Sunday, July 4, 2010
ANTARA 2 JUARA (MENTOR TV3 & TILAWAH KEBANGSAAN)
ANTARA 2 JUARA (MENTOR DAN TILAWAH)
Sedar atau tidak dua pertandingan realiti berasaskan kemerduan dan kemantapan suara di Televisyen Malaysia baru sahaja berakhir. Walaupun sama-sama mempertaruhkan kemerduan suara, kedua program tersebut mempunyai jurang perbezaan yang amat ketara. Membaca al-Quran atau melagukannya adalah suruhan agama kerana ia menggambarkan keindahan wahyu Allah. Sabda nabi SAW: Bukan dari golongan kami orang yang tidak melagukan (memperelokkan suaranya) pada bacaan a-Quran (Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).
Juga sabda baginda: Hiasilah (bacaan) al-Quran dengan suaramu (Sunan Abu Dawud, al-Nasa’I & Ibn Majah).
Nyanyian pula, masih diperselisihkan oleh para ulama’ tentang status halal atau haramnya. Walaupun ada segelintir ulama’ mengharuskan nyanyian kerana kehendak fitrah manusia padanya, ia tetap dibatasi dengan beberapa syarat seperti tiadanya pergaulan bebas, tiada pendedahan aurat dan senikata lagu yang tidak melalaikan. Segala batasan yang digariskan itu bertujuan menjaga kesucian syariat dan akhlak Islam. Tanpanya, umat Islam boleh terjerumus kepada kemurkaan Allah walaupun mereka menyanyi sambil bertudung.
Hayatilah firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk (haram) dengan yang baik (halal), walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya (al-Ma’idah[5:100]).
Menurut Islam, mendendangkan al-Quran adalah satu kebajikan yang dijanjikan pahala pada setiap hurufnya, manakala menyanyi masih meniti hukumnya antara halal dan haram. Oleh itu, secara logiknya penyemarakan budaya membaca dan mempelajari al-Quran wajib diutamakan semua. Namun begitu, fenomena yang berlaku di Malaysia agak berlainan kerana nyanyian lebih diberikan perhatian. Rancangan realiti nyanyian semakin banyak diterbitkan berikutan minat dan permintaan yang tinggi daripada penonton.
Tambah memberansangkan lagi, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang rancangan nyanyian cukup lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Lihatlah beza antara hadiah johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang hanya bernilai RM 15 ribu jika hendak dibandingkan dengan hadiah rancangan realiti nyanyian terbitan sebuah syarikat TV swasta yang mencecah sehingga RM 100 ribu. Tambah menyedihkan lagi, hadiah naib johan rancangan nyanyian yang baru berakhir Ahad (4 JULAI 2010)lepas itu bernilai RM 30 ribu, sekali ganda jauh lebih besar daripada hadiah johan Tilawah al-Quran. Seolah-olah kalam Allah penyuluh iman umat Islam sedunia tidak pun setara dengan nilai hadiah naib johan sebuah rancangan nyanyian.
Fenomena sebegini akan memberikan kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia kerana mereka akan lebih terkejar untuk menjadi penyanyi daripada mempelajari dan mendalami al-Quran. Sedangkan umum sudah mengetahui bahawa profesyen penyanyi hanya bersikap sementara. Mereka akan dipuja ketika usia masih muda belia, enak dipandang mata peminat dan masih mampu memberikan keuntungan kepada media hiburan. Apabila usia sudah meningkat senja dan tidak lagi mempunyai nilai komersial mereka akan dilupakan dan menjalani zaman kejatuhan seperti yang telah menimpa generasi penyanyi sebelum mereka.
Oleh itu, langkah drastik perlu diambil bagi memartabatkan peranan al-Quran secara zahir dan hakiki pada mata umat Islam di Malaysia. Pihak penganjur program berasas al-Quran perlu berusaha untuk mempromosikan program berasas al-Quran seperti Musabaqah Tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa secara lebih agresif. Hadiah yang ditawarkan untuk pemenang mesti dimaksimakan bagi menggalakkan umat Islam mendalami dan berdamping dengan al-Quran.
Bagi menjayakan harapan tersebut, para penaja daripada pihak swasta perlu digalakkan untuk memberikan tajaan. Kalau sebuah syarikat TV swasta sanggup menawarkan hadiah sehingga RM 1 juta hanya untuk perandingan teka lirik lagu, apa salahnya jumlah itu disalurkan kepada program berasaskan al-Quran. Penajaan dengan jumlah yang besar tidak mustahil dilakukan kerana sebuah Syarikat Milik Kerajaan (GLC) suatu ketika dahulu pernah menaja program nyanyian dengan tajaan mencecah RM 1 juta. Tajaan selama 2 musim itu tampaknya tidak langsung memberikan kesan kepada perkembangan umat Islam di Malaysia.
Sekiranya pemartabatan hadiah johan program berasas al-Quran tidak dimaksimumkan, umat Islam di Malaysia akan lebih mengutamakan profesyen nyanyian atau sukan kerana tajaan dan hadiah daripada keduanya jauh lebih besar. Atau mungkin umat Islam akan lebih beranggapan minum kopi lebih baik daripada mempelajari al-Quran kerana ia mampu membuka peluang untuk menjadi jutawan kopi segera dengan hadiah bernilai RM 1 juta yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pengeluar kopi segera.
Mungkin sesetengah pihak swasta berasa berat untuk menaja program berasaskan al-Quran kerana dirasakan kurang berbaloi atau tiada jaminan pulangan yang lumayan. Perlu dingat, kemajuan dan keuntungan syarikat mereka sejak sekian lama digerakkan secara terus oleh rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Oleh itu, sudah sampai masanya mereka memulangkan sedikit keuntungan itu kembali kepada umat Islam kerana faedahnya akan menjadi pulangan tidak ternilai di akhirat kelak. Persepsi sesetengah umat Islam Malaysia yang beranggapan “ kalau nak kaya jadilah penyanyi”, perlu diubah kepada “kalau nak jadi kaya dan mulia di dunia serta di akhirat belajarlah al-Quran”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Assalamualaikum.w.b.t
Nampaknya rakyat malaysia yang beragama islam khasnya masih tidak tahu memilih yg mana lebih utama antara bacaan alquran dan nyanyian. kalau dilihat kpd 2 acara pertandingan yg ustaz sebutkan di atas, jelas nyanyianlah yg dipilih.. dgn jumlah wang hadiah, promosi, penaja begitu berpihak kpd pertandingan nyanyian tersebut, bagaimanakah kita boleh menarik mereka ini utk lebih mengutamakan al quran.
semua kena main peranan.terutama kerajaan..bagi bajet utk program al-quran lbh sikit,cut bjet utkprogram nyanyian..lama2 berubahlah fenomena ini,tapi sanggupkah semua?
Assalamualaikum.w.b.t Ustaz,
Satu entry yang membuka minda dan mata saya. Rakyat M'sia kan gemar hiburan. Dek terlalu byk program realiti nyanyian ni, hingga mengaburi mata segelintir ibubapa di luar sana yang menginginkan anak2 mereka menjadi penyanyi. Mungkin utk glamour kut. Saya mengingatkan diri saya juga, sedih dan amat malang sekali mentaliti ibubapa dewasa ini yang menggalakkan dan beriya2 menemankan anak2 mereka utk ujibakat.
Begitulah manusia ustaz, kecenderungan ke arah duniawi lebih diutamakan memandangkan imbuhan dan pulangan banyak yang menanti kalau mereka berjaya.
Post a Comment