Monday, February 16, 2009

Rakyat muak, generasi muda alergik dengan Umno - Dr Asri

Azamin Amin
Tue | Feb 17, 09 | 12:49:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -"PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya."
Iklan


Suaranya vokal dan adakalanya kontroversi namun ramai yang 'merindui' pendapatnya yang berpaksikan tafsiran agama dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN sekali lagi mendapatkan pandangan kritis bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abdin yang kini berada di Lampeter, United Kongdom. Beliau sedang menjalankan kajian atas perbandingan tafsiran hadis antara kelompok tradisi dan modernis serta dalam cuti sabatikal yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia.

Harakah: Mengapa Dr. lebih awal meletakkan jawatan sebagai Mufti dan tidak berhasrat menyambung semula ? Inikah yang dinamakan berundur sebelum berjuang? Boleh beritahu sebab letak jawatan sebenarnya?

Dr Asri: Ya! Ratusan email, sms dan berbagai yang dihantar kepada saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan saya meninggalkan jawatan mufti. Mereka berpendapat saya membuat keputusan yang tidak tepat. Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan mereka.

Saya bertawakkal kepada Allah atas segala perancangan. Sekarang ini pun banyak email yang dihantar menjemput saya pulang dengan ditawarkan berbagai-bagai urusan atau 'tanggungjawab'. Biarlah dulu saya di sini.

Saya tidak jadi mufti untuk mengaut kesenangan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Saya serahkan urusan jiwa ini kepada Allah. Saya hanya ingin menjadikan jawatan itu sebagai medan tanggungjawab dan menyampaikan mesej Islam yang saya fahami. Saya berdoa kepada Allah sebelum menjadi mufti agar diberikan pertolongan kepada saya.

Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi dalam tempoh tersebut pandangan dan isu yang saya lontar telah menjadi bahan perbincangan ilmu dalam masyarakat. Soal pro dan kontra itu perkara biasa. Jika perkara itu tiada pro dan kontra bererti tiada siapa yang mengambil peduli mengenainya. Banyak bahan telah saya tulis dalam tempoh tersebut dan tersebar dengan begitu luas. Begitu juga ceramah, kertas kerja, wawancara saya di sana-sini menjadi bahan yang diperbincangkan dengan meluas.

Alhamdulillah, generasi muda dan lapisan terpelajar yang suka membaca sebelum membuat penilaian, yang tidak menjadikan maki-hamun sebagai landasan hidup, yang tidak mengulas sebelum mengetahui, mereka ini begitu ramai yang memberikan sokongan yang besar kepada saya.

Dalam politik juga saya rasa, alhamdulillah, akhirnya banyak pihak akur bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam memberikan pandangan. Saya beberapa kali dijemput oleh Kerajaan Kelantan. Kali terakhir sebelum saya berhenti, saya sempat hadir jemputan ceramah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Tabung Serambi Mekah yang di lancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehari kemudian, saya dijemput oleh Perdana Menteri untuk memberikan ceramah khas kepada ahli kabinet dan Majlis Tertinggi Umno dan hadirin yang hadir.

Beberapa hari kemudian saya dijemput oleh Pemuda Parti Keadilan untuk memberikan tazkirah, tapi saya tidak sempat. Semasa saya sampai ke United Kingdom, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjemput saya memberikan ucapan dalam Majlis DAP. Cuma saya tidak dapat pulang.

Saya berharap saya sudah cuba melakukan sesuatu. Saya cuba mengemukakan 'politik idea' mengatasi sempadan politik kepartian. Apa yang menjadi matlamat bukan menegakkan parti tertentu, tetapi menegakkan fikrah Islamiyyah yang lebih besar dari kesempitan parti.

Alhamdulillah, jumlah pembaca artikel saya juga begitu besar. Melalui ruangan saya dalam Minda Mufti, saya bersahabat baik dengan berbagai insan ternama. Saya rasa banyak mesej saya telah sampai. Saya memerah tenaga dalam tempoh dua tahun. Bersabar atas kerenah mereka yang suka memfitnah atau mengganggu perjalanan tersebut. Saya harap Allah berikan pahala atas itu semua. Harakah sendiri pada awalnya begitu prajudis, tetapi setahun tahun sebelum saya berhenti, kelihatannya positif.

Akhirnya, apabila saya rasa ruang jawatan itu 'sudah mula sempit' atau sudah memadai, maka saya beristikharah untuk berhenti. Itupun baik juga. Ia menafikan fitnah mereka yang 'tidak sayang lidah mereka di akhirat' bahawa kenyataan atau pendapat saya selama ini untuk kesinambungan jawatan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Semoga Allah merezekikan kita semua melihat jawatan dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan gerun.

.Dr. dilihat sangat vokal dan adakalanya 'mempersembahkan' pemikiran agama dari sudut yang berbeza, adakah mencari kelainan serta seringkali mentafsirkan hukum agama dari sudut yang berbeza dan adakalanya tidak pernah didengari umum seperti soal-soal bidaah seperti kenduri arwah, tahlil di kubur dan dikatakan tidak mengikut tradisi yang telah dilakukan oleh nenek moyang? Adakah mereka tidak betul sebelum itu ? Malah Dr. dilabel sebagai liberal, kaum muda dan wahabi dan sebagainya lantaran pembaharuan yang dibawa?

Inilah masalah sesetengah pihak. Mereka tidak dapat menerima orang lain berbeza pendapat dengan mereka. Melabel orang tanpa asas yang jelas adalah budaya buruk.

Dahulu masa Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum menjadi Menteri Besar pun terkena tohmahan yang sama ketika beliau melontarkan beberapa pandangan yang berbeza dengan pengajian biasa di pondok-pondok. Syeikh Abu Bakar al-Baqir dari Gunung Semanggol yang mengasaskan Hizbul Muslimin semasa hayatnya dituduh sebagai kaum muda dan sesat. Prof. Burhanudin al-Helmi juga pernah dituduh sebagai kaum muda. Demikian Sayyid Syeikh al-Hadi, Za�ba dan berbagai lagi pejuang perubahan dituduh dengan tuduhan yang sama.

Saya teringatkan kata-kata Za�ba dalam bukunya "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca.

Antara katanya:"Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti "sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu" dan berbagai-bagai lagi.

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat�. Demikian kata Za�ba.

Apabila saya menjadi mufti sesetengah pihak menunggu agar saya membangkitkan isu-isu tradisi melayu seperti kenduri arwah dan seumpamanya. Namun mereka tersilap, alhamdulillah perhitungan dan fokus pemikiran Islam saya merentasi kesempitan isu yang mereka tunggu bagaikan nak �kiamat� itu. Ada anda lihat isu kenduri arwah menjadi tajuk utama akhbar dalam senarai puluhan isu yang telah saya bangkitkan.

Maksudnya kenduri arwah itu sudah lama dilarang?

Kemudian, saya ingin bertanya, apakah jika seseorang tidak mahu kenduri arwah maka dia menjadi wahabi? Kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut:

"Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya�.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya."

Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok." Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Saya tidak tahu apa itu wahabi melainkan setelah mereka menyebut perkataan tersebut lalu saya terpaksa mencari maksudnya. Saya bukan penggemar buku Muhammad bin �Abdul Wahhab. Tetapi, jika anda menuduh saya amat terpengaruh dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, itu mungkin benar.

Saya seperti yang Dr. Yusuf al-Qaradawi sebut tentang dirinya dalam buku Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah, kata Dr al-Qaradawi: "Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku".

Saya rasa, saya pun demikian. Namun, alhamdulillah, saya tidak fanatik Ibn Taimiyyah seperti mereka yang fanatik mazhab. Seperti kata al-Imam Malik bin Anas:"Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya, melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum�.

Mengapa lagu Dr. bertajuk "Aku Bukan Musuh Harta" yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa, Aishah dan kumpulan baru Algebra diharamkan oleh RTM?

Sebenarnya banyak pihak tersalah faham. Album tersebut bukan terbitan saya. Pihak penerbit mengambil puisi-puisi saya dengan keizinan dan dijadikan lagu. Itu sahaja. Mereka jemput saya baca dua puisi dalam album tersebut. Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' adalah salah satu daripada puisi saya. Saya tidak berkempen untuk saudara membeli album itu, kerana bukan semua orang setuju dan suka dengar lagu.

Cuma saya pun hairan jika lirik itu menjadi ketakutan kepada RTM. Barangkali mereka takut ramai yang terasa pedas. Saya hairan, jika benar mereka ingin membantu memerangi rasuah, biarlah lirik itu dilagukan. Entah berapa banyak lirik yang merepek boleh dibenarkan. Saya teringat kata-kata Presiden PAS Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang kebetulan agak baik dengan saya. Katanya: "Orang kalau salah, dia tengok polis nak balik rumah pun dia takut."

Kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan di Kuala Terengganu oleh Abdul Wahid Endut daripada PAS baru-baru, bagaimana Dr sendiri tafsirkan dan 'signal' apa sebenarnya daripada rakyat ?

Maaf, saya tidak merasa bahawa itu menunjukkan atau bererti majoriti rakyat telah begitu selesa dengan pakatan pembangkang. Kita tahu bukan semua orang PAS selesa dengan KeADILan. Demikian sebaliknya. Demikian juga DAP yang menolak konsep Negara Islam PAS.

Apa yang jelas bagi saya adalah rakyat muak dengan Umno. Rakyat sudah tidak tahan dengan kerenah, perangai dan gelagat kebanyakan orang Umno. Generasi muda terutamanya, kelihatan begitu 'allergic' dengan Umno. Berdasarkan pengalaman lepas, tiada lagi gambaran indah Umno dalam fikiran mereka.

Mereka melihat Umno hanya menjaga kepentingan kelompok. Ramai yang bongkak dan sombong. Kebelakangan ini baru nampak macam nak berubah sedikit. Itupun masih tidak cukup. Baru-baru ini, kebetulan saya 'terjumpa' seorang menteri di London, saya bertanya dia tentang pilihanraya Kuala Trengganu. Dengan lagaknya dia berkata: "Apa lagi rakyat mahu, semua kita dah beri". Tengok, masih lagi sombong dan enggan menilai diri dan parti walaupun telah berulang kali dia ajar oleh rakyat.

Saya fikir Umno tahu apakah ubat yang menyembuhkan penyakit parti itu, tetapi mereka tidak mampu lakukan. Ubatnya adalah dengan memotong atau membuang segala barah penyakit yang hidup dalam tubuh Umno. Itu terlalu sukar bagi kepimpinan Umno kerana sebahagian yang tidak kecil dalam kepimpinan itu sendirilah barah penyakit tersebut. Jika rawatan dilakukan, bererti mereka akan terkorban.

Bagaimana pula pandangan Dr. terhadap PAS ?

PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya. Kita semua jangan cakap besar dan takabur. Hari ini kuasa dan ruang mendapatkan harta masih sedikit, maka barah pun masih kecil. Barah itu ada potensi berkembang apabila ruang harta dan kuasa membesar. Hati-hati, banyakkan doa dan pohon perlindungan dengan Allah. Jangan cuma runtuhkan jahiliah, lalu tegakkan jahiliah baru dengan nama yang baru. Jahiliah tetap jahiliah.

Adapun KeADILan, maaf saya masih kabur untuk membezakan sebahagaian mereka dengan Umno. Jika dilihat pada gelagat, gaya bahasa dan hidup, cara fikir, saya agak ramai di kalangan mereka masih Umno, cumanya tidak berpuas hati dengan Umno atas beberapa sebab semasa, bukan prinsip. Tidak mustahil bila-bila waktu mendesak mereka akan kembali menjadi Umno. Mungkin bukan semua, tetapi ramai juga yang begitu.

Saya suka jika kita berpegang kepada prinsip. Saya setuju dengan apa yang Naib Presiden PAS Mohammad Sabu pernah kata dalam satu temubual yang saya baca. Beliau hairan mengapa PAS dapat menerima 'lompat parti' apabila KeaDILan menguar-uarkan 16 September lepas, sedangkan dahulu PAS sendiri yang mengatakan �lompat parti� adalah tidak berprinsip dan khianat.

Hari ini berlaku 'lompat parti' di Perak, sekali lagi PAS menyatakan ini pengkhianatan dan tidak berprinsip. Mengapa PAS tidak mengatakan hal yang sama pada 16 September yang lepas. Maaf, saya tidak mahu terbabit dengan kerenah politik. Marilah kita pohon agar Allah menjadikan kita sentiasa beristiqamah atas kebenaran terhadap kawan ataupun lawan. Itulah Islam yang sejagat lagi adil, jika kita ingin tegakkan.

Ada yang mengatakan institusi Mufti ini 'beku' dan tidak lantang dalam mempersoalkan kelemahan kerajaan, benarkah begitu dan pernah Dr. sendiri mengkritik kerajaan khususnya melibatkan persoalan agama? Ada contoh?

Saya tidak mahu bercakap tentang institusi mufti lagi. Sudah banyak kali saya cakap. Cukup saya katakan saya kecewa, Majlis Fatwa Kebangsaan patut mengepalai isu-isu umat Islam, seperti fatwa tentang isu Palestin. Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang mengkritik fungsi mufti dan majlis fatwa. Sehingga saya terfikir negara ini perlukan Majlis Fatwa yang bebas, dibiayai oleh institusi wakaf. Maka fatwa-fatwa itu nanti akan benar-benar mewakili umat. Jika anda lihat di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) hampir mendekati maksud ini.

Adapun saya, kepada Allah saya serahkan segalanya. Anda tahu semasa saya menjadi mufti, saya memberikan teguran kepada semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, artis, pihak swasta dan lain-lain. Anda boleh lihat berbagai isu saban minggu semasa saya menjadi mufti. Pernah saya mengkritik upacara yang dilakukan di Tugu Kebangsaan oleh kepimpinan negara.

Dari sudut politik, apakah yang boleh Dr. nasihatkan kepada pejuang-pejuang agama agar tidak lari dari daripada asas agama selain parti pemerintah agar berubah demi kepentingan rakyat?

Saya ingin nasihat diri saya dan mereka yang menyatakan berjuang untuk Islam dengan nasihat yang pernah diberikan oleh al-Syeikh Maulana Abul Hasan �Ali al-Nadwi dalam risalahnya Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Beliau pernah nasihati Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin dengan nasihat ini:-

"Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur."

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya�

Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.

... maknanya tujuan tubuhkan kerajaan demi capai matlamat agama?

"Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan�

Kata Abul Hasan lagi:"Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya..".

Katanya juga:"Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka.

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia �dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa -setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya.

Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah�. Itu sebahagian nasihatnya.

Nasihat saya, semoga jiwa saya dan saudara semua, sama seperti yang dinasihati oleh tokoh yang besar ini. Kita membawa mesej dakwah Islam yang kudus. Jangan kita berpolitik sehingga kita terlupa siapa kita? Apakah matlamat kita? Selalu kita bertanya apakah tindakan kita, jika baginda s.a.w hadir melihatnya, maka baginda
akan setuju dan menyokong kita?.- azm (SUMBER)

No comments: