Saturday, January 2, 2010

Libatkan wakil pihak berkuasa agama

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Wakil pihak berkuasa agama perlu dibenar mengambil bahagian atau menjadi pencelah dalam prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, tafsiran mengenai isu-isu agama tidak boleh diselarikan dengan kaedah undang-undang sivil kerana ia akan menambahkan lagi kekeliruan dan kekalutan.

Menurut beliau, untuk menjaga keharmonian beragama terutama di sesebuah negara yang majoriti rakyatnya menganut Islam, mahkamah perlu menggunakan kebijaksanaan merujuk sesuatu kes kepada masyarakat pengamalnya yang terbesar.

"Di negara ini majoriti dan kelaziman penganut agama Islam adalah Melayu. Tambahan pula sesuatu agama samawi itu diturunkan bersesuaian bahasa dan kaum tertentu.

"Seperti orang Yahudi, kitab suci mereka diturunkan mengikut bahasa dituturi iaitu Ibrani dan mereka memanggil tuhan dengan nama 'Yahweh'. Islam diturunkan kepada penutur bahasa Arab dan tuhan dipanggil Allah.

"Begitu juga agama Hindu dan Buddha yang diamalkan di kalangan orang-orang India dan Cina. Mereka mempunyai panggilan tuhan masing-masing mengikut bahasa pertuturan, malah jika disyorkan nama tuhan mereka dipanggil Allah nescaya mereka tidak akan bersetuju dan menolaknya," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Mohd. Yusof yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan memberikan contoh berkaitan istilah agama yang sesuai bagi agama Islam tetapi amat tidak sesuai dan janggal jika digunakan oleh penganut agama lain.

"Solat secara asasnya bermaksud sembahyang, kita boleh kata Ahmad sedang solat asar tetapi janggal disebut 'Ramasamy sedang solat' walaupun maksudnya adalah sama iaitu menyembah tuhan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari memberi perbezaan antara pengertian Allah sebagai tuhan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Katanya, perbezaan itu boleh dirujuk daripada inti pati surah al-Ikhlas iaitu sifat Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada tandingan dan menjadi tumpuan semua makhluk.

"Berbeza dengan orang bukan Islam, walaupun mereka mempercayai wujudnya Allah namun mereka tetap menyembah sekutu lain, mempercayai wujudnya anak bagi Allah dan mempercayai wujudnya kuasa selain Allah yang hampir setanding dengan-Nya," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan tindakan mahkamah itu akan menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan akidah umat Islam terpesong.

Tegas beliau, alasan kekeliruan hanya akan timbul apabila umat Islam sendiri tidak mengenali Allah yang mereka imani kerana jika benteng iman telah cukup kuat dan teguh, nescaya segala strategi jahat musuh langsung tidak akan memberi kesan.

No comments: