Thursday, August 11, 2011

BILA SEBENARNYA TARIKH NUZUL AL-QURAN????


AL-QURAN KUNCI MA’RIFAH & PENGHIDUP JIWA YANG MATI

Allah adalah Zat yang ghaib. Mata kasar & pemikiran terbatas manusia tanpa bimbinganNya tidak akan dapat mengenalNya (Ma’rifatullah). Kasih sayang Allah terbukti dengan penurunan al-Quran yang menjadi tali antara makhluk denganNya serta cahaya yang membebaskan manusia dari kesesatan. FirmanNya:

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Ertinya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]).

Orang yang diberikan cahaya al-Quran mempunyai kelebihan berbanding orang biasa. Allah membandingkan antara 2 kontra ini. FirmanNya:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (al-Quran, Islam & iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat (al-An’am[6:122]).

2 individu yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah ‘Umar al-Khattab (orang yang dihidupkan hatinya) dan Abu Jahal bin Hisham (yang berterusan mati hatinya)(Tafsir al-Tabari). Ayat ini bukti doa nabi SAW dimakbulkan: Ya Allah muliakanlah Islam dengan salah seorang dari mereka, Umar al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam- Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah).


AL-QURAN DITURUNKAN DUA KALI.

Al-Qur’an diturunkan Allah sebanyak 2 kali:

1) Penurunan secara sekaligus dari langit ketujuh (Bayt al-Ma’mur) ke langit pertama (Bayt al-‘Izzah).

2) Penurunan secara berperingkat bermula di gua Hira’ (al-‘Alaq[96:1-5]) dan berakhir dengan al-Baqarah [2:281] selama 23 tahun (yang akhirnya melengkapkan jumlah 6236 ayat al-Quran).



PERBAHASAN ANTARA (نزَّلَ & أَنْزَلَ)

Para ulama’ bahasa mengatakan (نزَّلَ) bermaksud penurunan secara berperingkat-peringkat, manakala (أَنْزَلَ) bermaksud penurunan secara sekaligus.

Ayat yang membawa maksud penurunan secara sekaligus:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

Erti: Dia menurunkan (secara berperingkat) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan (secara sekaligus) Kitab-kitab Taurat dan Injil (Ali ‘Imran[3:3]).


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا آَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ

Erti: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan (secara berperingkat) kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan (secara sekaligus) dahulu daripada itu (al-Nisa’[4:136]).

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab) (al-Dukhan[44:3]).


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar (al-Qadr[97:1]).


BERAPA TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN KEPADA NABI SAW DI GUA HIRA’?

Orang awam sering keliru tentang tarikh Nuzul al-Quran (17 Ramadhan sebagai cuti Nuzul al-Quran di Malaysia). Sedangkan yang diketahui umum al-Quran turun pada malam al-Qadr dan malam al-Qadr pula tersembunyi pada 10 malam terakhir Ramadhan (20-30). Sebenarnya terdapat banyak pendapat tentang tarikh penurunan al-Quran kepada nabi SAW:

1) 17 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada tarikh berlakunya perang Badar. Firman Allah:

Ertinya: Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

2) 24 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada sabda nabi: Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Tawrat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad). Ibn Hajar berkata: Pendapat ini bertepatan dengan (al-Baqarah[2:185] & surah al-Qadr. Boleh jadi malam itu adalah malam al-Qadr untuk tahun itu; ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit dunia itu. Kemudiannya al-Quran diturunkan kepada nabi SAW bermula dengan Iqra’ juga pada malam ke 24 Ramadhan (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

3) 21 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada hadith tentang kelebihan berpuasa pada hari Isnin. Apabila ditanya tentang keistimewaan puasa hari Isnin, baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itulah juga al-Quran (Iqra’) mula diturunkan kepadaku (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud).

Ulama sejarah Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya berkata: Nabi dilantik pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi. Hari Isnin Ramadhan pada tahun itu pula (pada perkiraan ahli falaq) jatuh pada 7, 14, 21 & 28. Nas lain juga menyebut malam al-Qadar hanya jatuh pada malam ganjil. Oleh itu malam ke 21 adalah yang paling sesuai untuk dikatakan sebagai tarikh Nuzul al-Quran kepada nabi SAW di Gua Hira’ (al-Rahiq al-Makhtum, ms 70-71).



PENURUNAN DAN PENYEMPURNAAN AL-QURAN SEPATUTNYA MENJADI HARI RAYA KEPADA
ORANG BERIMAN



يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58)

Erti: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad: "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata) dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)" (Yunus[10:57-58]).

Walau bagaimanapun! Bukan tarikh yang perlu menjadi fokus utama umat islam tetapi sejauh mana kesyukuran dan hak al-Quran yang sudah kita laksanakan. Tanggungjawab kita kepada al-Quran terkandung dalam beberapa prinsip iaitu:

1) Tilawah. Bacaan bertajwid.

2) Tafsir. Faham isinya.

3) Tadabbur. Penghayatan.

4) Tatbiq. Perlaksanaan isinya.

5) Tahfiz. Hafaz sekadar termampu kerana hafazan membantu proses perlaksanaan.


Selain itu, hari penurunan/penyempurnaan AL-Quran adalah hari raya! Seorang Yahudi berkata kepada Umar: Kamu membaca satu ayat (al-Ma’idah[5:3]), sekiranya ayat sedemikian turun kepada kami nescaya kami akan jadikannya hari raya. Umar menjawab..ia turun pada hari Arafah & hari Jumaat (sememangnya ia hari raya) (Sahih al-Bukhari).

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]).

Yahudi tersebut berkata demikian kerana Tawrat juga diberikan kepada nabi Musa secara sekali gus pada 10 Dhu al-Hijjah. Baginda AS menerimanya selepas bermunajat selama 40 hari bermula 1 Dhu al-Qa’dah (al-A’raf[7:142-145]) (Tafsir al-Tabari).

Thursday, August 4, 2011

Mungkin beginilah caranya Allah bercakap dengan kita?


Coretan kali ini bersempena cukup setahun saya menjalani pembedahan buah pinggang (kidney transplant)(5 Ogos 2010- 5 Ogos 2011). Saya amat bersykur kepada Allah dan amat berterima kasih kepada ibu saudara saya yang bermurah hati mendermakan sebelah buah pinggangnya yang bernilai RM 300 ribu.

*******


Nabi musa AS digelar sebagai Kalimullah kerana baginda bercakap secara terus dengan Allah. Ini disebut oleh firman Allah:

وَرُسُلًا قَد قَصَصنٰهُم عَلَيكَ مِن قَبلُ وَرُسُلًا لَم نَقصُصهُم عَلَيكَ ۚ وَكَلَّمَ اللَّهُ موسىٰ تَكليمًا

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)(al-Nisa'[4:164]).Allah juga berfirman:

۞ وَما كانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلّا وَحيًا أَو مِن وَرائِ حِجابٍ أَو يُرسِلَ رَسولًا فَيوحِىَ بِإِذنِهِ ما يَشاءُ ۚ إِنَّهُ عَلِىٌّ حَكيمٌ

Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja) atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana (al-Syura[42:51]).Kisah percakapan nabi Musa dengan Allah dijelaskan lagi dengan kisah berikut:

وَلَمّا جاءَ موسىٰ لِميقٰتِنا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قالَ رَبِّ أَرِنى أَنظُر إِلَيكَ ۚ قالَ لَن تَرىٰنى وَلٰكِنِ انظُر إِلَى الجَبَلِ فَإِنِ استَقَرَّ مَكانَهُ فَسَوفَ تَرىٰنى ۚ فَلَمّا تَجَلّىٰ رَبُّهُ لِلجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ موسىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمّا أَفاقَ قالَ سُبحٰنَكَ تُبتُ إِلَيكَ وَأَنا۠ أَوَّلُ المُؤمِنينَ


Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhan kamu (al-A'raf[7:143]).


NAMUN BEGITU
! Satu perkara penting yang perlu difahami adalah percakapan Allah sama sekali tidak akan sama dengan percakapan makhluk yang bersuara kerana Allah adalah zat yang tunggal dan tidak akan menyerupai makhlukNya walaupun dalan tatacara bercakap. Oleh itu kita WAJIB yakin bahawa Allah bercakap dengan caraNya tersendiri yang LANGSUNG TIDAK SAMA DENGAN MAKHLUKNYA. Ini dikukuhkan dengan dalil:

 لَيسَ كَمِثلِهِ شَيءٌ ۖ وَهُوَ السَّميعُ البَصيرُ

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (al-Syura[42:11]).*****

Posting kali ini sekadar untuk berkongsi pengalaman peribadi dengan para pembaca semua yang bertujuan MEMBAWA PENDEKATAN bahawa Allah sememangnya wujud dan berada di samping kita pada setiap masa. Bahkan lebih dekat dari apa yang kita boleh bayangkan. FirmanNya:

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ ۖ وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf[50:16]).
****

Saya pernah beberapa kali mengalami bisikan tidak bersuara yang kemudiannya membawa kepada suatu tindakan yang menenangkan jiwa. Pengalaman ini saya andaikan suatu bentuk bagaimana Allah bercakap dan MENEGUR perbuatan saya.


PERISTIWA PERTAMA-Tuntutan menjaga hubungan silaturahim.

Pada Ramadhan dan cuti hari raya tahun lepas saya terpaksa berada di Kuala Lumpur kerana pihak Doktor melarang saya pulang ke kampung. Kesunyian amat terasa kerana tidak dapat bersama keluarga pada hari raya. Selepas cuti raya, kami masih kesunyian kerana abang ipar saya yang tinggal di Putra Jaya diam seribu bahasa dan langsung tidak menghubungi kami.

Suatu pagi semasa menuju ke hospital untuk rawatan susulan mingguan, fikiran saya menjadi celaru dan sedih dengan sikap TIDAK PEDULI abang ipar saya ini. Saya berfikir, kami yang baru sahaja menjalani pembedahan serta masih dalam tahap pemulihan tidak sepatutnya dibiarkan tanpa perhatian keluarga terdekat. Sedang saya melayan kesedihan hati, tiba-tiba satu suara meningkah dalam minda saya: KALAU KAMU TIDAK MAHU MENGHUBUNG SILATURAHIM...JANGAN SEKALI-KALI PULA KAMU CUBA MEMUTUSKANNYA! MUNGKIN ABANG IPAR KAMU MEMPUNYAI MASALAHNYA TERSENDIRI! JANGAN BERSIKAP MEMENTINGKAN DIRI KAMU SENDIRI SAHAJA! Saya tersentak dan baru sedar kesilapan saya yang terlalu mementingkan diri sendiri.

Ketika pulang dari hospital, saya menghubungi abang ipar saya dan memang benar! Dia sendiri mengalami sakit teruk dan sudah 2 kali dimasukkan ke hospital Putra Jaya sepulangnya dari cuti raya. Saya amat terkejut dengan pengalaman ini dan saya andaikan suara yang meningkah dalam minda jahat saya itu adalah suatu bentuk percakapan Allah kepada saya. Allah ingin menegur keegoan saya!



PERISTIWA KEDUA-Doa saya kepada isteri dimakbulkan.

Selepas pembedahan, saya dan isteri (yang juga baru menjalani pembedahan buang rahim akibat pendarahan teruk ketika melahirkan anak keempat kami pada 26 Ogos 2010)telah bertemu dengan Ketua Pengarah LHDN di Jalan Duta untuk memohon pertukaran temnpat kerja. Isteri saya yang bekerja di Klang amat perlu berpindah ke tempat yang lebih dekat memandangkan keadaan kesihatan kami berdua. Namun pertemuan dengan KP LHDN itu tidak menjamin apa-apa kerana tiada kekosongan tempat untuk sebarang pertukaran.

Kami pasrah dengan keputusan pertukaran dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Kira-kira sebulan lepas, saya bangun bersolat malam dan secara khusus saya berdoa (melebihi daripada biasa) agar isteri kesayangan ini mendapat peluang kerjaya yang cemerlang dan diberikan pertukaran yang dipohon. Semalam (4/8/2011), pihak pentadbiran LHDN Jalan Duta menawarkan isteri saya 2 tempat pertukaran sama ada ke LHDN cawangan Shah Alam atau ke Jalan Duta. Setelah berbincang, isteri saya memilih untuk bertukar ke Jalan Duta. Kami bersyukur dengan keputusan ini.

Malam semalam selepas sahur, saya sempat bersolat 2 rakaat dan seperti biasa, sujud menjadi medan doa dan munajat saya kepada Allah. Ketika berdoa secara khusus untuk kecemerlangan hidup dan kerjaya isteri saya, suatu suara meningkah dalam minda saya: ALLAH DAH MAKBULKAN DOAMU DAHULU (BULAN LEPAS) SEKARANG ISTERIMU AKAN BERTUKAR KE TEMPAT TERDEKAT DENGAN RUMAH! Selesai solat saya terfikir, mungkin ini juga satu cara Allah bercakap dengan saya untuk menyuruh saya agar bersyukur kepadaNya.



PERISTIWA KETIGA-Rajuk isteri saya kerana penangguhan pembedahan.

Tahun lepas, tarikh pembedahan saya hampir bertemu dengan tarikh jangkaan kelahiran bayi kami yang keempat. Isteri saya sudah mengambil cuti tanpa gaji selama 3 bulan sebagai langkah persediaan untuk menjaga saya dan melahirkan anak. Malangnya tarikh pembedahan saya sudah berkali-kali ditangguhkan. Penangguhan ini amat merisaukan isteri saya yang cutinya hampir berakhir. Emosinya begitu tertekan dan kami pernah beberapa kali bertegang urat berbincang tentang kerenah hospital dan jangkaan tarikh pembedahan saya.

Pada suatu malam kira-kira jam 2 pagi, ketika sedang nyenyak tidur saya dikejutkan oleh isteri saya. Beliau lantas mencium dan meminta maaf kerana telah bertegang urat tentang isu tarikh pembedahan. Apabila tersedar dari tidurnya sebentar tadi, satu suara halus menusuk ke dalam mindanya secara berterusan. Suara hati yang tidak dapat dikawal oleh mindanya itu seolah-olah berkata:KAMU SEHARUSNYA BERSABAR DI ATAS UJIAN INI, SETIAP UJIAN YANG DIBERIKAN PASTI MAMPU DITANGGUNG OLEH KAMU. KAMU TIDAK SEPATUTNYA BERTEGANG URAT DENGAN SUAMI KAMU. SUAMI KAMU MEMBAWA AL-QURAN SEBAGAI PERJUANGANNYA. KAMU WAJIB MENJAGANYA DENGAN BAIK.
Saya andaikan ini juga salah satu bentuk percakapan dan teguran Allah kepada isteri saya. Subhanallah!



Pengalaman ini bukan bertujuan mengatakan saya atau isteri adalah manusia pilihan. Siapalah kami, akan tetapi ia mungkin pernah juga berlaku kepada anda, dan sekiranya ia berlaku, anda wajib bersyukur kepadaNya. Ini juga menjadi bukti memang Allah senantiasa bersama kita. Tinggal lagi adakah kita ini merasakan kehadiranNya.

Atau ini mungkin juga suatu bisikan malaikat sebagaimana sabda nabi SAW:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Sesungguhnya syaitan dan malaikat mempunyai bisikan kepada anak Adam. Adapun bisikan syaitan adalah suatu dorongan untuk melakukan kejahatan dan mendustai kebenaran, manakala bisikan malaikat pula suatu dorongan untuk melakukan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Sesiapa yang mendapati bisikan itu (malaikat), maka ketahuilah ia datang dari Allah dan hendaklah dia memuji Allah (bersyukur), manakala sesiapa yang mendapat bisikan lain (syaitan), maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada syaitan yang direjam (Sunan al-Tirmidhi).


Allahu A'lam!

Sunday, July 31, 2011

USTAZ! SAYA DAH MUAK DENGAN TAZKIRAH RAMADHAN!



PERLU ADA KELAINAN PADA TAZKIRAH RAMADHAN.

Teringat saya peristiwa di ambang Ramdahan 2 tahun lepas. Kelas Tafsir saya dalam Program Kursus Umum Tilawah al-Quran anjuran IfLA, CELPAD, UIAM biasanya akan berakhir semesternya sebelum Ramadhan. Para peserta di kelas tersebut akan mengadakan jamuan tutup kelas merangkap jamuan menjelang awal Ramdahan.

Ketika berbicara sambil makan, seorang murid saya bergurau tentang pengisian (Tazkirah) Ramadhan yang bakal menjelma. Murid saya berkata: Ustaz! Saya dah hafaz semua nass dan dalil berkaitan Ramadhan! Kadang-kadang penceramah yang datang asyik dok pusing isu yang sama saja. Kita jemaah pun dah naik muak!

Menurutnya tazkirah Ramdhan saban tahun terlalu berulang isinya sehingga membosankan para jemaah. Kenyataan gurauan ini walaupun agak kasar, ada kebenarannya. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran kepada para penceramah agama dan ustaz. Kadang kala untuk mempromosikan agama Allah, kita perlu kreatif dan berfikir di luar kotak. Persepsi sesetengah orang awam yang cintakan agama sebegini perlu diraikan.

Antara pendekatan baru yang boleh dibuat adalah dengan mengulas isi kandungan al-Quran itu sendiri secara ringkas pada setiap malam Ramadhan. Kali pertama saya didedahkan dengan pendekatan sebegini adalah melalui amalan Tuan Guru Nik Aziz semasa beliau memimpin solat terawih di Masjidnya di Kg. Pulau Melaka, Kota Jembal, Kota Bharu.

Setelah saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1993, saya tidak melihat pendekatan tersebut sehinggalah pada tahun 1996 saya dijemput menjadi Imam Terawih di Surau al-Nur, Bandar Baru Bangi berhampiran Dar al-Syifa’. AJK dan jemaah surau meminta kami, para imam hafiz agar memberikan tazkirah tentang kandungan ringkas setiap juzuk pada setiap malam sebelum menunaikan solat terawih. Permintaan ini mendorong saya untuk membaca, mencari rujukan dan memahami isi setiap juzuk.

Sekarang ini pun saya menggunakan pendekatan yang sama setiap kali Ramadhan. Saya amat bersyukur kerana pihak Masjid Ibnu Sina Tasik Titiwangsa agak terbuka dalam aspek ini. Pihak masjid memberikan saya ruang dalam kira-kira 10 minit setiap malam sebelum terawih untuk mengulas isi kandungan juzuk yang bakal dibaca.


Kaedah yang sama juga saya cuba terapkan untuk kaki tangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Minggu lepas saya mendapat jemputan untuk memberikan ceramah Ramadhan untuk kaki tangan Perpustakaan UIAM.

Tajuk ceramah yang dijadualkan pada 19 Ogos (19 Ramadhan) itu adalah: Ramadhan Bulan Sedekah. Saya menerima jemputan tersebut dengan 2 syarat:

1) Tajuk asal mesti diubah kepada Tadabbur juzuk 19 al-Quran bersempena hari ke 19 Ramadhan.

2) Setiap kaki tangan Perpustakaan UIAM mesti membawa mushaf terjemaan masing-masing (kongsi Mushaf tidak dibenarkan).

Alhamdulillah, kedua syarat tersebut dipersetujui oleh pihak yang menjemput. Saya sengaja menukar tajuk demi untuk mencari kelainan dan saya juga percaya ramai yang BELUM PERNAH TADABBUR juzuk 19.

Al-Quran yang mengandungi 6236 ayat, 114 surah dan 30 juzuk seperti sebuah lautan yang luas. Di dalamnya terkandung segala macam khazanah alam dan sumber makanan rohani yang perlu diambil manafaat oleh umat Islam. Tambahan pula bulan Ramadhan yang menjadi bulan penurunan al-Quran seperti bulan menuai dan mengail hasil dari al-Quran itu sendiri. Alangkah malangnya sekiranya bulan ini berlalu tanpa kita berpeluang untuk mengambil barang sedikit dari isinya!

Thursday, July 21, 2011

SEMALAM (KHAMIS 21 JULAI 2011) YANG MENGINSAFKAN

Semalam (Khamis, 21 Julai 2011) telah membuka mata saya tentang kekurangan diri serta mengajar erti sebenar ayat dari surah Yusuf:

نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

[12:76] (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.

PERISTIWA PERTAMA: BERSAMA USTAZ SAIFUDIN MAULUP DI PUSAT PENDIDIKAN AL-ISRHAD (9am -2pm).

Semalam saya terlibat menguji para pekerja Tabung Haji Seremban dalam ujian Penentuan Tahap bacaan al-Quran kerana pihak pengurusan Tabung Haji Pusat berhasrat membekalkan kakitangan mereka dengan kemahiran bacaan al-Quran. Sebelum sampai ke Tabung Haji Seremban kami (saya dan Ustaz Zulkhairi [ketua Jabatan Tilawah al-Quran, CELPAD,UIAM]) singgah terlebih dahulu di sekolah agama rakyat (Pusat Pendidikan al-Irshad) kelolaan kawan lama kami semasa belajar di Dar al-Quran Jakim (1993-1997).


Ustaz Zulkhairi, saya & Ustaz Saifudin Maulup


Selepas pulang dari Mesir pada tahun 2002, Ustaz Saifudin Maulup telah mengambil alih sekolah agama rakyat di Kg. Labu Negeri Sembilan. Ringkasnya setelah bertahun berjuang, beliau berjaya memajukan sekolah tersebut sehingga tahap sekarang dan dinamakan Pusat Pendidikan al-Irshad. Sekolah tersebut masih dalam usaha pencarian dana untuk menubuhkan kompleks yang lebih berkualiti. Melihat kepada kegigihan beliau berjuang memajukan sekolah tersebut sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan wang dari poket sendiri jelas menunjukkan keikhlasan beliau dalam menegakkan Dakwah Islam di tempatnya.


Pelajar Tahfiz al-Irshad


Semasa pulang, saya berasa malu dengan diri sendiri kerana sumbangan yang teramat sedikit terhadap ummah jika hendak dibandingkan dengan perjuangan membangunkan al-Irshad oleh Ustaz Saifudin. Pastinya beliau sudah menanam benih sedekah jariah, ilmu bermanafaat dan doa anak soleh yang bakal menjadi sahamnya di akhirat kelak! Subhanallah.

Ustaz Saifudin yang mengamalkan sebuah Tariqat juga menjelaskan kepada saya tentang hakikat sebenar hidup secara sufi.Perbincangan kami juga membuka mata saya apa hakikat sebenarnya sufi dan proses penyucian jiwa di sisi Allah. Kadang-kadang kita terlalu asyik berdebat, melabel orang dengan berbagai label sehingga lupa untuk menyucikan jiwa. Akibatnya kita ditenggelami secara tidak sedar dengan penyakit Ujub, Riya’ dan sebagainya.

-Para pembaca yang budiman boleh membantu mengukuhkan lagi perjuangan Ustaz Saifudin dengan menyebarluaskan usaha beliau. Maklumat mengenai Pusat Pendidikan al-Irshad boleh didapati di link ini.

PERISTIWA KEDUA: LIQA’ DAIE & ASATIZAH DI SG MERAB (JAM 7:30 PM- 12:15 AM)


Jam 6:30 petang saya memandu sendirian meredah kesesakan jalan raya di KL untuk ke Sg. Merab , Bangi untuk menghadiri buat kali pertama Liqa’ Daie & Asatizah. Liqa’ ini pada awalnya dianjurkan oleh Ustaz Dr. Zaharuddin (rujuk link ini). Liqa’ ini mengumpulkan beberapa tokoh ilmuan agama ternama tanahair yang banyak memberikan sumbangan ilmu kepada umat Islam di Malaysia. Pertemuan ini bertujuan menyatukan para ilmuwan dan pendakwah agama yang datang dari berbagai kepakaran.

Apabila bertemu dengan ahli liqa’ ini, terasa diri saya amat kerdil dan jahil. Pertemuan sebegini amat bagus untuk menyedarkan semua bahawa bergerak berseorangan senang mendedahkan diri kepada berbagai masalah seperti Ujub, Syok sendiri dan terlebih pandai. Banyak isu semasa dibincangkan dalam liqa' ini, antaranya definisi Wasatiyyah yang menjadi prinsip Liqa' ini. Dr Zaharuddin yang menjadi moderator juga menjelaskan dalam setiap Liqa', para ahli yang selesai membaca sebuah buku baru yang baik boleh berbincang dan berkongsi maklumat tentang buku tersebut.

Ahli Liqa' yang mempunyai sebarang kemusykilan agama juga boleh bertanya pandangan semua ahli Liqa'. Dalam pertemuan terdahulu isu bedah batin dibangkitkan dan dalam Liqa' kali ini Ustaz Aizam menjelaskan hukum tentang isu tersebut.

Antara ahli liqa’ yang hadir ialah:

1) Dr. Zulkifli al-Bakri.
2) Dr. Abdul Basit
3) Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
4) Dr. Maszlee Malek
5) Dr. Zahazan
6) Ustaz Hasrizal
7) Ustaz Aizam Masood
8) Dr. Wifaq USIM
9) Ustaz Norhisham
10) Ustaz Syauqi UPM
11) Dr. Khairudin Aman Razali
12) Ustaz Zamri Mari mengaji TV9
13) Ustaz Nidzam Abd Kadir
14) Ustaz Ahmad Husni

Dan beberapa tokoh lain.





Sepulangnya dari pertemuan ini, saya bersyukur kerana diberikan peluang bersama mereka dan menanamkan azam agar dapat berusaha lebih lanjut memberikan sumbangan kepada Islam mengikut kepakaran yang saya miliki. Insya Allah.

Sesungguhnya semalam adalaah hari khamis yanag cukup indah dengan 2 pengalaman berharga di 2 tempat yang berbeza. Alhamdulillah!!

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Segala puji bagi Allah yang dengan ni’matNya sempurnalah segala amal soleh!
(Sunan Ibn Majah).

Thursday, July 7, 2011

MOTIVASI & PERINGATAN UNTUK ORANG YANG DITIMPA MUSIBAH


Musibah ada lumrah hidup. Apabila ditimpa musibah berbagai reaksi orang terhadap kita. Di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang mungkin boleh meredakan situasi atau menenangkan jiwa orang yang sering mendapat musibah.

MUSIBAH MUNGKIN PENGHAPUS DOSA

al-Nisa'[4.79] Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).


al-Syura[42.30] Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

MUSIBAH SEBAGAI TANDA IMAN DAN TAQWA

Sabda nabi: Sesungguhnya orang yang yang paling teruk diuji adalah para nabi, kemudian orang soleh, kemudian orang yang seperti mereka, kemudian yang seperti mereka. Seseorang itu diuji berdasarkan agamanya, sekiranya pegangan agamanya teguh maka ujiannya bertambah kuat (Sahih al-Bukhari & Sunan Ibn Majah)
KESIMPULANNYA:

1) Sekiranya anda mendapat Musibah...bersyukurlah kerana dengan melihat kepada dalil pertama & kedua, ia bermaksud anda ditegur kerana dosa anda. Teguran dan musibah itu pula menjadi PENGHAPUS DOSA yang mungkin tak mampu anda tanggung di akhirat.2) Bersyukurlah juga dengan melihat hadith di atas kerana musibah yang melanda menunjukkan INGATAN ALLAH YANG ISTIMEWA kepada anda.

3) Kedua sudut pandang di atas sememangnya baik untuk rohani anda sebagai hamba Allah!! Oleh itu sekiranya mendapat musibah, di samping mengucapkan Inna Lillah..ucapkanlah juga alHamdulillah..nabi juga membaca sebegini apabila mendapat musibah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Segala Puji bagi Allah di atas semua perkara/keadaan (Sunan Ibn Majah)

Wednesday, March 23, 2011

BENAR RUPANYA SATU AKAN DIGANDAKAN SEPULUH!!


Lama tak menulis di blog ni, sibuk benar rasanya. Rutin kerja & rutin pemeriksaan di Hospital secara mingguan. Bulan lepas semasa berjumpa Doktor di Hospital, didapati keputusan darah saya tak berapa cantik, bacaan creatine (kandungan dalam darah pengukur fungsi buah pinggang) agak tinggi, jadi pemeriksaan lanjut yang lebih terperinci perlu dilakukan. Pada hari Rabu (2/3/2011), pakar Nefrologi, Dr. Wong meminta saya segera dimasukkan ke Wad 7B untuk prosedur biopsi (ambik isi buah pinggang). Saya minta tangguh kerana ada program Jabatan di Sungkai Perak dari Jumaat (4/3/2011) hingga Ahad (6/3/2011).

Sepulangnya dari Perak, saya memandu sendiri ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke Wad 7B. Pagi Isnin (7/3/2011) dalam jam 10 pagi, saya ditolak masuk ke Bilik Biopsi & Dr Eshter memulakan proses biopsi. Dr menggunakan jarum sepanjang setengah kaki. Sebelum dicucuk masuk ke bahagian buah pinggang (depan perut sebelah kiri), ubat bius dicucuk pada bahagian tersebut. Kemudian Dr terpaksa menoreh bahagian kecil di perut untuk memudahkan jarum biopsi dicucuk masuk. Nasib saya tidak baik kerana selepas 2 kali percubaan, isi buah pinggang tidak dapat diperolehi dengan cukup.



Dr Eshter akhir terpaksa dibantu oleh Dr. Suryati. Kesimpulannya, selepas 2 kali dibius dan 4 kali dicucuk dengan jarum biopsi, barulah isi buah pinggang saya diperolehi dan diantar ke makmal untuk mengetahui punca keputusan darah yang tidak berapa cantik untuk bulan ini.

Selepas biopsi, pesakit tidak dibenarkan bangun untuk tempoh 6 jam bagi mengelakkan pendarahan selepas dicucuk dengan jarum biopsi. Saya kemudiannya ditemani oleh seorang jururawat pelatih lelaki. Beliau begitu tekun membantu saya sepanjang tempoh 6 jam tersebut. Saya juga sempat berbual dengannya dan dia berasal dari Rembau negeri sembilan. Beliau membesar sebagai anak yatim kerana ayahnya meninggal dalam kemalangan jalan raya semasa beliau masih kecil. Apabila tiba waktu tengahari, saya berasa kesian dengan jururawat tersebut, lalu saya hadiahkan kepadanya RM 10 untuk belanja makan tengahari.

Kira-kira jam 2 petang, seorang murid saya datang menziarahi saya (Lutfi Abdullah). Beliau menemani saya sehingga hampir jam 3 petang. Sebelum pulang, Lutfi menghulurkan RM 100 kepada saya sebagai hadiah. Saya menolak tetapi Lutfi mendesak agar saya mengambilnya.

Pada waktu itu, hati saya terdetik dan terkejut. Eh! cepatnya Allah membuktikan kebenaran ayatNya..Lihat firman Allah ini!

Saba'[34.39] Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".

Gantian itu pula berjumlah 10 kali ganda. Benarlah juga FirmanNya..

al-An'am[6.160] Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Juga FirmanNya...

al-Baqarah[2.261] Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Pengalaman di depan mata ini ternyata amat istimewa dan bukan boleh dibuat-buat. Allah mampu mengajar kita dengan sesuatu peristiwa yang akan menyedarkan kita betapa benarnya kalam Allah. al-Hamdulillah!

Saturday, February 26, 2011

DEMONSTRASI DI MESIR DAN TANAH ARAB SEKARANG HARAAMMM??

Bila berlaku demonstrasi rakyat Mesir yang membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak terdapat reaksi negatif sesetengah kumpulan islam. Mereka mengatakan demonstrasi aman adalah bid'ah yang tidak dipraktikkan oleh Nabi SAW. Kadang-kadang kita perlu terbuka dan fleksibel dalam memahami isu sebegini agar umat islam tidak dipandang hina dan berfikiran sempit. Rencana ustaz Zaharuddin ini memang boleh membuka minda anda tentang keluasan islam.

*******

Jangan Keliru : Hukum Politik, Dakwah,Muamalat & Ibadah

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net



Fiqh muamalat bukanlah terhad kepada hukum-hakam di dalam urusan kewangan semata-mata tetapi ia tercabang kepada seluruh urusan di antara manusia sesama mereka.

Justeru, urusan politik (siyasah), pentadbiran, nikah kahwin (munahakah), hukum jenayah, cara dakwah serta akhlak juga terkandung di dalam bab fiqh muamalat. Muamalat ini juga boleh diklasifikasikan dalam bab ‘Al-Adat’. Sheikh al-Islam Ibn Taymiah berkata :

تصرفات العباد من الأقوال والأفعال نوعان : عبادات يصلح بها دينهم وعادات يحتاجون إليها في دنياهم

Ertinya : Urusan hamba (manusia) seluruhnya sama ada perkataan dan perbuatan itu boleh diklasifikasikan kepada dua jenis : Ibadah yang baik untuk agama mereka dan hal adat yang diperlukan oleh manusia untuk urusan dunia mereka (Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah Al-Nuraniyyah, hlm 111)

APAKAH KESAN TERHADAP PEMBAHAGIAN DAN KEFAHAMAN INI?

Sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama silam dan kontemporari, urusan hukum dalam bab fiqh Ibadah adalah agak terhad dan terikat dengan dalil yang specifik (khusus) dan sebahagian dalil umum. Apapun ia mesti mempunyai dalil yang jelas. Sebagaimana kaedah yang dipersetujui oleh para ulama menyebut:-

الأصل في العبادة التوقف

Ertinya : Hukum panduan (asal) bagi urusan ibadah adalah tawaqquf (berhenti dari mencipta, mesti datang dari dalil) (Rujuk kaedah ini dalam, Ibn Hajar, Fath Al-Bari, 3/54 ; Ibn Mufleh, Al-Adab Al-Syar’iyyah, 2/265 ; Al_Zarqani, Syarah Al-Muwatta’, 1/434 ; Al-Syawkani, Naylul Awtar, 2/20)

Syeikhuna Al-Imam Dr. Yusuf Al-Qaradawi pula mengulas lanjut berkenaan displin hukum dalam bab ibadah dengan menjelaskan ciri sesebuah ibadah khusus itu dengan dua kaedah :

ألا يعبد إلا الله

Ertinya : Tiada yang layak diabdikan diri kepadanya kecuali Allah ( ertinya niat mestilah kerana Allah)

ألا يعبد إلا بما شرع

Ertinya : Tiada ibadah kecuali yang disyari’atkan ( mestilah bersumber secara specific atau umum dari nas dalil al-Quran dan hadith).

Hasilnya tidak dibenarkan untuk sesiapa di kalangan manusia, mencipta apa jua bentuk ibadah baru yang tidak didasari oleh dalil. Bukan itu sahaja, malah semua ibadah itu mestilah disandarkan kepada dalil dengan cara istidlal dan istinbad yang sohih.

HUKUM MUAMALAT BERBEZA

Ibn Abidin menjelaskan beberapa aspek muamalat katanya:”muamalat boleh dibahagi kepada lima iaitu pertukaran pemilikan dalam jual beli (mu’wadah maliah), nikah kahwin, perbicaraan di mahkamah (mukhosamah), kontrak amanah (termasuk politik dan kepimpinan), dan pembahagian pusaka” ( Hashiah Ibn ‘Abidin, 1/79)

Bagi semua hukum hakam dan cara serta bentuk dalam fiqh muamalat pula, Allah s.w.t hanya meletakkan beberapa INTI sebagai asas utama yang tidak berubah (ia dinamakan thawabit), namun kebanyakan cara dan bentuk pelaksanaannya boleh berubah dengan perubahan zaman serta tempat. Namun begitu, sebarang perubahan hukum mestilah diawasi oleh para ulama berkelayakan melalui kaedah-keadah tertentu yang sukar untuk diterangkan di sini.

Displin ini penting agar kebebasan itu tidak disalahgunakan oleh sebahagian manusia yang berkepentingan. Hasil dari prinsip muamalat yang tetap dan pelaksanaan yang flexible, Islam dapat menyelesaikan pelbagai masalah kemanusian yang sentiasa berkembang dan pelbagai di setiap pelusuk dunia.

Keadahnya disebut :

الأصل في المعاملات والعادات الإلتفات إلى المعاني

Ertinya : Hukum ghalib dan asal bagi hal ehwal mu’amalat dan adat adalah kembali kepada penelitian objektifnya. ( Al-Muwafaqat, Al-Shatibi, 2/300) [1]

Keadaan itu juga menyebabkan sebahagian besar PELAKSANAAN hukum-hakam dalam bab muamalat berubah-ubah disebabkan oleh suasana dan kebiasaan setempat yang dinamakan ‘uruf. Namun mestilah ‘uruf terbabit tidak secara jelas bercanggah dengan nas dan dalil yang jelas, jika itu berlaku ia dinamakan ‘uruf  fasid atau kebiasaan yang tertolak dan rosak, hukumnya haram dilakukan dan mesti dihentikan.

Justeru, perlulah kita fahami :-

1.     Urusan kewangan adalah bab Fiqh al-muamalat antara manusia dengan manusia. Justeru, mewujudkan suatu kontrak jual beli yang tidak pernah wujud di zaman Nabi adalah HARUS selagi prinsip keadilan dalam jual beli dipelihara, iaitu tiada riba, tiada gharar, tiada judi, terdapatnya keredhaan kedua belah pihak dan pelbagai lagi.


Mengapa ia diharuskan walau tiada yang sedemikian di zaman baginda Nabi s.a.w? Jawabnya, kerana ia adalah satu dari isu dalam hukum Muamalat yang flexible (anjal). Kerana itu jugalah sistem bank hari ini diiktiraf oleh para ulama walau tiada wujud sepertinya di zaman Nabi, namun ia memerlukan modifikasi dari semasa ke semasa agar boleh mencapai objektif kebaikan buat masyarakat.

 

2.    Medium pembelian iaitu matawang adalah dari bab mu’amalat. Justeru, mewujudkan matawang yang baru yang tidak pernah diguna pakai oleh Nabi juga adalah HARUS selagi syarat-syarat keadilan dipenuhi.

Jika ternyata penciptaan itu terdapat kezaliman, mestilah kezaliman itu dibanteras, dirawat dan dikurangkan semampu mungkin. Jika belum punyai kemampuan mudarat hendaklah dikurangkan sedaya mampu. Justeru keharusan penggunaan mesti dihadkan kepada situasi tertentu sahaja, seperti di ketika ekonomi umat Islam terlalu lemah seperti hari ini. Mengapa ia harus walau di zaman Nabi tiada sebegitu?, Kerana ia adalah satu isu dalam Fiqh Muamalat yang flexible(anjal).

 

3.    Urusan pentadbiran dan urusan politik adalah satu dari bab muamalat. Justeru, menyertai protes aman (tanpa bersenjata menurut ghalib dzan yang menyertai) menuntut pemimpin yang ternyata zalim untuk turun dari jawatan adalah HARUS walau ia tidak pernah berlaku di zaman Nabi s.a.w, iaitu selagi ia tidak membawa mudarat yang lebih besar pada penilaian ulama di sesuatu zaman tersebut. Ia juga bukanlah salah satu dari ciri Khawarij kerana ia bukan melawan secara bersenjata dan rusuhan yang terancang.

 

Lihat sahaja bagaimana Khalifah Umar al-Khattab mengendalikan urusan muamalat dalam bab politik dan pentadbiran.

 

Antara contoh paling kontroversi di zaman umar adalah fatwa beliau berkenaan pembahagian kawasan tanah Iraq yang dibuka oleh tentera Islam di waktu itu. Menurut parktis biasa di zaman Nabi dan selaras dengan ayat Al-Quran :

 

وَاعْلَمُواْ أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ لِلّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Ertinya : Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnusabil.. ( alAnfaal : 41)

 

Difahami dari ayat itu, 4/5 bakinya dibahagikan kepada tentera yang berjuang. Namun Umar al-Khattab dan sebahagian ulama di kalangan sahabat seperti Sayyiduna Ali, Muadz Ibn Jabal dan beberapa yang lain berpendapat tidak perlu dibahagikan dan membiarkannya kekal di tangan pemiliknya yang asal. Dengan syarat pemiliknya yang asal itu membayar kharaj (cukai tanah) yang boleh dimanfaatkan oleh semua umat Islam.

 

Ijtihad Umar selaku pemerintah ini tidak dipersetujui oleh beberapa sahabat terkemuka seperti Bilal Ibn Rabah dan lain-lainnya. Umar diriwayatkan berkata :-

لو لا آخر الناس ( أي الأجيال المستقبلة ) لقسّمتُ الأرض كما قسّم النبي صلى الله عليه وسلم خيبر

Ertinya : Jika tidak disebabkan kebaikan generasi terkemudian Islam, nescaya akan ku bahagikan tanah-tanah ini sebagaimana Nabi membahagikan tanah Khaybar (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/598) [2]

 

Ibn Qudamah kemudiannya menghuraikan, Umar r.a telah mewaqafkan tanah terbabit walau beliau tahu keputusan Nabi s.a.w. Inilah satu contoh jelas menunjukkan kaedah dalam keputusan muamalat Islam boleh berubah dengan berubahnya suasana dan keperluan.  Syeikhuna Yusuf Al-Qaradawi

أن مجرد فعل النبي صلى الله عليه وسلم لشيء إنما يدلّ على المشروعية فقط ولا يدلّ بنفسه على الوجوب ولهذا وسّع عمر ومن معه مخالفته

Ertinya : Sesungguhnya semata-mata Nabi melakukan sesuatu (Dalam hal ehwal mamalat termasuk politik) ia hanyalah menunjukkan keharusan dan pensyariatannya sahaja, dan TIDAK MENUNJUKKAN kewajiban, oleh kerana itulah Umar al-Khattab dan yang bersamanya meluaskan (bentuk pelaksanaannya)” ( Madkhal Lidarasati al-Shari’ah Al-Islamiyyah, hlm 220)

 

Dari contoh di atas, zahir fatwanya kelihatan berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh Nabi s.a.w tetapi ia jelas menunjukkan kesamaan dari sudut target dan objektif (maqasid) iaitu untuk mencapai keadilan yang yang terbaik untuk Negara Islam, walau terpaksa sedikit mengenepikan hak individu. Bukankah sudah diketahui bahawa maslahat umum diutamakan dari maslahat individu.

 

Inilah tanda keputusan bersifat politik dan pentadbiran adalah satu dari isu muamalat yang Ia tidak terhad kepada sesuatu ‘bentuk’ specifik yang dilakukan oleh Nabi tetapi hanya terhad kepada inti dan objektif sahaja.

Juga seperti tindakan Nabi yang menolak permintaan sahabat untuk melaksankan limitasi harga jualan (Tas’ir) agar para peniaga tidak boleh menaikkan harga.

 

Kata Nabi semasa menolak permintaan itu :

بل الله يخفض ويرفع وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال

Ertinya : Bahkan, Allah yang menurun dan menaikkannya dan sesungguhnya aku berharap untuk bertemu Allah dan tiada sesiapa yang menuntut dariku kerana dizalimi dari sudut harta dan jua jiwa” ( Riwayat Abu Daud ; Sohih : Albani)

 

Namun kemudiannya, Imam Sa’id Musayyab, Yahya Sa’id Ansari, Imam Malik dan ramai lagi ulama tabien sezaman dan yang selepasnya bersetuju ia dilaksanakan dalam suasana peniaga sengaja menyekat barangan bertujuan untuk memaksa harga naik disebabkan permintaan meningkat mendadak. Sebagai jalan menghalang kezaliman dari berlaku.

 

Sheikuha Prof. Dr Fathi Al-Durayni menjelaskan tas’ir diterima kemudian oleh para ulama mujtahidin tabien bagi mencapai maqasid atau objektif yang disasarkan oleh Nabi s.a.w sendiri semasa baginda menolak tas’ir. Iaitu  Baginda menolak kerana tidak mahu berlaku kezaliman kepada pengguna dan peniaga. (Manahij Al-Ijtihad, Dr Fathi Ad-Durayni, hlm 159)

 

Ulama tabien pula membenarkan tas’ir kerana berubahnya suasana dan keperluan di ketika zaman mereka, lalu mereka menerima tasi’r. Jelas dari isu ini, objektif adalah sama cuma bentuknya berbeza.

 

4.    Dakwah dan caranya merupakan satu cabang dari muamalat : Inti dakwah adalah tetap (thabit) iaitu membawa manusia kepada kebaikan yang digariskan di dalam Al-Quran dan Al-Hadis, dan melarang manusia dari apa jua perbuatan dan keyakinan yang bertentangan dengannya.

 

Pun begitu, cara, teknik dan bentuk dakwah itu terbuka kepada pelbagai jenis, tidak hanya terhad kepada kaedah dan bentuk yang digunapakai oleh Nabi iaitu ceramah face to face dengan para sahabat. Justeru, bentuk dakwah dan ajak kepada kebaikan melalui tv, radio, internet, blog, kaset, cd, vcd, mp3 yang dikira tidak secara face to face juga diharuskan.

 

Demikian juga dakwah melalui gambar video yang tidak pernah diguna oleh Nabi, adalah dibenarkan selagi syaratnya asas dapat diikuti.

 

Dakwah melalui platform dan jemaah-jemaah tertentu yang mampu melakukan kerja secara berkumpulan seperti NGO juga diharuskan, walau ia tidak pernah wujud di zaman nabi juga boleh, parti politik juga boleh, melalui system demokrasi yang telah tersedia wujud dan sebagainya.

 

Inilah yang perlu difahami dan tidak tersilap faham bahawa kita WAJIB mengikut bentuk yang nabi gunakan di zaman baginda, sehingga perlu memasuki gua terlebih dahulu atau menolak seratus peratus sistem demokrasi yang ada sebagai jalan untuk mencapai inti dakwah, Ini adalah kurang tepat jika dilihat dari keperluan dan perubahan situasi zaman dan tempat.

 

Jangan pula nanti ada yang berfatwa hanya boleh menaiki unta dan kuda semasa dakwah keran itulah yang dilakukan oleh baginda nabi dan sahabat. Fatwa sebegini tidak disebut oleh mana-mana ulama muktabar.

 

Hasilnya, hendaklah kita fahami mana inti yang perlu diikuti (thawabit), dan mana pula bentuk yang bersifat mutaghayyirat dan flexible. Terlalu banyak dalil dalam bab ini yang tidak sesuai untuk dimuatkan dalam tulisan ringkas ini.

 

KESIMPULAN

 

1.       Hukum ghalib dalam kes-kes muamalat dan penentuan hukum dalam isu-isu baru dalam bab muamalat dan adat adalah merujuk kepada objektif. Caranya? Selagimana tidak bertembung secara qat’ie dan ijma’ dengan mana-mana hukum Shari’ah, ia adalah diharuskan. Seperti berdakwah menggunakan muzik, kartun lukisan dan sebagainya. Ia adalah bab muamalat.

 

2.       Muamalat tidak hanya terhad kepada urusan kewangan tetapi juga seluruh urusan yang melibatkan hubungan manusia dengan manusia lain.

 

3.       Cara dakwah, politik, teknik teguran kepada rakyat yang melakukan kesalahan atau pemerintah yang melakukan kezaliman BOLEH berubah menurut keperluan zaman dan setempat. Ia merupakan isu muamalat yang hanya terikat untuk mencapai intinya selagi teknik adalah neutral. Ia bukan Fiqh ibadah yang sangat terikat kepada dalil specifik dan nas.

 

Namun perlu diingati, sesuatu teknik mungkin disangkal oleh sebilangan ulama di sesuatu zaman dan disokong pula oleh sebahagian ulama yang lain, kedua-duanya berdasarkan proses timbang tara maslahat dan mudarat. Ia adalah hasil ijtihad dan tidak wajarlah kita mengutuk, melabel dan memperlekehkan mana-mana ijtihad yang dikeluarkan oleh ilmuan yang berkelayakan.

 

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

25 Feb 2011

 

Wednesday, February 16, 2011

HIMPUNAN AYAT2 BERKAITAN DENGAN SOLAT


Selasa lepas, 15 Februari 2011, saya diminta menyampaikan tazkirah untuk pertemuan keluarga di Jalan Kent 2, Kuala Lumpur. Pihak pengajur merangkap nenek sepupu memilih tajuk solat untuk dijadikan bahan tazkirah kerana inginkan anak-cucu dalam keluarga kami tetap mendirikan solat sebagaimana doa nabi Ibrahim:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku (Ibrahim [14:40]).

Untuk memudahkan kefahaman dan ingatan kepada isi tazkirah, saya menyediakan nota ringkas berbentuk himpunan ayat-ayat berkaitan solat. Seterusnya murid saya meminta agar himpunan ayat tersebut dimasukkan ke dalam blog ini untuk dikongsi bersama. Berikut adalah ayat-ayatnya:

1) SOLAT ADALAH WARISAN PARA NABI

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ ‎وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا

Firman Allah: Dia (nabi Isa yang masih bayi) menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Dia (Allah) menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam [19:30-31]).

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

Firman Allah: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam [19:54-55]).

ULASAN: Baginda mengutamakan ahli keluarga dahulu dalam ibadat solat. Baginda Rasulullah SAW bersabda: Suruhlah anakmu bersolat ketika mereka berusia 7 tahun, pukullah mereka (sekiranya mereka enggan bersolat) apabila mereka berusia 10 dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan) (Sunan Abu Dawud)

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim [14:37]).

ULASAN: Ibn 'Abbas berkat6a, sekiranya nabi Ibrahim berkata, jadikanlah hari manuisa tertarik padanya (Mekah), sudah pasti Mekah akan menjadi rebutan dan rinduan semua bangsa di dunia (Rum , Farsi dan sebagainya)tanpa mengira agama (Tafsir Ibn Kathir)

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku (Ibrahim [14:40]).


2) SOLAT ADALAH BUKTI KEHAMBAAN MANUSIA DAN KETUHANAN ALLAH


إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Firman Allah: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha [20:14]).

ULASAN: Islam ditegakkan dengan konsep Tawhid (Tuhan yang satu), konsep ini dicernakan dalam bacaan al-Fatihah (ayat 5). Oleh itu, orang yang tidak mendirikan solat sebenarnya tidak mengiktiraf ketuhanan Allah.


3) ORANG YANG TIDAK MENUNAIKAN SOLAT LEBIH KEJI & HINA DARI IBLIS

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Firman Allah: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf[18:50]).

ULASAN: Iblis hanya enggan bersujud (hormat) kepada Adam, tetapi tidak pernah engkar tentang ketuhanan Allah. Orang yang tidak bersolat sebenarnya enggan tunduk kepada ketuhanan Allah dan jauh lebih teruk dan hina daripada Iblis.


4) ORANG YANG TIDAK BERSOLAT DIANGGAP KAFIR

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (3) إِلَّا الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنْقُصُوكُمْ شَيْئًا وَلَمْ يُظَاهِرُوا عَلَيْكُمْ أَحَدًا فَأَتِمُّوا إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ إِلَى مُدَّتِهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ (4) فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Firman Allah: Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya, Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Tawbah [9:3-5]).

ULASAN: Ayat surah al-Tawbah dibacakan oleh Sayyidina Ali kepada Mushrikin Mekah pada tahun ke 9 Hijrah. Mereka diberikan peluang berfikir selama 4 bulan untuk menerima 2 pilihan: (1) bertaubat dan menerima Islam, atau (2) mempersiapkan kekuatan ketenteraan untuk berperang dengan Islam selepas habis tempoh (4 bulan) yang diberikan itu. Sekiranya mereka mengambil pilihan pertama (taubat), mereka masih dikira KAFIR selagi mereka tidak menunaikan solat.

Ayat ini menunjukkan orang yang tidak menunaikan solat sebenarnya KAFIR. Ia disokong pula oleh hadith nabi: Pembeza antara Islam (iman) dan kufur (syirik) adalah meninggalkan Solat (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud & al-Tirmidhi). Para sahabat nabi seperti ‘Umar al-Khattab & ‘Abdullah ibn Mas’ud menghukumkan orang yang meninggalkan solat sebagai KAFIR (Awn Ma’bud Sharh Sunan Abu Dawud).

Imam al-Syafie juga berhujah dengan ayat ini mengatakan orang yang tidak bersolat dikira kafir dan perlu dibunuh seperti orang yang murtad (Tafsir al-Munir).


5) SOLAT MEMERLUKAN KESABARAN DAN SOKONGAN KELUARGA

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Firman Allah: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha 20[132]).

ULASAN: Setelah ayat ini diturunkan, baginda Rasulullah setiap pagi akan pergi ke rumah Fatimah lalu mengejutkan puterinya itu untuk bersolat. Allah juga menjamin rezeki bagi orang yang bersolat kerana Dialah tuan Yang memberi rezeki (Tafsir Ibn Kathir).

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Firman Allah: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Hud [11:114-115]).

6) SOLAT MENCEGAH PERKARA KEJI, MUNGKAR DAN GEJALA SOSIAL

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Firman Allah: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut [29:45]).

ULASAN: Solat yang didirikan dengan penuh penghayatan akan membendung seseorang Muslim dari melakukan perkara keji kerana intisari solat (kepatuhan kepada segala arahan Allah) dihayati dan dilaksanakan. Perlakuan dosa dan maksiat seseorang manusia menjadi kayu ukur penerimaan solatnya. Orang yang bersolat tetapi masih melanggar arahan Allah sebenarnya tidak benar-benar memahami dan menmghayati falsafah solat. Oleh kerana itu, perbuatan solat disebut dalam al-Quran dengan arahan DIRIKANLAH kerana ia perlu didirikan dengan asas ilmu yang teguh dan penghayatan.


7) ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT SENANG TERJEBAK DENGAN MAKSIAT SERTA MENGIKUT HAWA NAFSU

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Firman Allah: Kemudian mereka (para rasul) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) (Maryam [19:59]).


8) MENDIRIKAN SOLAT SECARA SEMPURNA ADALAH CIRI GOLONGAN INTELEK (ULU AL-ALBAB), SOLAT MENJADI PENJAMIN KE SYURGA DAN ORANG SOLEH (YANG MENDIRIKAN SOLAT ERTA MENDIDIK ANAKNYA AGAR BERSOLAT) AKAN TINGGAL BERSAMA DALAM SYURGA

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ

Firman Allah: Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; - Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (al-Ra’d [13:22-24]).

9) SOLAT ADALAH IBADAH YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN WALAU KETIKA BERADA DALAM SAAT GENTING

وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ

Firman Allah: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,……(al-Nisa’ [4:102])

ULASAN: Ayat ini diturunkan dalam sebuah perang di mana musuh berada di hadapan umat Islam. Pihak musuh pula diketuai oleh Khalid bin al-Walid. Setelah melihat tata cara umat Islam bersolat walau ketika saat genting, Khalid tertarik dengan Islam dan akhirnya memeluk Islam (Tafsir al-Munir).

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (238) فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنْتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

Firman Allah: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:238-239]).

ULASAN: Kedua ayat di atas merujuk kepada Solat Khawf iaitu, solat ketika saat genting dan takut seperti dalam peperangan atau ketika nyawa terancam. Ia membuktikan bahawa solat langsung tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun.


10) MENINGGALKAN SOLAT ADALAH CIRI ORANG MUNAFIQ, ORANG YANG BODOH DAN TIDAK BERAQAL

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

Firman Allah: Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal (al-Ma’idah [5:58]).

ULASAN: Pada penilaian Allah, orang munafiq sebenarnya sama seperti orang kafir. Kedua jenis manusia ini tidak mahu bersolat kerana mengingkari kebenaran Islam dan ketuhanan Allah.


11) SOLAT MENJADI BENTENG ROHANI & MENTAL KETIKA MENGHADAPI SAAT GENTING (KESUSAHAN) SERTA MAMPU MEMBANTU MELEPASKAN MANUSIA DARI SEBARANG MUSIBAH

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Firman Allah: Dan (setelah Bani Israil ketakutan kerana ancaman bunuh dari Fir’awn), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)"(Yunus [10:87]).

ULASAN: Bani Israil diarahkan menunaikan solat kerana amalan solat yang mengandungi hakikat penyerahan diri kepada Allah dapat menenangkan jiwa mereka dari ketakutan terlampau akibat ancaman Fir’awn. Berkat solat berjemaah yang mereka dirikan, Allah akhirnya memusnahkan Fir’awn (lihat ayat 90 surah yang sama).

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Firman Allah: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (al-Baqarah [2:45]).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Firman Allah: Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (al-Baqarah [2:153]).

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Firman Allah: Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah dia dahulunya (ketika waktu senang) bukan dari kalangan orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan solat, zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur (al-Saffat [37:139-144]).

ULASAN: Nabi Yunus AS dilepaskan dari musibah ditelan oleh ikan paus kerana baginda selalu bersolat ketika waktu senang. Ayat ini membuktikan solat dan doa kepada Allah perlu senantiasakan dilakukan terutama sekali ketika senang untuk menjamin bantuan Allah ketika susah.


12) SOLAT SUNAT MEMBANTU MENGHAPUSKAN DOSA (HUD[11:114]).

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ


Firman Allah: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Hud [11:114]).

ULASAN: Ayat ini diturunkan berikutan kesilapan seorang sahabat nabi yang mencium seorang wanita kerana tidak dapat menahan nafsunya (Tafsir al-Munir). Allah menyatakan solat yang didirikannya mampu menghapuskan dosa kecil yang tidak disengajakan. Ayat ini juga menjadi dalil berkaitan solat Taubat.


13) SOLAT ADALAH TANGGUNGJAWAB SETIAP UMAT ISLAM YANG HIDUP DI BUMI ALLAH

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Firman Allah: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj [22:41]).


14) JANGAN BERTANGGUH UNTUK MELAKUKAN IBADAH (KETIKA TUA) & KELEBIHAN BERIBADAH DI USIA MUDA

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Firman Allah: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). [95.5] Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah (tua nyanyuk), Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus (al-Tin [95:4-6]).

ULASAN: ‘Abdullah Ibn ‘Abbas (sepupu nabi SAW) mengatakan ayat ini menjadi bonus kepada orang tua yang banyak beribadat kepada Allah di usia muda. Setelah mereka meningkat tua, diserang penyakit tua (nyanyuk dan lemah badan) dan kemampuan mengerjakan amal ibadat juga terbatas. Namun Allah masih memberikan mereka pahala yang tidak putus-putus berkat ketekunan merka di usia tua. Oleh itu jangan bertangguh hingga tua baru ingin mengerjaklan ibadah kerana ditakuti penyakit tua akan menyerang anda dan janji pahala juga tidak pasti kerana anda tidak beribadah di usia muda. Kasih sayang Allah kepada kita di usia tua bergantung sepenuhnya pada usaha dan ikhtiar kita ketika muda.



15) BAPA YANG SOLEH DAN ANAK YANG SOLEH SALING TOLONG MENOLONG SEMASA DI DUNIA, DI ALAM BARZAKH DAN DI AKHIRAT. ORANG BERIMAN DAN ANAK CUCU MEREKA JUGA AKAN BERSAMA DI DALAM SYURGA

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

Firman Allah: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" (al-Kahf [18:82]).

Sabda nabi SAW: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Firman Allah: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur [52:21]).

ULASAN: Hidup berkeluarga adalah ni’mat terbesar kurniaan Allah kepada manusia di dunia. Di akhirat kelak, ni’mat tersebut dikekalkan Allah ke dalam syurga untuk orang beriman dan anak cucu mereka yang sama-sama beriman dengan mengerjakan segala arahan Allah. Untuk merasa ni’mat ini, anda perlu mendidik anak cucu anda dengan cara terbaik terutama sekali mendirikan solat yang menjadi tiang agama.


DISEDIAKAN OLEH:

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM (UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, 11 FEBRUARI 2011)

Wednesday, January 19, 2011

BENARKAH SEBAIK-BAIK JIN ADALAH SEJAHAT-JAHAT MANUSIA?


Seringkali dicanang dan dimomokkan dalam cerita seram yang ditayang di TV bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini memang meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada al-Quran dan hadith. Walau bagaimanapun ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga para penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata (al-A’raf [7.27]), manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Hanya kedua sumber Islam itu sahaja yang mampu menelah dan menembusi alam Jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam Jin perlu terlebih dahulu merujuk kepada kedua sumber Islam supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman atau minda.

Kenyataan yang terlalu umum “ sebaik-baik Jin sejahat-jahat manusia “ secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian Jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka ini jugalah generasi awal Jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada bangsa Jin kerana Jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal Jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini juga selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama’ hadith iaitu sesiapa sahaja yanag bertemu dan beriman kepada nabi Muhammad SAW. Sekiranya kenyataan tersebut berterusan dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.


Generasi awal Jin ini juga dikitiraf sebagai Rasul atau utusan pendakwah di kalangan mereka. Firman Allah:

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?) (al-An’am [6:130].

Sudah dimaklumi semua bahawa para Rasul hanya diutus dari kalangan manusia, namun begitu rasul dari kalangan Jin dalam ayat ini dimaksudkan wakil kepada Rasul (yang sebenar) atau para pendakwah dari kalangan Jin yang mendengar bacaan al-Quran yang di baca oleh nabi Muhammad (Tafsir al-Razi). Kisah mereka direkodkan oleh al-Quran, Firman Allah:

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata"
(al-Ahqaf [46:29-32]).



Sebuah hadith merekodkan baginda Rasulullah pernah memuji para sahabatnya dari golongan Jin yang begitu sensitive terhadap al-Quran. Baginda pernah membacakan surah al-Rahman dari awal sehingga akhirnya kepada para sahabat. Setelah selesai membaca baginda lalu bersabda: Mengapakah kamu semua (sahabatnya) hanya diam ? Sesungguhnya golongan Jin jauh lebih lebih baik reaksi (jawapan & penerimaan) mereka terhadap ayat ini (Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin? [53:13]-ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman). Setiap kali sampai kepada ayat in mereka akan segera menjawab: Tidak ada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Selain itu, para ulama’ hadith seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal Jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama mereka yang disebut adalah Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah).

Mungkin segelintir pihak yang cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut akan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan Jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadabannya terhadap manusia. Banyak sekali hasutan, rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadaban tidak hanya berpunca daripada Jin, bahkan ia juga berpunca dari kejahatan manusia sebagaimana firman Allah:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik" (al-Rum [30:41-42]).

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga pihak yang galak menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian pukul borong sebegini berlaku. Al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang maha sempurna menyarankan manusia agar berlaku adil dan tidak mengamalkan pukul borong sembrono dalam banyak ayatnya kerana syurga juga disediakan untuk Jin. Sekiranya sebaik-baik Jin adalah sejahat-jahat manusia, maka semua Jin Islam di dunia ini langsung tidak lagi berpeluang untuk ke syurga.

Saturday, January 1, 2011

CERITA DI WAD 7B: DI SAAT SEMUA SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJA YANG SENANTIASA ADA BERSAMAMU!


Lama sungguh tidak menulis di blog ni..sibuk dengan tugasan harian kerana semester 2 2010/11 UIAM sudah bermula dalam 2 minggu lebih. Juga sibuk dengan rutin rawatan susulan selepas transplant setiap hari Isnin dan Rabu.

Nak dijadikan cerita, Rabu lepas (29/12/2010)semasa berjumpa Doktor Suriati (Pakar Nefrologi) di klinik secara mingguan, saya mengadu padanya tentang masalah saya yang mengalami berak berdarah. Tambahan pula, sebelum berjumpa Dr Nefrologi, Doktor (Radiologist) yang melakukan scan buah pinggang saya mendapat ada sedikit kesan bengkak pada bahagian kiri buah pinggang. Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr mengarahkan saya masuk wad pada pagi khamis.


Pagi khamis (30/12/2010)saya dimasukkan ke wad 7B katil 6 bersama dengan 3 pesakit lain. Sememangnya saya mendapat pengalaman menarik ditempatkan bersama 3 pesakit ini.
Kisah bermula pada pagi Jumaat 31 Disember, apabila pesakit SLE depan katil saya bertanya bidang kepakaran saya di UIAM. Setelah mentetahui saya dari bidang Tafsir al-Quran beliau meminta saya mentafsirkan ayat surah al-Baqarah 153-157 kerana sudah sekian lama beliau mencari jawapan kenapa ayat tersebut digerakkan Allah untuknya selepas dia mengalami sakit. Selepas mengalami sakit, beliau singgah bersolat di sebuh masjid yang imamnya membaca ayat-ayat tersebut. Bacaan imam walaupun tidak difahaminya pada ketika itu begitu menyentuh perasaannya.

al-Baqarah[2.153] Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar, [2.154] Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. [2.155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: [2.156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." [2.157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.


Ringkasnya saya katakan kepada mereka berdua (Awin-engineer Petronas, pesakit SLE & Tajri-pegawai Daerah Kuala Langat, pesakit buah pinggang) bahawa ayat tersebut memang untuk orang yang ditimpa musibah dan sakit seperti kita.

Lalu si Tajri membuka cerita pengalamannya mengalami sakit semenjak berusia 10 tahun. Pada tahun 1988 beliau menjalani transplant dengan mengambil buah pinggang ibunya, namun selepas 7 tahun buah pinggang itupun mengalami kegagalan kerana faktor genetik.

Beliau kemudiannya menyambung hidupnya dengan dialisis sehingga Disember 2010, beliau mendapat buah pinggang baru. Pembedahan kali ini juga mengalami masalah kerana beliau menjalani pendarahan yang teruk sehingga terpaksa menjalani 3 pembedahan dan dimasukkan 20 pine darah. Doktor terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya dan akhirnya buah pinggang baru terpaksa dibuang kerana terlalu berisiko.

Beliau kemudiannya koma dalam ICU selama 7 hari. Sepanjang 7 hari tersebut berbagai pengalaman dialaminya, antara yang menarik ialah, beliau didatangi oleh 4 perempuan bunian meminangnya...semua ditolak.

Bercerita mengenai sakitnya, semasa mudanya dahulu beliau pernah bergaduh dengan seorang ustaz apabila ustaz tersebut mengatakan sakitnya berpunca daripada kesalahannya. Lalu Tajri mempertikaikan si ustaz: Eh saya baru berusia 10 tahun semasa sakit, takkan saya sudah dikira bersalah sedangkan saya belum akil baligh?

Lalu si ustaz berkata: Itu salah ibu bapa kamu!


Sikap si ustaz membuatkan beliau marah dan berasa dizalimi, sedangkan dosa orang lain tidak sepatutnya ditanggung oleh orang lain.

Kesilapan si ustaz menjawab menyebabkan Tajri boleh menyalahkan Allah yang Maha Adil. Sepatutnya jawapan datang seperti ini. Boleh jadi musibah dan ujian datang kerana kesilapan kita seperti kecuaian, kegelojohan, makan hasil pendapatan yang haram dan sebagainya. Dalam kes orang yang kena kencing manis contohnya, mereka mendapat sakit kerana silap mereka tidak mengawal makan sedangkan Allah berfirman:

Al-A'raf[7.31] dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.


Ayat ini boleh dijuga disesuaikan maksudnya dengan 2 ayat lain:

Al-Rum[30.36] Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.

Juga

Al-Syura[42.30] Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Ayat di atas mengajar kita agar mengetahui kesan akibat perbuatan kita serta mengelakkan menjerumuskan diri dalam masalah yang sengaja ditempah.

Namun begitu, bukan semua musibah yang ditimpakan kepada kita adalah kaffarah, boleh jadi ia adalah ujian untuk menentukan keimanan kita. Para nabi sendiri pun mengalami berbagai ujian dari Allah. Sekiranya ujian tersebut yang datang dalam bentuk masalah dikira sebagai kaffarah, adakah bermakna mereka bersalah. Premis sedemikian akan mencacatkan kemaksuman mereka.

Pokok pangkalnya apabila orang ditimpa musibah, kita tidak perlu menjadi juru cakap Allah mengatakan begitu atau begini kerana kita tidak mengetahui yang ghaib.

Si awin-jurutera Petronas yang mengalami SLE pula bercerita. Beliau sudah sekian lama mengalami sakit ini. Menurut para doktor, pesakit SLE akan senantiasa berhalunisasi dan mendengar bisikan disebabkan keadaan fisiologi tubuh yang tidak stabil dan kandungan toksin dalam badan yang terlalu tinggi (uric acid). Halunisasi sebegini mungkin juga disebabkan oleh gangguan jin dan syaitan yang senantiasa berusaha merosakkan iman orang sakit. Orang sakit akan selalu mempersoalkan keadilan Allah kenapa memberikan mereka sakit sebegini.

Nabi pernah bersabda sesungguhnya setan berjalan dalam pembuluh darah manusia (Sahih Muslim) dan mampu mencampakkan was-was, kata-kata kufur ke dalam hati manusia yang ditimpa musibah. Boleh jadi setan pandai mengeksploitasi keracunan toksin dalam badan pesakit untuk tambah menyesatkan mereka sehingga mereka akan menyalahkan taqdir.

Renung sekali pengalaman nabi Ayyub AS dalam ayat ini!

Sad[38.41] Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)".


Kalau nabi Ayyub pun diganggu oleh syaitan, apatah lagi kita ini manusia biasa.

Ada beberapa pengalaman Awin yang dapat dikongsi bersama:

1) Apabila maghrib menjelma selalu sahaja ada suara membisikkan kepadanya: kamu ni ahli neraka..apa guna lagi kamu hidup (dengan kesakitan sebegini) pergilah bunuh diri. Dugaan ini berjaya ditangkisnya apabila beliau mengingati Allah.

2) Beliau pernah mengalami nazak, semasa nazak beliau dipertontonkan berbagai pengalaman seperti diulang tayang pengalaman silam yang negatif. Cuma pada pandangannya sebagai seorang engineer, skrin paparan tersebut memang cukup canggih sehingga tidak dapat ditandingi oleh teknologi LED atau LCD sekarang. Saya katakan kepadanya boleh jadi CCTV dan skrin sebegitu jugalah yang akan digunakan oleh Allah di mahsyar kelak untuk mempertontonkan segalam amalan kita..Allau A'lam:

Al-Najm[53.39] Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; [53.40] Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan DIPERLIHATKAN (KEPADANYA PADA HARI KIAMAT KELAK)

3) Awin juga diperlihatkan dengan azab ahli neraka. Beliau melihat lubang-lubang sebesar tubuh manusia digali kemudian tubuh ahli neraka disumbat ke dalamnya separas pinggang lalu dicucuk dengan drill berbagai saiz matanya di seluruh tubuh. Beliau juga mendengar pukulan enjin motor bot yang baru dimulakan. Lalu satu suara memberitahu kepadanya, itulah bunyi pukulan ahli neraka, terdetik dihatinya, eh taklah kuat sangat..lalu suara pukulan itu dikuat dan digandakan sehingga bingit telinganya...tidak dapat dibayangkan kesan kehancuran akibat dari pukulan tersebut.

Pernah satu suara mengatakan kepadanya, kamu ni ahli neraka, lalu Awin memberikan alasan, saya anak yatim, ayah meninggal ketika saya berusia 10 tahan, kenakalan saya disebabkan saya tidak mendapat didikan sempurna seorang ayah.. lalu suara itu mengatakan , oklah Awin kamu diberikan potongan azab selama 100 ribu tahun, berapakah azab saya keseluruhannya? Trillion tahun! Terkedu awin mendengar jumlah tahun yang dia akan diazab di neraka.

4) Pengalaman terakhirnya ini membuatkan hati saya begitu tersentuh dan baru benar-benar saya fahami kewujudan Allah yang Maha berkuasa. Semasa beliau sedang nazak tersangat sakit, ramai saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai datang menziarahi serta membaca Yasin kepadanya. Setelah malam beransur larut, semua jiran, sahabat, saudara mara mulai beransur pulang, lalu yang tinggal hanyalah isterinya sahaja yang setia menunggu di tepi katil. Kemudian isterinya juga tertidur kerana keletihan..lalu tiba-tiba satu suara membisik kepadanya (menurut orang Tasawuf, suara sebegini dipanggil Hatif[telefon-bisikan ilahi]).. Awin! DI SAAT INI, SEMUA ORANG SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR KELETIHAN, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJALAH YANG SENANTIASA ADA DAN BERSAMAMU!

Hati saya begitu tersentuh dengan pengalaman beliau yang terakhir ini, sehingga memaksa saya berkongsi pengalaman ini dengan anda semua dalam posting kali ini.

Sebagai penutup: Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku sudah berada dalam jadual Allah semenjak azali dan mempunyai hikmahnya yang perlu kita fahami. Apa yang saya faham, buasir berdarah saya yang menyebabkan kemasukan saya ke wad adalah jambatan untuk Allah sampaikan maksud sebenar surah al-Baqarah (153-157)kepada Awin..dan kemasukan Awin ke wad 7B juga adalah jambatan untuk saya memahami hakikat kewujudan Allah dalam sudut yang berbeza. Penulisan posting kali ini juga adalah jambatan untuk saya berkongsi ni'mat ma'rifat yang baru ini..renungkanlah bisikan tersebut sekali lagi...


Awin! DI SAAT INI, SEMUA ORANG SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR KELETIHAN, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJALAH YANG SENANTIASA ADA DAN BERSAMAMU!

Wednesday, December 15, 2010

BEZA ANTARA TOLERANSI AGAMA & PLURALISM AGAMA...

Sepatutnya orang agama yang dipanggil sebagai cerdik pandai boleh membezakan antara kedua istilah di atas kalau tidak anda sengaja menghulur kepala untuk dilabel sebagai kurang cermat..balaci sesetengah ahli politik dan sebagainya ...

Mufti Perlis bela Nik Aziz