Thursday, November 4, 2010

HIKMAH DARI AL-QURAN: KISAH NABI NUH AS DAN BANJIR DI UTARA


Banjir yang melanda Utara Semenanjung adalah bukti kekuasaan Allah yang mengawal alam. Walau sehebat mana sekalipun ilmu dan teknologi yang dimiliki manusia, mereka tidak dapat menahan langit daripada menurunkan hujan atau bumi daripada memuntahkan airnya..Renungkan kisah banjir yang berlaku pada zaman nabi Nuh AS dengan sedikit pengajarannya, mudah-mudahan kita mendapat manafaat bersama.


HUD[11.40] (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.


ULASAN AYAT: ALLAH MENGARAHKAN BAGINDA MENYELAMATKAN BERSAMA BINATANG UNTUK MENJAMIN KESINAMBUNGAN HIDUP MANUSIA YANG AKAN MEMERLUKAN SUMBER PROTEIN DARIPADA BINATANG TERSEBUT DALAM RANTAIAN MAKANAN. SELAIN ITU, AHLI KELUARGA YANG PERLU BAGINDA SELAMATKAN LEBIH TEPAT DIMAKSUDKAN SEBAGAI AHLI KELUARGAMU YANG BERIMAN SAHAJA KERANA ADA ISTERI DAN ANAK BAGINDA YANG KUFUR.

[11.41] Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

ULASAN AYAT: INI ADALAH DOA YANG BOLEH DIBACA KETIKA MENAIKI APA SAHAJA KENDERAAN.

[11.42] (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".

[11.43] Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

ULASAN AYAT: KISAH INI BUKTI FITRAH KASIH SAYANG SEORANG AYAH TERHADAP ANAKNYA WALAUPUN ANAK BAGINDA KUFUR DAN ENGGAN MENGIKUT BAGINDA DI ATAS BAHTERA TERSEBUT. SEKIRANYA ANDA SEBAGAI SEORANG AYAH TIDAK MEMPUNYAI RASA KASIH KEPADA ANAK-ANAK BERERTI FITRAH ANDA SUDAH ROSAK, NAMUN BEGITU KASIH SAYANG KEPADA ANAK TANPA MENJAGA BATASAN AGAMA JUGA BOLEH MEROSAKKAN ANDA.


[11.44] Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim".

ULASAN AYAT: INI BUKTI HANYA ALLAH PEMEGANG KUASA ALAM KERANA LANGIT DAN BUMI HANYA PATUH SERTA BERHENTI MENGHASILKAN AIR SELEPAS DIPERINTAHKAN OLEH ALLAH. INI JUGA MENJADI BUKTI DI BAWAH BUMI YANG KITA DIAMI ADA STOR AIR YANG DICPTA ALLAH UNTUK KESEIMBANGAN ALAM.

RUJUK JUGA AYAT INI: AL-MU'MINUN[23.18] Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi;dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.


[11.45] Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".

[11.46] Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".


ULASAN AYAT: INI MEMBUKTIKAN HUBUNGAN AGAMA JAUH LEBIH UTAMA DARIPADA HUBUNGAN KELUARGA APABILA BERADA DI PERSIMPANGAN. BAGINDA RASULULLAH SENDIRI BERPERANG MENENTANG SAUDARA MARANYA YANG MASIH TEGUH DALAM SYIRIK SEMASA DI MADINAH.

LIHAT JUGA AYAT INI, AL-MUJADALAH[58.22] Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.

[11.47] Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi".

ULASAN AYAT: SEBAHAGIAN MUSUH ISLAM SILAP MEMAHAMI AYAT DENGAN MENGATAKAN PERMOHONAN AMPUN BAGINDA MENJADI BUKTI BAGINDA BERDOSA DAN TIDAK MAKSUM. BAGINDA SEKADAR BERTANYA UNTUK MENJELASKAN KEKELIRUAN TENTANG NASIB ANAKNYA YANG MATI DITELAN AIR KERANA ALLAH SUDAH MENJANJIKAN KESELAMATAN AHLI KELUARGANYA (AYAT 40). ALLAH MENJELASKAN HANYA AHLI KELUARGANYA YANG BERIMAN SAHAJA AKAN TERSELAMAT. TEGURAN ALLAH KEPADA BAGINDA DALAM AYAT 46 JUGA BUKAN BERMAKSUD MENGHINA BAGINDA TETAPI LEBIH KEPADA MENGAJAR BAGINDA AGAR LEBIH TELITI DALAM BERDOA DAN JANGAN SAMPAI MEMINTA SESUATU YANG MELANGGAR KETETAPAN ALLAH SEPERTI MENDOAKAN KESEJAHTERAAN KEPADA ORANG YANG SUDAH DIHUKUMKAN MATI KUFUR.

LIHAT JUGA, AL-TAWBAH[9.113] Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

WALAUPUN PERTANYAAN DAN DOA BAGINDA YANG KELIRU TERSEBUT TIDAK DIKIRA SEBAGAI DOSA, BAGINDA YANG TINGGI DARJAT TAWADUKNYA SERTA TELITI HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH TETAP MEMOHON MAAF KEPADA ALLAH DEMI UNTUK MENDAPATKAN KEREDEHAANNYA.

2 comments:

usman said...

Bagus ada ulasan pasal Nabi Nuh dr al Quran. Semoga dibykkan lagi kisah2 dari al quran. usman.sukaimi2gmail.com

usman said...

Cuma nk tanya, gunung judi tu di mana? gunung ararat turki?