Lama sungguh tak menulis dalam blog ni...Macam-macam sibuk melanda saya..antara yang paling ketara adalah usaha menyiapkan buku pertama saya (AYAT-AYAT SYAITAN) yang sudah siap dihantar untuk suntingan kepada pihak PTS Publication.
Saya terpaksa berhempas pulas hampir 6 bulan menyiapkan buku tersebut. Mudah-mudahan ia akan menjadi legasi umat Islam di Malaysia selepas kematian saya kelak!
Buku itu akan diterbitkan sebelum Ramdhan, IsyaAllah....
Antara salah satu bab yang saya sentuh dalam buku tersebut adalah bentuk-bentuk serangan syaitan kepada manusia.
Pada hari ini kita melihat pamakaian tudung amat mendapat perhatian masyarakat. Ia juga menjadi satu ledakan fesyen yang amat mengujakan. Walaupun begitu, ramai yang tidak sedar jarum syaitan yang amat halus juga sudah meresap masuk bersama isu pemakaian tudung.
Apa yang WAJIB difahami oleh umat Islam adalah Allah MENGARAHKAN KITA MENUTUP AURAT...BUKAN SEKADAR BERTUDUNG kerana masih ramai yang bertudung tetapi tidak manutup aurat. Mereka yang tidak bertudung dan sudah bertudung begitu ramai sebenarnya DITIPU OLEH SYAITAN.
Antara salah satu serangan (mental) syaitan kepada manusia adalah MENGGALAKKAN PENDEDAHAN AURAT:
1) Iblis pernah menggunakan strategi pelucutan pakaian Adam dan Hawwa’ dalam syurga untuk memalukan mereka berdua. Firman Allah:
فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآَتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
Ertinya: Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)" (al-A’raf[7:20]).
Juga firman Allah:
يَا بَنِي آَدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآَتِهِمَا
Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)(al-A’raf[7:27]).
2) Allah ingin menyelamatkan manusia daripada musibah sosial seperti zina dengan arahan menutup aurat dan menjaga pandangan mata. Firman Allah:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (al-Nur[24:30]).
3) Mata senang terpaut dengan pendedahan aurat kerana ia fitrah semulajadi manusia dan mata manusia yang berfikiran jahat lebih senang terpaut pada pendedahan aurat. Syaitan yang ingin merosakkan manusia dengan musibah zina telah menghasut agar salah satu punca zina iaitu pendedahan aurat dilakukan. Pandangan mata kepada sesuatu yang mengghairahkan adalah salah satu panahan Iblis. Sabda nabi SAW:
النظرة سهم من سهام إبليس مسمومة فمن تركها من خوف الله أثابه جل وعز إيمانا يجد حلاوته في قلبه
Ertinya: Pandangan (mata) adalah salah satu panahan Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah akan diganjari kemanisan iman dalam hatinya (Mustadrak al-Hakim).
4) Menutup aurat bukan sahaja menutup ruang untuk hasutan syaitan, malah ia juga menunjukkan kadar kehormatan seseorang manusia sebagaimana firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Ertinya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Ahzab [33:59]).
Setakat pemerhatian dan analisis penulis, terdapat 3 golongan manusia yang ditipu syaitan dalam isu menutup aurat:
(GOLONGAN PERTAMA) Para penentang hukum aurat (golongan liberal, anti Islam dan sesetengah pejuang feminism) dengan memberikan hujah palsu yang berbentuk putar belit fakta. Berikut adalah beberapa hujah menentang (yang sebenarnya diilhamkan oleh syaitan) dan jawapan kepada mereka:
Hujah penentang yang pertama: Arahan menutup aurat tidak menjamin keselamatan wanita daripada ancaman rogol dan cabul kerana masih ada wanita yang menutup aurat atau kanak-kanak dirogol atau dicabul.
Jawapan: Mereka dicabul atau dirogol kerana kesilapan wanita yang tidak menutup aurat. Nafsu lelaki jahat teransang setelah menatap tubuh wanita lain (yang berpakian seksi) lalu melampiaskan nafsu mereka kepada wanita lain setelah muncul peluang. Ia dikenali sebagai kemusnahan sampingan atau “collateral damage”.
Hujah penentang yang kedua: Al-Quran mementingkan hati yang baik (bertaqwa) bukan semata-mata cara berpakaian. Apa guna menutup aurat tetapi masih berakhlak buruk. Hujah mereka disandarkan kepada perkataan “dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” (al-A’raf[7:26]).
Jawapan: Hujah tersebut tertolak kerana mereka tidak mengambil makna ayat secara sempurna. Perhatikan firman Allah secara sempurna:
يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ
مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk)pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur) (al-A’raf [7:26]).
Ayat ini menjelaskan 3 jenis pakaian yang perlu dipakai oleh manusia iaitu, (1) pakaian yang menutup aurat secara sempurna (penjelasannya terdapat dalam surah al-Nur[24:31] dan hadith Sahih Muslim di bawah/muka surat 75), (2) pakaian perhiasan (bersesuaian dengan fitrah manusia yang ingin berhias) dan (3) pakaian taqwa atau akhlak yang mulia.
Maksud sebenar ayat di atas adalah: dan pakaian yang berupa taqwa (akhlak mulia) itulah yang sebaik-baiknya (setelah wanita menutup aurat dengan sempurna menurut kehendak Allah). Tambahan pula taqwa dalam ayat itu bermaksud mengikut segala arahan Allah serta meninggalkan segala laranganNya. Menutup aurat secara sempurna adalah arahan Allah yang sudah jelas hukumnya. Mendakwa diri bertaqwa tanpa memenuhi tuntutan taqwa adalah satu kesalahan yang nyata.
Hujah penentang yang ketiga: Tiada paksaan dalam agama. Mereka berhujah dengan 2 ayat al-Quran yang menunjukkan konsep tersebut, iaitu firman Allah:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Ertinya: Tidak ada paksaan dalam beragama (al-Baqarah[2:256]).
Juga firman Allah:
أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
Ertinya: maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman? (Yunus [10:99]).
Jawapan: Kedua ayat tersebut menyentuh soal akidah, ia bermaksud sesiapa sahaja (individu, guru, ibu bapa atau kerajaan) tidak boleh sama sekali atau tidak perlu memaksa bukan Islam agar memeluk Islam kerana Islam adalah agama yang jelas kebenarannya dan tidak memerlukan paksaan (Tafsir Ibn Kathir). Setelah seseorang itu mengaku beragama Islam, dia terikat dengan segala hukum Islam tanpa pilihan (difaham daripada perkataan Islam yang bermaksud penyerahan kepada hukum Allah).
Juga berdasarkan firman Allah:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ
اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينً
Ertinya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata (al-Ahzab[33:36]).
Hujah penentang keempat: Walaupun tidak menutup aurat, saya beriman dan hati saya baik.
Jawapan: Iman perlukan pembuktian amalan kerana al-Quran dalam hampir 55 ayat, menggandingkan sebutan iman bersama amal soleh. Menutup aurat secara sempurna termasuk dalam amal soleh yang berganding dengan keimanan kepada Allah dan al-Quran. Iman boleh dibaratkan seperti arus eletrik, cahaya lampu atau putaran bilah kipas pula dibaratkan seperti amal soleh. Arus eletrik dapat dibuktikan kewujudannya apabila peralatan eletrik dapat berfungsi dengan baik, begitulah juga iman dalam hati manusia.
Hujah penentang kelima:Menutup aurat sebenar sekadar percubaan untuk menutup minda dan pemikiran progresif wanita.
Jawapan: Kemajuan atau kemunduran minda bukan bergantung kepada pakaian, tetapi ia berpunca dari hati nurani. Ramai wanita menutup aurat dengan sempurna mampu maju ke hadapan tanpa kekangan dan masih ramai wanita yang mendedahkan aurat berfikiran kolot.
Hujah penentang keenam: Tiada guna menutup aurat kerana ia tidak menjamin kesucian jiwa. Ramai wanita yang menutup aurat masih melakukan maksiat.
Jawapan: Kejahilan dan kesalahan sesetengah orang yang tidak memahami tuntutan menutup aurat yang sebenar tidak boleh dijadikan sebab untuk menafikan terus kewajipan, keberkesanan dan kepentingan hukum tersebut. Ia sama seperti tindakan mengharamkan penggunaan pisau kerana ia telah melukakan tangan, sedangkan banyak lagi fungsi pisau yang berguna untuk kita.
Hujah penentang ketujuh: Penutupan aurat sebenarnya melambangkan eksploitasi minda sesetengah lelaki (khususnya orang agama) ke atas wanita. Wanita tidak mempunyai kebebasan dalam berpakaian kerana dikongkong oleh kaum lelaki yang menggunakan alasan agama.
Jawapan: Menutup aurat adalah perintah agama yang jelas hukumnya tanpa pertikaian. Wanita yang mendedahkan aurat juga sebenarnya dikongkong oleh sesetengah peniaga fesyen pakaian yang mengambil keuntungan daripada eksploitasi mereka terhadap wanita. Mereka menanamkan propaganda yang wanita perlu mendedahkan bahagian tubuh yang tertentu untuk kelihatan cantik dan menawan. Mereka memperkenalkan berbagai fesyen baru untuk mengaut keuntungan dan melariskan produk yang mereka cipta. Tubuh wanita yang terpedaya dengan strategi mereka akan berterusan dijadikan ALAT BISNES, sehingga tidak mustahil suatu hari nanti para pereka fesyen akan mengatakan fesyen terbaik untuk wanita adalah bertelanjang sama sekali.
(GOLONGAN KEDUA) Para pemakai tudung yang tidak memahami hukum aurat yang sebenar.
Oleh kerana jahil tentang tuntutan menutup aurat yang sebenar, golongan ini hanya berpada-pada dengan pemakaian tudung atau menutup rambut, sedangkan skop menutup aurat merangkumi penjagaan seluruh tubuh wanita kecuali tangan dan muka daripada pendedahan kepada bukan muhrim. Sesetengah orang dari golongan ini beranggapan menutup aurat sekadar fesyen semasa. Pemakaian tudung yang mendedahkan dada, bersanggul tinggi seakan bonggol unta, pemakaian baju serta seluar yang jarang, singkat, ketat dan sendat tidak boleh dianggap sebagai penutupan aurat yang sempurna kerana masih mendatangkan ghairah. Dosa mereka tetap sama seperti orang yang tidak menutup aurat. Syarat penutupan aurat yang sempurna disebut oleh nabi SAW:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ
كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ
وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Terjemahan hadith diambil dari Syarh Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi, ertinya: 2 golongan ahli neraka yang belum aku temui iaitu, (1) kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya, juga (2) wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (berpakaian jarang, ketat sehingga menampakkan susuk tubuh), mereka juga menyimpang daripada ketaatan (kepada Allah kerana tidak menjaga kehormatan diri), cenderung (kepada kaum lelaki dan menarik perhatian lelaki dengan lenggok jalan dan pergerakan bahunya). Kepala mereka bersanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak berpeluang mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dihidu dalam tempoh perjalanan sekian dan sekian (jauh dan lamanya) (Sahih Muslim).
Selain larangan yang disebut dalam hadith terdahulu, menutup aurat secara sempurna juga bermaksud mengelakkan sebarang perhatian lelaki asing. Ia difahami daripada firman Allah:
وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا
أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya (al-Nur[24:31]).
Antara bentuk perbuatan yang mampu menarik perhatian adalah memakai wangian (Tafsir Ibn Kathir). Sabda Rasulullah:
كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ وَالْمَرْأَةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ بِالْمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا يَعْنِي زَانِيَةً
Ertinya: Setiap mata boleh berzina, mana-mana wanita yang memakai wangian, lalu melalui sebuah majlis (yang wangiannya mengundangan perhatian lelaki asing) (sebenarnya) seolah dia melakukan begitu dan begini (melakukan zina) (Sunan al-Tirmidhi).
Wanita yang sengaja menarik perhatian lelaki asing dengan wangiannya sebenarnya boleh mendorong kepada zina mata. Pemakaian wangian yang melampau sebenarnya mencacatkan erti menutup aurat yang sebenar.
Penulis berpendapat pemakaian wangian secara sederhana untuk sekadar menutup bau badan setelah seharian bekerja dan bukan bermaksud menarik perhatian lelaki asing boleh dimaafkan, kerana ayat di atas menyebut larangan menghentakkan kaki dengan niat meransang orang asing.
GOLONGAN KETIGA) Orang yang sudah menutup badan dengan sempurna tetapi; (1) bertabarruj (berhias secara berlebih) serta (2) tidak menjaga akhlak.
Kedua kepincangan tersebut memberikan imej buruk kepada Islam dan kemuliaan hukum menutup aurat. Orang awam beranggapan menutup aurat hanya sebahagian daripada fesyen semasa bukan satu suruhan agama. Golongan yang sudah menutup aurat secara sempurna wajib menjaga akhlak dan berpakaian dengan pakaian taqwa yang sempurna (yang disebut pada surah al-A’raf[7:26]). Kata-kata sinis seperti:
“pakai tudung tapi keluar dengan lelaki, pakai tudung tapi tak solat, pakai tudung tapi pemalas, pakai tudung tapi mulut jahat suka mengumpat dan sebagainya” WAJIB dihindari oleh golongan ini demi untuk menjaga kesucian Islam.
Ringkasnya penutupan aurat datang secara berpakej iaitu dengan pakaian luaran dan pakaian dalam (akhlak). Gandingan lengkap antara keduanya jelaskan melambangkan kehormatan dan ketaatan manusia kepada Allah, manakala pendedahan aurat pula lambang kegemaran syaitan dan kederhakaan manusia kepada Allah. Adam dan Hawwa’ yang dimuliakan penempatan mereka dalam syurga segera terlucut pakaian (yang melambangkan kemuliaan) mereka setelah terlupa perintah Allah.
Oleh itu, anak cucu Adam tidak seharusnya sekali lagi terpedaya dengan tipuan syaitan dalam isu pendedahan aurat sebagaimana yang dijelaskan oleh surah al-A’raf[7: 20 & 27] terdahulu.
KESIMPULAN
1) Pendedahan aurat adalah senjata syaitan untuk merosakkan manusia.
2) Menutup aurat bukan fesyen semasa tetapi tuntutan agama yang wajib dilaksana oleh orang yang benar-benar beriman kepada Allah.
3) Ciri menutup aurat yang sempurna merangkumi beberapa aspek;
- Menutup leher dan dada dengan kain tudung kepala.
- Tidak menampakkan susuk tubuh dengan berpakaian jarang dan ketat.
- Tidak melakukan perkara yang boleh menarik perhatian lelaki asing seperti bersolek secara berlebihan, bersuara manja, lirik menjeling serta berjalan secara menggoda dan memakai wangian yang melampau.
- Berakhlak mulia serta menjaga kehormatan hukum menutup aurat seperti tidak meninggalkan solat, tidak mengumpat, mengkhianati amanah, menepati masa, tidak membuang sampah merata-rata dan sebagainya.
PETIKAN DARI BUKU:
AYAT-AYAT SYAITAN
(BAB 8, PERANG GERILA DAN JENIS SERANGAN SYAITAN)
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM
1 comment:
hmmm... Alhamdulillah... nanti dah keluar bukunya, bagi tahu saya, saya nak beli dan nak tandatangan penulis sekali...
moga ia adalah panduan terbaik buat muslim dan mukmin...
Post a Comment