Tuesday, September 28, 2010

AKHIRNYA AKU BEBAS SELEPAS 2 TAHUN

Isnin lepas adalah tarikh bersejarah dalam hidup saya. 27 September 2010 pasti akan terus melekat dalam hati sehingga akhir hayat kerana pada hari itulah tiub plastik yang melekat secara kekal di perut saya dibuang terus oleh doktor. Sebulan setengah selepas kidney transplant, akhirnya tiub itu dibuang.

Selama 2 tahun bermula Julai 2008, tiub itu berfungsi sebagai penyambung nyawa saya untuk menjalankan tugasan menapis kotoran dalam badan selepas buah pinggang saya gagal berfungsi dengan sempurna. Rawatan ini disebut dalam ringkasan CAPD (Continuous ambulatory peritoneal dialysis) dan salah satu alternatif rawatan selain Hemodialisis bagi pesakit buah pinggang. Setelah memilih rawatan ini, pihak Doktor telah menanam tiub ke dalam ruang peritoneal badan secara kekal.



Cecair dialis akan dimasukkan ke ruang tersebut secara berskala setiap 4-6 jam sehari sebanyak 4 kali sehari. Kesimpulannya, saya wajib menjalani rawatan ini 4 kali sehari bermula dari tahun 2008 sehingga tarikh kidney transplant saya yang lalu. Sebulan sekali saya akan ke Hospital selayang untuk mengambil stok cecair tersebut dari stor Hospital. Kos rawatan ini dianggarkan RM 2000 lebih sebulan.

Apa yang membezakan rawatan ini dengan hemodialisis biasa adalah, pesakit lebih bebas bergerak cuma kekerapannya jauh berbeza iaitu 4 kali sehari. Masalah utama rawatan ini adalah kebersihan melampau, kekerapan rawatan dan disiplin masa untuk rawatan. Saya juga menghadapi masalah kekringan tangan kerana sebelum rawatan, pesakit diwajibkan membasuh tangan selama 5 minit. Saya juga bermasalah untuk bermusafir terutama sekali semasa cuti perayaan kerana terpaksa mengira jumlah beg air dan jumlah hari yang perlu dihabiskan di tempat tujuan.

Ringkas cerita, apabila Mak Cik saya bersedia untuk menghadiahkan sebuah buah pinggangnya pada 5 Ogos lalu, saya seakan dibebaskan daripada rawatan ini. Kebebasan ini tambah bermakna dengan pembuangan tiub di perut itu secara kekal pada Isnin lepas..Alhamdulillah

(tiub yang baru dibuang daripada ruang peritoneal saya)


Pengalaman memakai tiub di atas sepanjang 2 tahun amat berharga. Saya mulai mengenal keajaiban ciptaan Allah pada badan kita. Saya juga menghargai nilai kesihatan yang amat berguna kepada manusia yang sihat dan lebih-lebih lagi yang sakit. Semasa menjalani rawatan ini dahulu, saya pernah terfikir bagaimana nasib umrah dan haji saya.

Pernah ayah angkat saya dan murid di Masjid Titiwangsa berhasrat menghantar saya untuk mengerjakan umrah pada tahun 2009, namun ia terbantut kerana rawatan ini. Walau bagaimanapun, sumbangan itu dipanjangkan kepada kawan baik saya yang sama mengajar di Titiwangsa, Ustaz Wan Rusli dan isteri.

Akhir kata,ni'mat ini adalah ni'mat terbesar yang saya rasai. Walaupun Ramadhan dan Syawwal tahun ini saya diuji berulang kali oleh Allah dengan kesakitan kidney transplant, pembedahan membuang rahim dan ovari kiri isteri selepas bersalin, dan pembuangan tiub ini..di hadapan sana Allah menjanjikan masa depan yang lebih baik, cuma saya tidak pasti berapa lama ni'mat ini akan berkekalan sehingga ia ditarik kembali. Harapnya sisa hidup dengan peluang kedua ini dapat saya manafaatkan sebaiknya untuk Allah, agama, diri, keluarga,bangsa dan negara.Insya Allah.

3 comments:

armouris said...

info tentang buah pinggang di SIHAT SELALU - Kegagalan Fungsi Buah Pinggang

mawarberduri said...

Semoga ustaz diberikanNya kesihatan yang baik hingga ke akhir hayat. Amiin.

mawarberduri said...
This comment has been removed by the author.