
sensitif dengan kehendak Islam terutama sekali dalam isu yang melibatkan IBADAH
seperti sambutan hari raya. MURSHID menyeru agar pihak media menjadi agen
dakwah kepada masyarakat, bukan hanya pengaut keuntungan yang asyik mencapai
sasaran RATING.
KESELAMATAN JALAN RAYA
Kemalangan dan kecelakaan di
jalan raya boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti sikap pemandu, keadaan
kenderaan, keadaan cuaca dan keadaan alam sekitar atau jalan raya yang
digunakan. Oleh itu, aspek pengurusan risiko perlu diperhatikan oleh semua
pihak dan untuk itu MURSHID mencadangkan beberapa perkara iaitu;
1) Menyeru para pemandu jalan raya yang bakal
pulang berhari raya agar membuat persiapan sebaik mungkin dengan mengambil kira
2 aspek;
· Persiapan fizikal merangkumi keadaan
kenderaan yang selamat, kecerdasan minda semasa memandu, keadaan cuaca serta
kesesuaian waktu. Sebarang kepincangan pada aspek persiapan fizikal mungkin
akan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Perlu diingat tanggungjawab
menjaga keselamatan jalan raya turut melibatkan ahli keluarga sendiri dan
keluarga orang lain.
· Persiapan rohani dan mental. Pemanduan untuk
suatu jarak yang jauh seumpama jihad yang memerlukan kesabaran dan ketinggian
akhlak. Sikap tidak sabar ketika memandu bakal mengundang masalah yang turut
sama membahayakan diri sendiri dan orang lain. Akhlak yang buruk semasa berada
di jalan raya amat bertentangan dengan ajaran Islam dan melibatkan persoalan
dosa dan pahala. Larangan memudaratkan orang lain jelas disebut oleh sebuah
hadith:
لا ضرر ولا ضرار
Tidak boleh memberikan mudarat dan
memudaratkan orang lain (Sunan Ibn Majah).
2) Menyeru pihak berwajib yang berkaitan
secara langsung dengan aspek keselamatan jalan raya seperti pihak POLIS,
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR),
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan syarikat
pengendali lebuh raya agar menggunakan pendekatan yang lebih mesra Islam untuk
menyedarkan pihak pengguna jalan raya tentang aspek keselamatan yang sebenarnya
melibatkan soal dosa dan pahala.
Pihak MURSHID mencadangkan agar Ayat al-Quran
yang terpilih digunakan sebagai bahan kempen keselamatan jalan raya. Umat Islam
yang mempercayai keunggulan al-Quran sudah pasti akan lebih terkesan dengan
mesej Allah kepada mereka di sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Ayat-ayat
tersebut boleh ditulis dengan besar dan jelas, bersama-sama dengan
terjemahannya untuk diletakkan pada papan tanda di sepanjang jalan raya utama
seluruh Negara. Lebih-lebih lagi diletakkan pada tempat yang mempunyai kadar
kemalangan yang tinggi. Antara ayat al-Quran yang boleh dicadangkan adalah:
- Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (Al-Baqarah[2:195])
- Setiap jiwa akan merasai kematian (Ali ‘Imran[3:185], al-Anbiya’[21:35] dan al-`Ankabut[27:57]).
- Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (Al-Nisa’[4:78]).
- Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’[4:29]).
- Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’[17:33]).
- Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah[2:153]).
- Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu (Al-Ra’d[13:24]).
3) Pihak media (cetak atau eletronik) perlu
memainkan peranan pro-aktif dalam menyiarkan kempen keselamatan jalan raya yang
lebih Islamik seperti mengambil fatwa terpilih daripada badan fatwa dunia bagi
lebih menyedarkan lagi para pengguna jalan raya.
Sekian,
Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
28 Ramadan 1433 Hijri
Ahli-ahli MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
(Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman
No comments:
Post a Comment