Saturday, January 17, 2009

MUHASABAH PILIHANRAYA KECIL KUALA TERENGGANU


Kekalahan Barisan nasional di dalam pilihanraya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini sememangnya perit untuk diterima terutama sekali oleh pucuk pimpinan BN. Kekalahan itu pastinya mempunyai hikmah tersendiri yang boleh menjadi pengajaran untuk BN menghadapi hari mendatang di dalam perjuangannya. Ini dijelaskan oleh Allah: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah[2.216]).

Semua pihak yang terlibat dengan pertandingan sudah pasti tidak sukakan kekalahan yang menimpa pihak mereka. Namun begitu sebagai orang Islam, kita yakin dan percaya bahawa sebarang musibah yang berlaku adalah merupakan takdir ketentuan Allah sebagaimana firmanNya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". (al-Tawbah[9.51]).

Walaupun begitu, ayat di atas tidak bermaksud bahawa umat Islam hanya perlu berserah menerima takdir yang telah ditetapkan kepada mereka. Menurut Islam takdir adalah keputusan akhir daripada hasil usaha manusia. Di samping itu, Allah juga menjadikan sunnah alam yang merangkumi sebab musabab yang menyebabkan berlakunya sesuatu perkara (al-Ahzab[33.38],Ghafir[40.85] & al-Fath[48.23]).

Apa yang penting ialah mengkaji sebab musabab yang membawa kepada berlakunya musibah tersebut. Demi untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi menangani musibah yang sama yang mungkin berlaku pada masa hadapan, kajian itu mestilah telus, dan adil serta berwibawa. Sebarang keputusan yang diperolehi daripada kajian musibah tersebut perlu didedahkan kepada semua dengan tujuan untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

Tindakan menyalahkan sesetengah pihak tanpa melihat kepada kelemahan diri sendiri sebenarnya kurang berkesan untuk menyelesaikan masalah serta memperbaiki kelemahan diri. Oleh sebab itulah Islam memperkenalkan konsep muhasabah (postmortem) atau pernilaian diri sendiri demi untuk mencari kaedah atau cara-cara baru untuk mengelakkan kesilapan yang sama daripada berlaku pada masa hadapan.

Perkara ini perlu ditekankan kerana kesilapan yang berlaku sememangnya berpunca daripada kesilapan dan kejahilan manusia sebagaimana firman Allah: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri (al-Nisa'[4.79]).

Selain itu Allah juga banyak menegur sikap sesetengah manusia yang hanya tahu menyalahkan orang lain tanpa melihat kepada kesilapan diri mereka sendiri. Ini dijelaskan oleh banyak firman Allah, di antaranya: (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu (Ali 'Imran[3.165]).

Juga firman Allah: Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa dan kesilapan). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa (al-Najm[53.32]).

Juga firman Allah: Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun (al-Nisa'[4.49]).

Apa yang pasti ialah segala kaedah berfikir yang terangkum di dalam al-Quran sekiranya dipraktikkan dengan sebetulnya akan mampu menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke dalam apa sahaja musibah termasukkan musibah ditolak oleh rakyat di dalam pilihanraya. Semoga muhasabah yang dilakukan selepas pilihanraya ini dapat menjadi panduan kepada BN agar tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama bertepatan dengan hadis nabi s.a.w: Orang mukmin tidak akan dipatuk di dalam satu lubang sebanyak dua kali (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Selain itu, faktor pemilihan pemimpin yang bakal bertanding amat kritikal untuk diketengahkan oleh pucuk pimpinan BN kerana al-Quran telah sedia menyatakan bahawa pemimpin yang selayaknya diketengahkan mesti mempunyai 2 kualiti utama iaitu berkemampuan dan amanah. Ini dijelaskan oleh firman Allah: Salah seorang di antara perempuan yang berdua (anak perempuan nabi Syuaib a.s) itu berkata: "Wahai ayah (dikatakan nabi Syuaib a.s), ambilah dia (nabi Musa a.s) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah" (al-Qasas[28.26] ).

Faktor kemampuan bukan hanya melibatkan urusan pentadbiran semata-mata, tetapi meliputi kemampuan untuk hidup bersama rakyat bawahan, bergaul bersama mereka, mendengar masalah mereka serta cuba menyelesaikannya. Amat menyedihkan sekali sekiranya seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat lebih banyak kelihatan di Kuala Lumpur berbanding di tempat kerusi yang mereka menangi.

Manakala faktor amanah pula bukan hanya melibatkan kebersihan daripada siasatan Badan Pencegah Rasuah, tetapi meliputi juga kebersihan daripada persepsi negatif masyarakat bawahan kerana di dalam politik persepsi memainkan peranan penting untuk meraih undi.

Kekalahan sememangnya perit untuk diterima. Akan tetapi kekalahan boleh membawa kepada banyak kemenangan yang lain di dalam perjuangan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat belajar daripada kekalahan di medan Uhud yang membawa kepada kemenangan yang berterusan di dalam peperangan lain yang seterusnya memartabatkan perjuangan Rasulullah s.a.w di kemuncak ketamadunan manusia.


MACAM SOKONG BN JE? SEBENARNYA MARAH ANAK SINDIR MENANTU
BN INGAT KENA INGAT, CARA LAMA SUDAH TIDAK BERKESAN, RAKYAT DI TAHUN 2009 DAH TERLAMPAU CERDIK! ANDA PERLU BERUBAH ATAU ANDA AKAN DIUBAH KEDUDUKANNYA!
HIDUP KUASA RAKYAT!

2 comments:

Mr. Right said...

PAS dah menang. DSAI perlukan 28 lagi kerusi parlimen, kan?

Tolong lah sesiapa sponsor badminton racket kepada semua ahli parlimen BN

perunding said...

very goog ustaz.