Monday, February 6, 2012

NAIK LETIH RASANYA BERBALAH TENTANG MAWLID AL-RASUL

BERIKUT ADALAH RENCANA YANG AMAT BAGUS UNTUK DIBACA & DIHAYATI SEMUA BILA TIBA MUSIM MAWLID AL-RASUL

Maulidur Rasul : Perbalahan yang tak sudah

Ustaz Aizam Mas'ud

Penulis hampir bosan dengan isu-isu yang timbul setiap kali sambutan hari Maulidur Rasul hampir tiba. Isu paling utama, adakah Maulidur Rasul itu bid'ah. Sepihak mengatakan ia bid'ah yang sesat dan sepihak lagi mengatakan ia bukan bid'ah malah 'sewajibnya' diadakan demi menampakkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Tidak melakukannya bermakna kita adalah pembenci Nabi SAW.

Maka bermulalah peperangan antara dua kem ini seawal satu bulan sebelum ketibaan hari Maulidur Rasul. Ironinya, peperangan itu berlaku di dalam masjid-masjid dan surau-surau. Ia membingungkan orang awam bila melihat gelagat 'orang-orang agama' bergaduh dan bertekak sesama sendiri. Tiada solusi untuk mendamaikan tapi lebih kepada mengajak orang awam sama ada menyokong kumpulan kami atau kumpulan mereka. Tidak cukup sekadar itu, label tertentu akan diberikan supaya lebih menampakkan kumpulan mereka itulah satu-satunya yang benar dan pihak lain adalah salah dan sesat. Tiada kompromi sama sekali!

Bagi penulis inilah 'bid'ah terbesar' yang berlaku setiap kali ketibaan Maulidur Rasul, iaitu bid'ah berbalah sesama ‘orang agama’. Mengapa? Penulis perturunkan hujah-hujahnya seperti berikut:- 

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, bahawa Maulidur Rasul tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a.h. Jadi tiada hujah untuk menuduh ada pihak yang mendakwa ianya sunnah Nabi SAW.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, bahawa tiada ijma’ (kesepakatan) kalangan para ulama dari dahulu hingga kini, sama ada Maulidur Rasul itu harus disambut atau haram disambut. Jadi, tiada alasan untuk memuktamadkan pada masalah yang tidak disepakati ulama.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, tiada ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith yang menyuruh secara muktamad dan tiada juga ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadith-hadith yang menegah secara muktamad. Apa yang ada adalah bersifat umum, zhanniyat al-dilalah dan terbuka kepada ijtihad. Jadi, sedia maklum tiada bid’ah dalam masalah ijtihadiyyah.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, bahawa Maulidur Rasul hanyalah satu alat bukan satu matlamat. Ia hanya alat untuk menyuburkan kecintaan ummah kepada Rasulullah SAW agar mencapai matlamat untuk melaksanakan perintah dan larangan Nabi SAW. Jadi, selagimana alat itu tidak bertentangan dengan hukum-hakam syara’ maka selagi itulah ia termasuk dalam perkara yang diharuskan.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, sambutan Maulidur Rasul bukanlah suatu ibadah khusus. Kerana itu tiada solat sunat Maulidur Rasul, tiada mandi sunat Maulidur Rasul, tiada tempoh khusus Maulidur Rasul macam waktu solat dan sebagainya. Jadi, selagimana tiada sebarang bentuk ibadah khusus direkayasa atau menisbah perbuatan itu kepada sunnah Rasulullah SAW, maka ia kekal menjadi satu ibadah yang umum, seperti berzikir mengingati Allah SWT dalam keadaan duduk, berdiri, berjalan dan berbaring.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, kecintaan kepada Nabi SAW adalah wajib, tetapi kaedah dalam menunjukkan kecintaan itu adalah umum sama ada melalui pengamalan sunnah, memperbanyakkan ibadah, membaca sirah, melagukan qasidah, berarak dan berhimpun sambil berselawat dan sebagainya. Jadi, terpulang kepada setiap orang kaedah mana yang memberi kesan pada dirinya, selagimana kaedah-kaedah tersebut tidak bertentangan dengan hukum-hakam syara’.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, bahawa Nabi SAW adalah manusia biasa, bukan tuhan dan tidak bersifat ketuhanan. Jadi, selagimana puji-pujian yang ditujukan kepada Baginda SAW tidak melangkaui batas-batas kerasulan dan kemanusiaan, maka ia kekal harus dan digalakkan.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, Maulidur Rasul hanyalah nama bagi satu peristiwa iaitu kelahiran Nabi SAW. Tetapi pengisiannyalah yang menjadi keutamaan. Jadi nilailah pengisiannya sebelum menilai namanya. Janganlah hanya kerana namanya bid’ah, maka pengisiannya turut dibid’ahkan.

Kedua-dua pihak yang bertelagah sepakat, definisi bid’ah bukanlah istilah yang disepakati, ulama berbeza pendapat antara mu’tadilin dan mutasyaddidin. Jadi, berlapang dadalah dan bermaaf-maafanlah dalam memilih pendekatan mana yang lebih menepati jiwa anda.  

Akhirnya, kedua-dua pihak yang bertelagah PATUTNYA sepakat, berbalah dalam perkara yang tidak muktamad dan bukan usul dalam aqidah mahupun syariah sehingga memecahbelah dan membingungkan umat Islam adalah ‘BID’AH’ yang lebih besar dan perlu dibendung. Implikasinya hanya menjauhkan manusia daripada agama kerana benci melihat perbalahan sesama ahli agama.

Perhatikan peristiwa Sayyidina Mu’az yang ditegur Rasulullah SAW. Ketika menjadi imam beliau membaca surah yang panjang iaitu al-Baqarah dan al-Nisa’ sehingga menyebabkan salah seorang makmumnya keluar daripada solat. Apabila peristiwa ini diketahui oleh Nabi SAW, Baginda menegur Mu’az dengan mengatakan: “Adakah kamu tukang fitnah wahai Mu’az” (fitnah di sini bermaksud menjauhkan manusia dari agama). Lalu Rasulullah SAW menambah, “Sedangkan di belakang kamu ada orang tua, orang lemah dan yang berhajat”. (Riwayat Sahih al-Bukhari)

Benar, kita memang ingin mengikut sunnah Rasulullah SAW, melakukan apa yang dilakukan Rasulullah SAW, dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, tapi ingat! Di hadapan kita adalah orang-orang awam yang pelbagai keadaan dan latarbelakang. Raikanlah mereka selagimana boleh diraikan. Jangan sampai di akhirat kelak kita disoal oleh Rasulullah SAW: “Adakah kamu tukang fitnah wahai ………. ?”

Wallahu a’lam…
Dicatat oleh Abu Haseef di 4:07 PTG

No comments: