Sunday, May 2, 2010

KIDNEY TRANSPLANT ON 6 MAY 2010

Setelah menunggu selama 2 tahun (sejak 2008), akhirnya saya mendapat tarikh pembedahan untuk buah pinggang baru. Penantian ini berakhir setelah ibu saudara saya (adik mak saya)bermurah hati mendermakan sebuah buah pinggangnya kepada saya.

Proses penyesuaian pada peringkat penderma memakan masa hampir 2 tahun. Pada asalnya, kakak saya hendak mendermakan buah pinggangnya, tetapi pada peringkat terakhir ujian penyesuaian, ternyata kami tidak memiliki beberapa kesesuaian yang menyebabkan pihak Hospital Selayang terpaksa menolaknya dan memilih Mak Cik saya sebagai calon penderma kedua.

Saya amat berteima kasih kepada mak cik saya kerana sanggup memberikan sebuah harta miliknya yang tidak boleh ditukar ganti...inilah hikmahnya hubungan persaudaraan. Lebih-lebih lagi..beliau adalah adik kepada ibu saya. Benarlah sabda nabi : Ibu saudara (sebelah ibu) berada pada kedudukan yang setanding dengan ibu (sendiri). (Sahih al-Bukhari).

Benar juga suruhan Allah yang mahu kita senantiasa menjaga tali silaturahim. FirmanNya: al-Nisa'[4.1] Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.



Juga sabda nabi:

أَسْرَعُ الْخَيْرِ ثَوَابًا الْبِرُّ وَصِلَةُ الرَّحِمِ

Kebaikan yang paling cepat dibaerikan pahalanya adalah kebaikan dan menyambung tali silaturahim (Sunan Ibn Majah).

Dahulu semasa mak cik saya ini menghadapi masalah, saya banyak membantu dan melegakan kesedihannya...dan sekarang saya mendapat balasan yang terlebih baik daripadanya.

Semasa salah seorang doktor di Hospital Selayang memeriksa status jantung saya(untul salah satu prosedur sebelum pembedahan), beliau bertanya: Siapa yang hendak dermakan buah pinggang? Saya jawab: Mak cik saya. Secara spontan doktor tersebut berkata: Mak cik awak memang sayangkan awak! Saya terharu dengan kata-kata tersebut. Bukan semua yang bernasib baik seperti saya. Mungkin Allah sudah memakbulkan doa saya yang dipohon agar disembuhkan daripada penyakit ini semenjak tahun 2001 lagi.

Semoga pembedahan ini berjalan lancar dan marilah sama-sama kita berdoa agar saya sihat semula dan mampu lebih berbakti kepada agama Allah. Juga kurniakanlah kesejahteraan kepada mak Cik saya..SITI AESAHAH BT HAJI MOHD NOOR. Semoga kami tetap bersama di dunia dan di akhirat (dalam syurga).

Selepas sihat nanti, setiap langkah dan bakti saya kepada agama Allah (dengan segala kepakaran saya), pahalanya pasti turut mengalir sama kepadanya..AMIN!





No comments: