Monday, October 18, 2010

DERMA ORGAN SATU ANUGERAH KEHIDUPAN

**Penulis adalah seorang pesakit buah pinggang semenjak tahun 2001 dan baru terlibat secara langsung dengan derma organ kerana baru sahaja menerima buah pinggang daripada ibu saudaranya pada 5 Ogos 2010. Selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang, kualiti hidup penulis bertambah baik**.

Sempena sambutan kempen kesedaran pendermaan organ anjuran Kementerian Kesihatan bermula dari 16 Oktober sehingga 23 Oktober 2010, beberapa perkara perlu dijelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang peri pentingnya kempen pendermaan organ sebagai suatu langkah menyelamatkan nyawa manusia dan secara tidak langsung menabur jasa kepada agama dan negara.

Nyawa adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak mampu dijual beli. Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan mengharamkan ia dicabut tanpa sebab yang sah mengikut syarak seperti dalam perlaksanaan hukum Qisas (bunuh balas) (al-Baqarah[2:178-179] & al-An’am[6:151]).

Pada sesetengah situasi mendesak, sesetengah hukum yang asalnya haram diberikan kelonggaran apabila bertembung dengan risiko menjaga nyawa. Seseorang yang terancam nyawanya dengan kelaparan yang teramat sangat diberikan rukhsah (kelonggaran) untuk menyentuh makanan yang asalnya haram pada kadar tertentu sahaja demi untuk menjaga kesinambungan nyawa. Firman Allah:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Baqarah[2:173]).

Dengan nyawa di badan, seseorang mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa batasan. Walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang mengalami sakit kronik seperti sakit jantung, buah pinggang dan sebagainya. Penyakit yang mereka hidapi seolah-olah sudah mencabut sebahagian daripada nyawa dan kehidupan mereka. Hari yang mereka lalui menjadi suram dan menjejaskan produktiviti mereka sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan warganegara sesebuah Negara.

Dalam konteks ibadah, para pesakit kronik mengalami kepincangan kehidupan ibadah mereka kerana batasan fizikal yang mereka alami. Contohnya, para pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan cuci darah berterusan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu rukun Islam. Walaupun para ulama memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada mereka daripada melaksanakan rukun Islam ini, namun jauh di sudut hati mereka kesedihan tetap dirasai kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawab rukun Islam kelima ini.

Tidak kurang juga kesan sakit yang mereka alami menyebabkan kepincangan kepada produktivi Negara kerana mereka ini sudah pasti salah seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang diperlukan tenaganya untuk membangunkan Negara. Banyak sekali kita dapati para pesakit kronik menemui ajal di usia muda atau menyerahkan borang persaraan sebelum waktu yang sepatutnya. Bayangkan kerugian modal insan yang dialami oleh kerajaan berikutan kepincangan ini.

Di tengah kekecewaan ini, kita semua berpeluang untuk mengubah nasib mereka dengan anugerah tubuh badan sihat kurniaan Allah kepada kita. Bantuan pendermaan organ bukan sahaja membantu para pesakit kronik ini sahaja bahkan turut membantu keluarga mereka dan yang jauh lebih besar membantu Negara dengan mengembalikan tahap kesihatan mereka kepada tahap yang lebih baik untuk terus berkhidmat kepada Negara mengikut kepakaran yang mereka miliki. Melihat kepada fakta ini, sebenarnya anugerah organ yang diciptakan Allah sebenarnya mempunyai signifikan social yang cukup besar.

Pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ianya melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah. Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ianya secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan. Nyawa pastinya menjadi aset yang paling dihargai manusia kerana kehilangannya amat dibimbangi dan akan ditangisi. Al-Quran menyatakan sedekah yang hendak diberikan mestilah daripada perkara yang paling disayangi. Firman Allah:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (Ali ‘Imran[3:92]).

Juga firmanNya:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji (al-Baqarah[2:267]).

Pendermaan organ memerlukan para pendermanya berada pada tahap kesihatan yang terbaik dan kesempurnaan kesihatan ini sememangnya menepati kehendak agama agar bersedekah dengan benda yang paling baik, paling disayangi dan paling dihargai.

Pendermaan organ juga mempunyai banyak kelebihan rohani yang tidak disedari oleh ramai orang. Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima organ tersebut meneruskan bakti mereka kepada agama. Setiap gerak laku ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji, bakti kepada negara dan sebagainya pasti membuahkan saham kepada penerimanya kerana tanpa bantuan organ yang disumbangkan, si pesakit tidak akan mampu meneruskan hidup mereka secara sempurna ibadahnya. Fakta ini dikukuhkan lagi dengan sebuah hadith nabi SAW:

Barangsiapa yang merintis dalam Islam satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala daripada perkara tersebut serta pahala daripada orang-orang yang mengamalkan (menggunakan) peninggalannya selepasnya, tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya (Sahih Muslim).

Sering kali banyak stigma negatif membayangi bakal penderma organ yang beragama Islam tentang kemungkinan para pesakit yang kembali sihat akan meneruskan hidup dengan gelumang dosa. Tempias dosa itu dibimbangi akan turut mengenai mereka kesan daripada penglibatan organ yang telah mereka dermakan. Kefahaman sebegini adalah silap kerana Allah yang Maha Adil menetapkan seseorang itu tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. FirmanNya:

Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain (al-An’am[6:164], al-Isra’[17:15] & Fatir[35:18]).

Juga stigma bakal penerima organ itu terdiri daripada penganut agama lain. Seolah-olah ni’mat kesihatan yang bakal diperolehi oleh penerima organ bukan Islam bakal menjadikan mereka bertambah teguh pegangan agama mereka dengan subahat organ yang didermakan oleh oleh penderma Islam.

Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak Allah. Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami bahawa hak Allah dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Firman Allah:

Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan (al-Baqarah[2:272]).

Ayat ini diturunkan menegur sebahagian sahabat nabi SAW yang berasa berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Nas ini jelas menunjukkan Islam tidak menghalang sedekah diberikan kepada golongan bukan Islam kerana pahala sebarang ibadah sedekah dan pendermaan organ sudah dijanjikan Allah berdasarkan umumnya nas sedekah pada ayat terdahulu.

Kematian adalah satu kepastian yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia (Ali ‘Imran[3:185, al-Anbiya’[21:35] & al-‘Ankabut[29:57]). Apa yang penting bagi manusia adalah melihat apakah jasa kita selepas kematian. Janganlah dibiarkan jasad dan segala organ kita kelak menjadi makanan ulat di dalam kubur, sebaliknya dermakanlah ia untuk mereka yang masih memerlukan di dunia ini bagi meneruskan jasa mereka kepada keluarga, agama dan negara. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa yang berbagai antaranya adalah organ yang sihat untuk kesinambungan hidup orang lain yang mungkin kaum kerabat atau sahabat handai kita.

4 comments:

bElog NorHA said...
This comment has been removed by the author.
Cinta Abadi said...

bagaimana pula penderma tidak tahu siapa penerima organnya selepas penderma meninggal dunia..

bagaimana pula jika penderma telah mendaftar dibawah PSTN dan tidak tahu siapa penerima organnya nanti..dan adakah penderma akan mendapat saham dosa yang dilakukan oleh sang penerima organ...

KELLY CHRIST said...

Jika anda perlu untuk menderma buah pinggang anda untuk dana hubungi kami secepat mungkin untuk penderma yang tulen dan asli pembeli, hubungi melalui e-mel: (sathyakidneyhospital@gmail.com) atau hubungi kami +919168752489

Apollo Hospital said...


We are urgently in need of kidney donor in a very good health condition for the sum of $470,000,00 and we will take properly care of the donor doling the whole process, here you can contact us via email address: ahospital661@gmail.com or phone number-+919677345881 by name Dr Donald Moore.