Tuesday, November 17, 2009

PERANG SAUDARA YANG TIDAK AKAN BERKESUDAHAN

Sekadar melontar pendapat. Anda yang membaca boleh bersetuju atau tidak kerana pemikiran sama sekali tidak boleh dipaksa. Polemik yang berlaku di Malaysia kembali hangat pada hari ini berikutan pendakwaan Dr Asri yang dilakukan di Mahkamah Syariah Gombak pada pagi ini. Sebenarnya isu ini sudah lama berlaku di dalam sejarah Malaysia. Kawan saya yang sedang menyambung pelajaran di Jordan pada peringkat PHD (Ustaz Mustafa) menyarankan agar saya tidak terlibat dengan perang saudara ini kerana kesannya tidak berapa bagus untuk masyarakat awam dan perkembangan ilmu.

Sebagai renungan untuk semua umat Islam di Malaysia, saya jelaskan di sini bahawa pembahagian kumpulan umat Islam di Malaysia ada empat iaitu;

1- Kaum tua/tradisional/Asya'irah

2- Kaum muda/ salafi/wahabi/tajdid

3- Islam Liberal

4- Islam Jahil/masyarakat awam yang jahil agama.


Kumpulan pertama dan kedua pula masing-masing mempunyai minoriti yang ekstrem. Minoriti ekstrem daripada kedua-dua kumpulan kaum muda dan tua inilah yang banyak menghangatkan suasana perbalahan di Malaysia. Akibat daripada minoriti ekstrem yang melebarkan kesan perbalahan ini, lalu kesemua ahli kumpulan kaum muda dan tua yang sederhana dan toleran di dalam isu-isu khlafiah akan turut terpalit sama dengan fitnah perbalahan ini.

Inilah bahaya pukul borong sedangkan al-Quran tidak sama sekali menggunakan kaedah pukul borong apabla mencela kaum yang menentang Allah dan Rasul seperti Yahudi dan sebagainya. Lihat Firman Allah ini pada menyatakan sikap penentangan sebahagian orang Yahudi & kafir :

(Orang Yahudi) Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman. (al-Baqarah[2.100]).

Orang Kafir/Musyrikin : Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, - berkatalah mereka (yang kafir): "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta"; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya (al-Nahl[16:101]).

Orang kafir/musyrikin: Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku". (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar (al-Anbiya' [21.24] ).

Juga : Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman. (yasin [36:7]).

Kesemua perkataan kebanyakan mereka di dalam ayat-ayat di atas mengajar kita bagaimana sikap pukul borong ini ditegah oleh Allah dan tidak adil. Sikap pukul borong mengatakan semua orang Mekah musyrik atau semua orang Yahudi adalah jahat tidak disarankan oleh al-Quran. Oleh itu apabila berhadapan dengan isu perang saudara kaum Muda dan Tua di Malaysia, sikap pukul borong yang sama sama sekali tidak boleh digunakan.

Selain itu, kesan ini juga membawa impak buruk kepada kumpulan keempat yang jahil dengan Islam. Mereka akan kehilangan punca akibat daripada pergaduhan para ustaz daripada kelompok ekstremis kaum muda dan kaum tua.

Oleh itu, pesanan saya kepada semua, usahlah dipanjangkan lagi permusuhan ini. Janganlah cepat membid'ahkan amalan orang atau melabel orang dengan wahabi. Kedua-dua pihak yang terpalit akan terluka dan akan bertidak secara refleks untuk mempertahankan pendirian mereka.




Pilihlah isu-isu yang lebih besar dan utama. Kasihanilah orang awam yang kebuntuan. Ambillah pendekatan tidak berkonflik, dedahkan ilmu pengetahuan. Berdasarkan pengalaman saya yang hidup dalam masyarakat yang rata-ratanya orang awam yang tidak mendalam ilmu agamanya, agama pada mereka kebiasaannya dikaitkan dengan amalan kenduri doa selamat, Tahlil dan bacaan Yasin.

Walaupun saya kurang berminat dengan tahlil dan bacaan Yasin pada malam Jumaat, namun saya tidak sama sekali akan membid'ahkan mereka atau menegah mereka melakukannya. Bahkan kalau dijemput, saya akan hadir tanpa banyak soal demi untuk menjaga semangat kejiranan. Ini kerana pada tahap orang awam, itu adalah ibadat yang paling popular yang mampu mereka lakukan.

Sikap meminggirkan diri daripada arus perdana orang awam yang biasa bertahlil dan membaca Yasin akan hanya menjauhkan kita (orang agama) daripada masyarakat awam. Lalu bagaimanakah pula orang agama hendak mengubah mereka sekiranya mereka tidak mesra dengan orang awam?

Sebolehnya saya menolak untuk menjadi tekong atau Syeikh tahlil, tetapi apabila tidak mampu menolak saya akan menerima jemputan itu dengan lembut dan menyelitkannya dengan pengisian ilmu. Selepas Tahlil biasanya saya akan memberikan tazkirah berkaitan bekal sebelum mati dan sebagainya. Begitu juga selepas bacaan Yasin saya akan memberikan tazkirah mengenai maksud isi kandungan Yasin.

Pendekatan sedemikian lebih harmoni dengan masyarakat yang sudah berakar umbi dengan budaya Tahlil & Yasin malam Jumaat. Pastikan apabila mereka balik daripada majlis Tahlil dan Bacaan Yasin, mereka mendapat sekelumit ilmu kerana bukan ritual semata-mata yang mampu mengubah manusia tetapi pengisian ilmu.

Sekiranya sebarang jemputan itu terus saya tolak dengan alasan INI BUKAN SUNNAH, orang awam pasti akan tersentak..lalu secara automatik saya akan terus dilabel dengan berbagai-bagai label negatif. Dan akibatnya agenda saya untuk mengubah masyarakat akan terbantut.

Sebagai akhirnya kepada sesiapa yang seangkatan dengan saya di dalam hal ini, marilah sama-sama kita renung ayat ini;

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (al-Nahl16.125]).

No comments: