Tuesday, September 8, 2009
KADAR MINIMUM KANDUNGAN SESEORANG WANITA
Allah yang maha bijaksana semenjak penciptaan manusia pertama telah menjanjikan perkembangan zuriat Adam AS akan berlaku dengan pesat. Adam atau makhluk jenis manusia telah dipilih untuk memakmur serta mentadbir bumi dengan menobatkan mereka sebagai khalifah di muka bumi. Pembiakan baka keturunan manusia telah diteruskan oleh Allah dengan pensyariatan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga. Allah berfirman:
Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur" (al-A’raf[7:189]).
Keajaiban zuriat keturunan manusia kemudiannya berkembang biak dengan cara kandungan yang disebutkan oleh ayat di atas. Kesusahan mengandung pula hanya akan dirasai serta ditanggung oleh kaum wanita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.
Menyebut tentang kehamilan dan kandungan yang dialami oleh ibu-ibu, ilmu sains moden telah menemui berbagai-bagai fakta yang menarik mengenainya. Di antara satu fakta yang sudah diakui ilmu perubatan moden ialah tempoh minimum kandungan bayi yang lahir ialah 6 bulan.
Walaupun begitu, kes tentang kelahiran minimum ini ternyata amat jarang berlaku. Bahkan hanya teknologi perubatan di sesetengah Negara maju sahaja yang mampu untuk menjamin keselamatan bayi yang lahir bagi tempoh minimum itu.
Menyentuh tentang isu atau kadar minimum kandungan seseorang wanita, Allah telah berfirman:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
(al-Ahqaf[46:15]).
Secara terangnya ayat di atas menerangkan tentang keutamaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa terutama sekali ibu kita yang sememangnya banyak berkorban demi untuk membesarkan kita. Tugasan seseorang ibu bukan hanya mengalami kesusahan ketika mengandungkan bayi sahaja, bahkan berlanjutan sehingga habis tempoh susuan. Tempoh kandungan dan susuan itu pula berlanjutan selama 30 bulan.
Secara tidak langsung ayat di atas mempunyai bukti saintifik yang cukup unik, iaitu tentang tempoh minimum kandungan seorang wanita iaitu selama 6 bulan. Fakta ini ternyata diakui sahih oleh pengamal perubatan moden.
Untuk menjelaskan lagi fakta ini, elok kiranya kita rujuk kepada satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya (Tafsir ibn Kathir).
Pada zaman khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan telah berlaku suatu peristiwa, di mana seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita daripada Bani Juhaynah.
Wanita itu kemudiannya telah melahirkan anak setelah kandungannya cukup 6 bulan. Kelahiran yang luar biasa tersebut telah menimbulkan keraguan di hati suaminya yang beranggapan bayi yang lahir itu bukanlah bayinya tetapi hasil hubungan sulit isterinya dengan lelaki lain.
Peristiwa ini telah dilaporkan kepada khalifah ‘Uthman dan ‘Uthman telah mengarahkan wanita tersebut direjam di atas tuduhan berzina sedangkan wanita tersebut menafikan tuduhan itu.
Setelah berita ini diketahui oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, beliau telah menghalang perlaksanaan hukum rejam itu dan mengatakan bahawa tempoh minimum kandungan seseorang wanita ialah selama 6 bulan. Beliau berhujjah dengan ayat al-Ahqaf di atas bersama dengan ayat 233 daripada surah al-Baqarah:
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; (al-Baqarah[2:233]).
Juga ayat 14 daripada surah Luqman :
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman[31:14]).
‘Ali menjelaskan bahawa ayat 15 surah al-Ahqaf menerangkan bahawa tempoh kandungan dan susuan seseorang wanita ialah selama 30 bulan. Tempoh susuan pula secara spesifik menurut ayat 233 surah al-Baqarah dan ayat 14 surah Luqman ialah 2 tahun ataupun bersamaan dengan 24 bulan. Lalu baki selebihnya 6 bulan adalah merujuk kepada tempoh minimum kandungan.
Ini adalah bukti kebenaran al-Quran yang menjangkau zaman kerana fakta ini hanya dapat disahihkan dengan ilmu Sains Moden setelah berabad-abad lamanya al-Quran diturunkan.
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment