Tuesday, October 21, 2008

Jadikan al-Quran dekat di mata, lekat di hati

Utusan Malaysia,Tuesday, January 01, 2008




Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz.


Allah berfirman, Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)

Kehebatan al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat sebagai petunjuk kepada manusia bukanlah rahsia. Namun, masih ramai yang tidak mahu menjadikannya sebagai panduan hidup.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ABD. RAHMAN SALLEH menemu bual pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-hafiz untuk mengupas isu ini.

MEGA: Mengapakah manusia perlukan al-Quran sebagai panduan dalam hidup?

ABDULLAH: Allah sebagai pencipta makhluk termasuk manusia sudah tentu arif dan amat mengetahui apakah keperluan manusia. Sebab itu kita perlu menjadikan al-Quran sebagai manual kehidupan. Manusia yang semata-mata bergantung kepada logik akal tidak semestinya akan betul.

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir Al-Munir, hidayah atau petunjuk Allah ada lima tingkatan. Inilah yang selalu kita baca dalam al-fatihah iaitu ihdinas siratal mustaqim (tunjukilah kami jalan yang lurus).

Pertama, adalah petunjuk naluri yang sama-sama dimiliki oleh manusia dan juga haiwan. Contohnya, apabila lapar, bayi akan menangis.

Kedua, petunjuk perasaan. Contohnya, bayi atau kanak-kanak apabila dimarah mereka akan berkecil hati.

Ketiga, petunjuk akal fikiran. Tetapi ia tidak semestinya betul kerana akal kita tidak dapat menjangkau perkara yang ghaib.

Keempat, petunjuk agama sebagai panduan dengan al-Quran sebagai kitab yang mengandungi petunjuk, cahaya dan hidayah.

Kelima, taufik iaitu supaya kita sentiasa konsisten berada di dalam petunjuk Allah. Dengan taufik ini, graf iman kita akan bertambah dari hari ke hari. Untuk mencapai tahap ini memerlukan kepada ilmu dan penghayatan terutama ilmu bersumberkan al-Quran dan sunah.

Akal manusia ada hadnya di mana kita tidak mampu melihat kenikmatan syurga atau pun azab neraka Allah. Demikian juga aliran elektrik di dalam wayar. Kita tidak dapat melihatnya tetapi ia ada. Sebab itu, tidak mesti benda yang tidak nampak oleh mata kasar itu tidak ada.

Apakah ayat-ayat yang boleh diperluaskan kegunaannya dalam berdakwah kepada orang Islam dan bukan Islam?

ABDULLAH: Allah adalah tuhan dan pencipta sekelian alam termasuklah pencipta kepada mereka yang bukan Islam. Cuma bezanya ialah dari segi akidah. Orang Islam berpegang kepada tauhid rububiyah dan uluhiyah.

Rububiyah bermaksud semua makhluk ini ada pencipta dan pemelihara-Nya. Ini mempunyai persamaan dengan agama lain yang juga percaya semua makhluk itu ada penciptanya.

Yang membezakan kita dengan bukan Islam ialah tauhid uluhiyah iaitu sifat Allah yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya, ditumpui, dipohonkan mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka.

Dalam berdakwah tidak semestinya kita hanya mengambil ayat-ayat berkaitan akidah. Sebabnya masih banyak lagi ayat Allah yang berkaitan aspek kehidupan dan sosial yang mampu menjangkau sempadan agama.

Antaranya, ayat yang menerangkan interaksi antara pelbagai kaum sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah dalam surah al-Hujurat: 13.

Dalam bab menjaga alam sekitar pula, kita boleh merujuk kepada surah ar-Rum: 41 yang membicarakan berlakunya pelbagai kerosakan di muka bumi akibat perbuatan manusia. Malangnya, dalam bab menjaga alam sekitar ini adakalanya orang bukan Islam lebih peka berbanding umat Islam.

Dalam bab sembahan orang bukan Islam misalnya, kita juga dilarang mencerca tuhan mereka atau menimbulkan provokasi akidah kepada agama mereka sebagaimana dijelaskan dalam surah al-An’aam: 108.

Untuk mengelak kemalangan jalan raya pula, kita boleh menggunakan surah an-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud, Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihi kamu. Ayat ini beserta maksudnya boleh ditampal di tepi lebuh raya untuk memberi peringatan supaya memandu secara berhemah.

Ayat-ayat al-Quran digantung di rumah dan kedai bukanlah senario luar biasa di negara kita. Namun, apakah signifikan perbuatan ini kepada umat Islam?

ABDULLAH: Ayat-ayat Allah yang digantung sebagai perhiasan semata-mata tidak akan membawa apa-apa erti jika ia tidak diamalkan dalam kehidupan.

Bagaimanapun, ramai yang salah faham tentang ayat al-Quran dan menggunakannya bagi tujuan materialistik. Sehinggakan sesetengah ayat itu mempunyai nama tertentu.

Contohnya, ayat untuk melepasi sekatan kastam iaitu surah Yasin ayat 9; ayat pengasih (Ali-Imran: 14 & 31); ayat sakit mata (Yusuf: 93 & Qaf: 22); mengubat sakit jantung (Yunus: 57); sakit kepala (al-Waaqiah: 19) dan sakit tulang (Yasin: 78 & 79).

Hal ini berlaku mungkin kerana salah tafsiran maksud perkataan syifa’ dalam surah al-Israk: 82 yang difahami sebagai penyembuh penyakit. Menurut Imam Ibnu Kathir, maksud syifa’ di sini ialah menghilang atau mengubati penyakit hati seperti ragu tentang kewujudan Allah, sifat munafik, syirik atau terpesong daripada kebenaran.

Jadi, adakah salah kita menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam kaedah perubatan?

ABDULLAH: Tidak salah kita berubat dengan ayat-ayat Allah tetapi tuntutan yang lebih utama ialah memahami ayat itu mengikut maksud yang sebenar. Al-Quran boleh dijadikan ubat kerana ia mukjizat Allah.

Jika ayat-ayat al-Quran diturunkan semata-mata untuk perubatan fizikal seperti kepercayaan sesetengah orang mengapa Rasulullah dan para sahabatnya bermati-matian berperang untuk mempertahankannya? Sudah pasti ada sesuatu yang lebih penting di sebalik itu.

Persoalannya bagaimana menjadikan manusia ketagih membaca al-Quran?

ABDULLAH: Kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Demikianlah ibaratnya kita dengan al-Quran. Nampak macam dekat tetapi sebenarnya al-Quran jauh dari kita.

Kita membaca al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami tafsirannya secara betul atau mengenali al-Quran dalam erti kata sebenar. Oleh sebab itulah, Al-Imam Al-Zamakhzyari mengatakan belajar tafsir al-Quran untuk benar-benar memahaminya adalah fardu ain. Hakikatnya, sesiapa yang mendampingi kitab suci ini dalam erti kata memahaminya akan merasai ia sesuatu yang tidak akan habis digali.

Ramai tidak ketagih membaca dan menghayati al-Quran disebabkan kita gagal mencontohi kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah.

Baginda mengamalkan empat cara di dalam membawa al-Quran kepada generasi sahabat iaitu tilawah- membaca secara betul dan bertajwid kepada para sahabat; menafsirkan ayat supaya tidak ada lagi keraguan; menyuruh sahabat mengamal/menghayati ayat tersebut dan menyuruh mereka menghafalnya.

Pendek kata, kombinasi empat perkara ini mampu melahirkan insan yang berperibadi al-Quran.

Kesilapan kita sekarang adalah tumpuan yang berlebihan mempelajari ilmu tajwid sahaja atau mempelajari tafsir tetapi mengabaikan kepentingan tajwid atau menghafal tanpa memahami al-Quran.

Sesetengah masjid dan surau menyiarkan bacaan al-Quran melalui pembesar suara. Adakah ini bertepatan dengan ajaran Islam?

ABDULLAH: Memang pada mata kasar manusia yang dangkal ilmunya perbuatan sedemikian tidak salah. Namun, kalam Allah itu tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.

Sebenarnya ini adalah satu lagi kesilapan berinteraksi dengan al-Quran akibat kejahilan. Allah menegaskan dalam firman-Nya, Dan apabila al-Quran itu dibacakan maka dengarlah serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat. (al-A’raaf: 204).

Perkataan dengarlah dalam ayat ini bermaksud mendengar dengan penuh perhatian.

Ibnu Jauzi dalam bukunya, Talbis Iblis (Belitan/Tipuan iblis) menyifatkan di antara orang yang ditipu oleh iblis ialah sesetengah orang yang memperdengarkan bacaan al-Quran di menara masjid pada waktu malam dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang tidur.

Situasi yang sama boleh dikaitkan dengan penggunaan pembesar suara. Perbuatan begini sudah pasti menganggu masyarakat sekeliling yang sedang beristirehat, juga menjadi provokasi kepada bukan Islam. Provokasi dilarang sebagai dalam ayat 108 surah al-An’aam di atas.

Tambah buruk lagi ia mengakibatkan orang bukan Islam mengutuk al-Quran sebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi yang membawa kepada penurunan ayat 110 surah al-Israk.

Selain itu, pastinya kita tidak dapat menjamin masyarakat sekeliling akan diam mendengar ayat-ayat Allah yang diperdengarkan itu. Akibatnya, niat yang nampaknya baik bertukar menghina al-Quran itu sendiri.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments: