Wednesday, January 14, 2009
PESANAN KEPADA PARA PENGUNDI DI KUALA TERENGGANU
Hari mengundi pilihanraya Parlimen Kuala terengganu semakin hampir. Pihak-pihak yang bertanding kelihatan bekerja keras mempromosikan diri untuk menjamin kemenangan mereka seterus meneruskan agenda perjuangan yang dijanjikan kepada rakyat. Kesimpulannya kejayaan calon-calon yang bertanding secara penuhnya bergantung kepada pilihan rakyat.
Di dalam menentukan siapakah calon yang mesti dipilih untuk mewakili mereka, rakyat yang tinggal di Kuala Terengganu perlu bijak dan merujuk kepada petunjuk al-Quran agar pilihan yang dibuat akan memberikan manafaat kepada agama, bangsa dan negara.
Di dalam membicarakan ciri-ciri pemimpin yang selayaknya dilantik, Allah telah berfirman : Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya (al-Baqarah[2.247]).
Ayat di atas menceritakan tentang kisah pemilihan pemimpin di kalangan Bani Israil selepas zaman nabi Musa a.a.s. Pemilihan ini bertujuan untuk membebaskan belenggu penjajahan raja Jalut ke atas Bani Israil semenjak sekian lama. Nabi Samuel a.s. yang mendapat petunjuk daripada Allah menyatakan pemilihan Talut adalah berdasarkan dua kriteria utama iaitu ilmu pengetahuan dan kekuatan fizikal atau kemampuan mentadbir.
Seterusnya Allah berfirman lagi : Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata(anak-anak nabi Syuaib): "Wahai ayah (nabi Syuaib), ambilah dia (nabi Musa) memjadi orang upahan (pekerja), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah"(al-Qasas[28.26]).
Ayat tersebut menceritakan sejarah bagaimana nabi Musa a.s. ketika berada di negeri Madyan telah diambil berkerja oleh nabi Syuaib. Ciri utama yang disebut untuk kelayakan sebagai pekerja ialah kekuatan, kemampuan dan sikap yang amanah. Kedua-dua sikap di atas amat penting dimiliki oleh mana-mana pemimpin kerana kemampuan memerintah, mentadbir dan mengurus yang disulami dengan amanah menjadi faktor utama kemajuan serta kesejahteraan sesuatu masyarakat dan bangsa. Kesilapan memilih pemimpin yang lemah atau tidak amanah akan mengundang padah yang mampu meruntuhkan empayar manusia.
Selain itu, pemimpin yang hendak dipilih juga harus mempunyai empat ciri berikut yang disebut oleh Allah Ta’ala: Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; - Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22.41]).
Empat ciri yang terdiri daripada sembahyang, zakat, amar ma’ruf (menyuruh ke arah kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kepada berlakunya kemungkaran) merupakan nadi utama kesejahteraan sesuatu kelompok manusia. Pemimpin yang senantiasa menjaga solat sudah pasti memiliki kualiti iman yang sebenar kerana senantiasa mempunyai hubungan kerohanian dengan Allah. Solat yang dianggap sebagai tiang agama merupakan benteng pertama yang bertugas sebagai antibodi kepada pemimpin tersebut daripada melakukan perkara mungkar seperti penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepadanya. Ini dikukuhkan oleh firman Allah : Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29.45]).
Zakat pula memainkan peranan sebagai peneguh keadilan sosial kerana pemimpin yang menjaga kewajipan zakat serta menerapkan kepentingan berzakat kepada rakyat bawahan adalah pemipin yang berusaha menjaga kestabilan sosio-ekonomi masyarakat umat Islam. Dengan adanya pensyariatan zakat, dendam kesumat atau jurang ekonomi di antara orang miskin dengan orang kaya akan dapat distabilkan. Selain itu zakat juga berkesan untuk mengurangkan jenayah ekonomi yang mungkin berlaku.
Setelah dua rukun utama Islam itu diteguhkan oleh pemimpin pilihan anda, ianya akan bertambah lengkap jika disulami dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. Kedua-dua perkara itu mampu menghalang kerosakan yang bakal berlaku di dalam sebuah masyarakat kerana pendekatan Islam cukup praktikal iaitu mencegah lebih baik daripada merawat. Langkah melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar akan lebih berkesan sekiranya digerakkan oleh pemimpin yang benar-benar faham dan menghayati konsep tersebut.
Sebaliknya kegagalan melaksana kedua-dua konsep itu bakal mengundang berbagai-bagai malapetaka serta mendapat kemurkaan Allah sebagaimana firmanNya : Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan (al-Ma’idah [5.78-78])
Sekiranya pemimpin yang hendak diundi itu mempunyai kesemua ciri-ciri yang dinyatakan oleh ayat-ayat di atas, maka tidak syak lagi bahawa anda telah memilih pemimpin yang dibimbing dan ditunjuk oleh Allah. Kesilapan di dalam memilih pemimpin akan mengundang musibah yang tidak berkesduahan untuk tempoh beberapa tahun mendatang. Oleh itu, amat diharapkan agar para pengundi di Kuala Terengganu dapat membuat pilihan yang tepat semoga hari-hari mendatang di Parlimen Kuala Terengganu bertambah cerah dengan keredhaan Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Salam,
Tambahan 2 lagi ciri pemimpin;
Surah Al-Bqarah ayat 247,
......."Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa."........
1) Ilmu yang luas
2) Tubuh yang perkasa
pilihlah
Haji Mohd Abdul Wahid Endut.
Terimakasih.
MMohdSha!
TQ, semalam terlupa nak masukkan ayat tu,alhamdulillah hari ni saya dah masukkan!
Post a Comment