Wednesday, March 23, 2011

BENAR RUPANYA SATU AKAN DIGANDAKAN SEPULUH!!


Lama tak menulis di blog ni, sibuk benar rasanya. Rutin kerja & rutin pemeriksaan di Hospital secara mingguan. Bulan lepas semasa berjumpa Doktor di Hospital, didapati keputusan darah saya tak berapa cantik, bacaan creatine (kandungan dalam darah pengukur fungsi buah pinggang) agak tinggi, jadi pemeriksaan lanjut yang lebih terperinci perlu dilakukan. Pada hari Rabu (2/3/2011), pakar Nefrologi, Dr. Wong meminta saya segera dimasukkan ke Wad 7B untuk prosedur biopsi (ambik isi buah pinggang). Saya minta tangguh kerana ada program Jabatan di Sungkai Perak dari Jumaat (4/3/2011) hingga Ahad (6/3/2011).

Sepulangnya dari Perak, saya memandu sendiri ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke Wad 7B. Pagi Isnin (7/3/2011) dalam jam 10 pagi, saya ditolak masuk ke Bilik Biopsi & Dr Eshter memulakan proses biopsi. Dr menggunakan jarum sepanjang setengah kaki. Sebelum dicucuk masuk ke bahagian buah pinggang (depan perut sebelah kiri), ubat bius dicucuk pada bahagian tersebut. Kemudian Dr terpaksa menoreh bahagian kecil di perut untuk memudahkan jarum biopsi dicucuk masuk. Nasib saya tidak baik kerana selepas 2 kali percubaan, isi buah pinggang tidak dapat diperolehi dengan cukup.



Dr Eshter akhir terpaksa dibantu oleh Dr. Suryati. Kesimpulannya, selepas 2 kali dibius dan 4 kali dicucuk dengan jarum biopsi, barulah isi buah pinggang saya diperolehi dan diantar ke makmal untuk mengetahui punca keputusan darah yang tidak berapa cantik untuk bulan ini.

Selepas biopsi, pesakit tidak dibenarkan bangun untuk tempoh 6 jam bagi mengelakkan pendarahan selepas dicucuk dengan jarum biopsi. Saya kemudiannya ditemani oleh seorang jururawat pelatih lelaki. Beliau begitu tekun membantu saya sepanjang tempoh 6 jam tersebut. Saya juga sempat berbual dengannya dan dia berasal dari Rembau negeri sembilan. Beliau membesar sebagai anak yatim kerana ayahnya meninggal dalam kemalangan jalan raya semasa beliau masih kecil. Apabila tiba waktu tengahari, saya berasa kesian dengan jururawat tersebut, lalu saya hadiahkan kepadanya RM 10 untuk belanja makan tengahari.

Kira-kira jam 2 petang, seorang murid saya datang menziarahi saya (Lutfi Abdullah). Beliau menemani saya sehingga hampir jam 3 petang. Sebelum pulang, Lutfi menghulurkan RM 100 kepada saya sebagai hadiah. Saya menolak tetapi Lutfi mendesak agar saya mengambilnya.

Pada waktu itu, hati saya terdetik dan terkejut. Eh! cepatnya Allah membuktikan kebenaran ayatNya..Lihat firman Allah ini!

Saba'[34.39] Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".

Gantian itu pula berjumlah 10 kali ganda. Benarlah juga FirmanNya..

al-An'am[6.160] Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Juga FirmanNya...

al-Baqarah[2.261] Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Pengalaman di depan mata ini ternyata amat istimewa dan bukan boleh dibuat-buat. Allah mampu mengajar kita dengan sesuatu peristiwa yang akan menyedarkan kita betapa benarnya kalam Allah. al-Hamdulillah!

2 comments:

pok jad said...

menarik artikel kamu..=)

atieshariffuddin said...

subhanallah... :)