Thursday, February 19, 2009

LUASKAN SKOP BULAN DAKWAH

Pelancaran bulan dakwah yang dirasmikan oleh Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan merupakan satu langkah yang patut dipuji ke arah meluaskan lagi skop penyebaran Islam di kalangan masyarakat. Segala program rancangan yang menjangkau sempadan fahaman politik, kelas pemikiran dan agama amat prkatikal untuk menggambarkan imej Islam yang universal serta tidak terbatas dengan kelompok tertentu sahaja.

Namun begitu beberapa perkara perlu diberi perhatian berkaitan dengan intipati dakwah yang sebenar. Dakwah yang bermaksud menyeru manusia ke arah kebaikan atau agama Allah tidak harus disempitkan ruang lingkup dan skopnya. Pada mata orang awam Islam, seruan dakwah kebiasaannya hanya akan tertumpu kepada usaha para agamawan, ustaz dan ustazah yang bercakap tentang agama dan hanya berlokasi di rumah-rumah ibadah seperti surau, masjid dan forum agama. Fahaman sempit sebegini perlu dipecahkan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia seperti JAKIM demi untuk menjamin kesinambungan dakwah Islam.


Usaha untuk mempromosikan bulan dakwah perlu digiatkan lagi dengan berbagai-bagai cara seperti menerbitkan iklan dakwah yang menarik dan tidak terlalu keagamaan seperti menerbitkan iklan sukan serta iklan keselamatan jalan raya. Iklan sukan tersebut boleh menerapkan isu-isu keagamaan seperti etika menjaga kebersihan di stadium atau gelanggang sukan, etika berpakaian dan kepentingan menjaga kewajipan agama seperti solat, puasa dan sebagainya.



Bagi aspek keselamatan jalanraya pula, pihak polis boleh melakukan peranan yang sama seperti menunjukkan bagaimana pegawai Polis menasihati pemandu yang cuai dengan membacakan ayat-ayat al-Quran tentang kepentingan menjaga keselamatan serta memandu secara berhemah (al-Baqarah[2:195], al-Nisa’[4:29]).

Kesimpulannya, kempen bulan dakwah ini perlu menyedarkan setiap orang Islam bahawa setiap daripada mereka merupakan pendakwah yang memegang amanah dakwah secara bijaksana sebagaimana arahan Allah: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (al-Nahl[16.125]).

Selain itu, di antara intipati dakwah yang terpenting ialah aspek amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kemungkaran). Allah sendiri telah memuliakan umat Islam dengan dua aspek ini sebagaimana firmanNya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)(Ali ‘Imran[3:110]).

Sebenarnya tindakan kerajaan mengadakan kempen bulan dakwah merupakan di antara tugasan yang paling penting bagi sesebuah kerajaan yang diamanahkan oleh Allah untuk mentadbir hal ehwal manusia di muka bumi sebagaimana firmanNya : Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa, Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj[22:40-41]).

Pengabaian kepada aspek amar makruf dan nahi mungkar di dalam dakwah bakal mengundang azab dan musibah daripada Allah sebagaimana yang telah berlaku kepada Bani Israil dahulu, firman Allah: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan (al-Ma’idah[5:78-79]).

Berdakwah dan mengajak manusia ke jalan Allah tidak muncul secara bermusim pada bulan-bulan atau waktu-waktu tertentu sahaja, akan tetapi berterusan sepanjang masa sehingga akhir hayat manusia kerana tujuan utama dakwah diwajbkan ialah agar muka bumi ini makmur dengan keamanan, kebahagiaan dan keadilan Islam yang mutlak. Manusia yang senantiasa mengajak manusia kepada jalan Allah itulah selayaknya digelar sebagai khalifah Allah di muka bumi.

No comments: