Baru-baru ini dalam salah satu kelas Tafsir saya, kami berbincang
perihal nazar. Saya nyatakan ada nazar yang dipuji dan ada juga yang
nazar dilarang. Bahkan jika diteliti
secara umum SEAKAN terdapat sedikit percanggahan antara Hadith nabi dan
al-Quran dalam isu nazar. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW melarang
nazar dilakukan manakala dalam ayat lain pula Allah memuji orang yang
menunaikan nazarnya.
Saya menjelaskan kepada pelajar saya
bahawa maklumat tersebut adalah berdasarkan pembacaan saya suatu masa
dahulu tetapi saya terlupa bahan bacaan tersebut. Sepanjang kelas
berlansung saya cuba mengingat kembali bahan bacaan yang saya maksudkan
tetapi gagal. Seketika itu juga saya berdoa kepada Allah agar
dipertemukan dengan bahan bacaan tersebut bagi merungkaikan percanggahan
dalam isu nazar itu.
Pagi ini (30 September 2013) ketika
memasuki bilik di UIAM, hati saya tergerak untuk membelek sebuah buku
yang berada atas meja saya. Buku tersebut adalah Tesis PhD al-Fadhil Dr.
Muhd Asri bin Zainul Abidin yang bertajuk “Sabab Wurud al-Hadith,
Dhawabit Wa Ma’ayir” (Sebab kewujudan sesuatu Hadith nabi) terbitan
Research Centre, UIAM, halaman 186-188. Alhamdulillah! Saya dipertemukan
dengan bahan rujukan yang saya maksudkan. Segala puji bagi Allah yang
kembali menyinarkan cahaya ilmu dan memakbulkan doa tersebut.
Peristiwa ini jelas menunjukkan kelemahan manusia yang mudah lupa. Ia
memang disebut oleh Allah pada sifat kejadian nabi Adam, firmanNya:
وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آَدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا
Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada
masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai
keazaman yang teguh. (Taha[20:115]).
Sedang Allah Yang Maha Sempurna pula jauh bezanya dengan makhluk. FirmanNya:
قَالَ عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي فِي كِتَابٍ لَا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنْسَى
Ertinya: Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi
Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan
Ia juga tidak pernah lupa" (Taha[20:52]).
PERBINCANGAN ISU NAZAR:
1) Sebenarnya apabila diteliti kedua sumber Islam itu tidak bercanggah
tetapi membawa konteks perbincangan yang berbeza. Dalam sebuah hadith,
nazar dihukumkan makruh oleh Rasulullah SAW:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّذْرِ
وَقَالَ إِنَّهُ لَا يَرُدُّ شَيْئًا وَلَكِنَّهُ يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ
الْبَخِيلِ
Ertinya: Dari Abdullah ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah
SAW melarang bernazar, baginda bersabda: Sesungguhnya nazar itu tidak
akan menolak sesuatu (taqdir) pun, akan tetapi ia dikeluarkan dari si
kedekut (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Dalam al-Quran pula Allah memuji orang yang menunaikan nazarnya. Firman Allah:
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا
Ertinya: Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka
menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya),
serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana
sini (al-Insan[76:7]).
2) Hadith dan ayat di atas tidak
bercanggah sama sekali. Allah memuji hambaNya yang menunaikan nazar
dengan sempurna. Nazar itu pula adalah nazar ibadat yang ikhlas tanpa
mengharapkan manafaat duniawi. Ia adalah seperti nazar ibu Maryam yang
mahu meletakkan bayinya sebagai orang yang berkhidmat di Bayt al-Maqdis
tanpa diikat dengan apa-apa hajat:
إِذْ قَالَتِ امْرَأَةُ
عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا
فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Ertinya: (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya
aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang
yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu
semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Ali ‘Imran[3:35]).
3) Nazar
yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas adalah nazar yang
diikat dengan hajat duniawi seperti seseorang menyebut: “Ya Allah! Jika
Engkau beri kejayaan kepadaku dalam peperiksaan nanti aku bernazar akan
berpuasa 3 hari.”
Nazar sedemikian kelihatan biadab kerana
orang yang bernazar seakan cubaan berunding dengan Allah seolah-olah
Allah amat memerlukan ibadah hambaNYa. Sedangkan Allah itu Maha Kaya dan
tetap teguh berkuasa walaupun tanpa ibadah para hambaNya. Firman Allah:
وَقَالَ مُوسَى إِنْ تَكْفُرُوا أَنْتُمْ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ
Ertinya: Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di
muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian
tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi
Maha Terpuji (Ibrahim[14:8]).
4) Perlu diingat bahawa nazar tidak akan mampu mengubah taqdir yang ditetapkan Allah semenjak azali sebagaimana sabda nabi SAW:
لَا تَنْذِرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنْ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ الْبَخِيلِ
Ertinya: Janganlah kamu bernazar kerana sesungguhnya nazar itu tidak
akan dapat mengubah taqdir walau sedikit pun. Sebenarnya ia hanya
dikeluarkan (dibuat oleh si bakhil) (Sahih Muslim, Sunan al-Tirmidhi dan
al-Nasa’i).
Sebaiknya seseorang yang berhajat itu berusaha
sepenuh daya, berserah dan berdoa kepada Allah. Ia bertepatan dengan
konsep usaha, ikhtiar dan doa yang disarankan Islam.
Allahu A'lam..semoga bermanafaat
Monday, September 30, 2013
WALAU KELETIHAN NABI MUSA AS BEGITU SENSITIF UNTUK MEMBANTU 2 PEREMPUAN MADYAN
Para nabi dan Rasul adalah contoh sejati orang yang beriman kepada Allah. Antara sifat orang beriman yang patut dimiliki adalah sensitif melihat kesusahan orang lain dan berusaha menghilangkan kesusahan tersebut. Lihat sahaja kisah kembara nabi Musa AS dalam surah al-Qasas. Nabi Musa AS lari dari negeri Mesir kerana takut ditangkap oleh Fir’awn setelah membunuh lelaki Qibti secara tidak sengaja. Perincian kisah pembunuhan itu dapat dirujuk pada ayat 15 surah al-Qasas.
Nabi Musa AS lari dari Mesir ke Madyan yang sangat jauh jaraknya (8 hari perjalanan) tanpa bekal yang mencukupi. Setelah sampai ke Madyan, baginda segera membantu 2 orang perempuan mengambil air untuk ternakan mereka walaupun baginda masih sangat keletihan. Ini sikap orang beriman yang wajib kita contohi. Firman Allah:
وَلَمَّا تَوَجَّهَ تِلْقَاءَ مَدْيَنَ قَالَ عَسَى رَبِّي أَنْ يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ (22) وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ (23) فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ (24)
Ertinya: Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku,". Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ". MAKA MUSA MEMBERI MINUM KEPADA BINATANG TERNAK MEREKA kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas[28:22-24]).
Sikap mengutamakan orang lain juga antara sikap terpuji orang Ansar yang disebut Allah dalam al-Quran:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Ertinya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; DAN MEREKA JUGA MENGUTAMAKAN ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH ITU LEBIH DARIPADA DIRI MEREKA SENDIRI, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya (al-Hasyr[59:9]).
Juga sabda Rasulullah SAW:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Ertinya: Tidak (sempurna) iman seseorang dari kamu sehinggalah dia menyukai sesuatu (kebaikan) kepada saudaranya sebagaimana dia menyukai perkara itu untuk dirinya sendiri (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
TEKNOLOGI YANG ALLAH GUNAKAN DALAM PENCIPTAAN BURUNG AMAT MENAKJUBKAN
Kira-kira 6 tahun lepas, semasa dalam perjalanan balik ke Kelantan melalui Perak saya singgah di perhentian Puncak Banjaran Titiwangsa yang terletak di Lebuh Raya Timur Barat. Mata saya terpaku melihat seekor burung helang yang sedang terapung di udara. Pada ketika itu, angin bertiup agak kencang dan burung helang itu hanya mengembangkan sayapnya serta memanipulasi gerakan angin untuk terus terapung. Struktur fizikal yang dimiliki burung helang itu membantunya untuk terus terapung tanpa perlu bergerak secara agresif.
Dalam al-Quran Allah banyak meminta manusia berfikir pada kejadian alam. Pemerhatian kepada alam dan segala isinya yang menakjubkan mampu membuahkan keimanan dan keyakinan pada ketuhanan Allah. Burung adalah antara ciptaan Allah yang sering disebut dalam al-Quran. Keajaiban burung amat ketara terutama sekali dari struktur fizikalnya kerana ia seakan tidak terikat dengan hukum graviti. Bahkan manusia banyak mengambil pelajaran dari burung dalam teknologi penerbangan.
Firman Allah:
أَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا اللَّهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Ertinya: Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman (al-Nahl[16:79]).
Juga firman Allah:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (al-Nur[24:41]).
Juga firman Allah:
أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَنُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ
Ertinya: Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (al-Mulk[67:19]).
AIR MINERAL 30 JUZUK YANG AJAIB
Air mineral "30" juzuk dijual di kantin Sebuah Hospital kerajaan. Berguna melembutkan hati agar MUDAH terima NASIHAT....MUDAHNYA???
Blh dicadang kpd PDRM utk beri bekas gangster minum agar MUDAH terima nasihat...
Speechless!!!
ZIARAH MURSHID KE KELANTAN PADA 16 SEPTEMBER 2013
SEKITAR GAMBAR ZIARAH MURSHID KE KELANTAN.
Alhamdulillah sempat ke Pondok Sg Durian bermini forum, kemudian ke Pondok Pasir Tumbuh, Dr Zaharuddin juga sempat menizarahi bonda saya yang sedang koma di Binjai dan selepas Asar menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Alhamdulillah sempat ke Pondok Sg Durian bermini forum, kemudian ke Pondok Pasir Tumbuh, Dr Zaharuddin juga sempat menizarahi bonda saya yang sedang koma di Binjai dan selepas Asar menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Tuesday, January 8, 2013
TERKESIMA DAN TERPEGUN MEMBACA BUKU HAMKA
Pada tahun 1958, Prof Dr. Hamka telah menulis
risalah kecil bertajuk TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR. Buku ini
kemudiannya diterbitkan kembali oleh Pustaka Dini pada tahun 2010.
Dan banyak lagi jawapan yang diberikan Hamka..
1)
Wacana jawapan Hamka adalah wacana tahun 1958
yang tidak lagi releven dengan tahun 2012 kecuali pada sesetengah isu sahaja.
Ia ditulis oleh Hamka dalam masa 5 hari bagi
menjawab segala dakwaan mufti Johor kepada kaum Muda. Melihat kepada susun atur
bahasa, soroton latar belakang sejarah sesuatu isu, fakta sejarah Islam sedunia
pada masa itu, jawapan untuk setiap tuduhan, kemahiran Hamka memainkan ilmu
alat Islam dan sebagainya jelas menunjukkan ketinggian ilmu Buya Hamka.
Hamka agak kecewa dengan beberapa tuduhan berat
Mufti Johor pada masa itu Sayyid Alwi, lalu dijawabnya satu persatu secara
teratur dan kemas. Antara tuduhan berat oleh Mufti Johor adalah: Kaum Muda
meninggalkan beberapa tiang agama Islam, kaum muda penyebab 10 juta orang Islam
Indonesia murtad menjadi Kristian, kaum muda mengambil sumber rujukan agama
dari kaum Qadyani dan sebagainya. Antara jawapan Hamka terhadap jawapan itu
adalah:
1)
Kaum Muda beriman dengan semua 11 tiang agama
(5 rukun Islam dan 6 rukun Iman), tetapi kaum muda menentang penambahan tiang
palsu seperti syirik puja kubur yang banyak dipelopori kaum tua.
2)
Tuduhan 10 juta muslim Indonesia murtad kerana
kaum muda disanggah kerana realitinya kaum muda banyak berjuang membanteras gejala
murtad seperti usaha yang dilakukan Kiyai Ahmad Dahlan pengasas gerakan
Muhammadiyah. Beliau bersaing dengan gerakan Kristian membina sekolah bagi
memberikan pendidikan kepada orang Islam Indonesia. Ketika usaha tersebut
dilakukan oleh Kiyai Ahmad Dahlan, kaum tua masih berfatwa haram menubuhkan
sekolah dan menggunakan kerusi meja dalam pembelajaran. Hamka juga mendedahkan
jumlah sebenar orang Kristian Indonesia siap dengan bancian yang dibuat
kerajaan Indonesia dan jumlahnya tidak pun melebihi 4 juta orang. Selain itu,
tokoh kaum muda yang dibenci kaum tua iaitu Hassan Bandung pernah berdebat
dengan lelaki murtad yang bernama Suradal. Dalam debat itu akhirnya Suradal
terdiam kematian hujah dibantah oleh Hassan
3)
Hamka juga menafikan tuduhan kaum muda menerima
agama dari Qadyani. Sebaliknya kaum muda adalah kumpulan yang aktif berwacana
menentang serta menulis tentang kesesatan Qadyani. Bahkan Hassan Bandung pernah
berdebat dengan Qadyani di Indonesia sehinggakan seorang tokoh ulama kaum tua
pada masa itu turut hadir menyaksikan perdebatan tersebut dan berterima kasih
kepada Hassan Bandung di atas kejayaannya mematahkan hujah Qadyani.
Dan banyak lagi jawapan yang diberikan Hamka..
Di akhir buku ini Hamka menyebut
tentang kepentingan bersatu dalam menangani ancaman luar dari musuh Islam bukan
label melabel seperti yang dilakukan oleh Mufti Johor. Penilaian kritis saya
pula setelah habis membaca buku setebal 114 muka surat ini adalah:
2)
Orang alim yang memegang jawatan yang tinggi
dalam sesebuah Institusi agama amat perlu bersikap teliti sebelum mengeluarkan
sebarang kenyataan kerana bukan kita seorang sahaja yang alim, malahan di luar
sana masih ramai lagi orang yang alim yang BOLEH MEMALUKAN KETIDAKCERMATAN
MEREKA.
Thursday, December 13, 2012
JANGAN PERBUDAKKAN ALLAH!
Alhamdulillah tengahari ini, Jumaat 14/12/2012
berkesempatan mendengar khutbah Jumaat oleh Mufti Musa Menk dari Zimbabwe di
Masjid UIAM. Mufti menyentuh isu peperiksaan dan ujian. Pemilihan tajuk
sebegini dibuat kerana mood peperiksaan yang dialami oleh para pelajar UIAM. Antara
isi kandungan khutbah yang boleh dikongsi adalah:
KHUTBAH PERTAMA:
- Kita perlu bersyukur kepada Allah di atas
segala ni’mat yang diberi, antaranya adalah ni’mat untuk mencari kelemahan diri
dan seterusnya mencari cara untuk menghilang atau mengurangkan kelemahan
tersebut. Ia disebut sebagai MUHASABAH.
- Sebagai manusia kita tidak mungkin dapat hidup tanpa Allah. Oleh itu
senantiasalah berdamping dengan Allah sepanjang masa dan bukannya hanya pada
musim peperiksaan.
- Antara ni’mat Allah kepada kita adalah ni’mat membaca dan menulis sedangkan
kita dilahirkan secara jahil sebagaimana firman Allah:
وَاللَّهُ
أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ
لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Ertinya: Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan
tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur (al-Nahl[16:78]).
- Antara kebaikan peperiksaan adalah kita tidak tahu apakah keputusan kita
selagi belum mendapat keputusan. Dengan rasa ketidaktahuan itu, kita terpaksa
bergantung kepada Allah dengan cara berdoa. Ini antara ni’mat yang jarang kita
sedari.
- Namun begitu, apa yang lebih penting adalah mendapat keputusan yang baik
lagi cemerlang sehingga ke alam barzakh dan akhirat.
- Dalam interaksi kita dengan Allah melalui doa, kita harus sedar bahawa doa
hanyalah berfungsi sebahagian sahaja daripada keseluruhan kehidupan kita,
manakala bahagian berikutnya tetap bergantung kepada usaha kita. Usaha ikhtiar
dan doa adalah 2 perkara yang amat disukai Allah. Ia selari dengan kehiduan
manusia di dunia yang memerlukan usaha ikhtiar atau dalam lafaz Arabnya (الأخذ بالأسباب) iaitu bertindak melalui sebab musabab. Nabi SAW
sendiri menekankan aspek ini dengan sabdanya:
الْمُؤْمِنُ
الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي
كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ
وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا
وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ
الشَّيْطَانِ
Ertinya: Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah,
daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam segala sesuatu itu ada kebaikan
(bagi kedua mereka). Bersungguhlah pada apa yang bermanfaat bagimu, mintalah
tolong kepada Allah dan jangan berasa lemah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu
(keburukan) maka jangan dikata: Kalaulah aku melakukan itu dan ini, akan tetapi
katakanlah: Allah telah menetapkan apa yang dikehendakiNya, kerana sesungguhnya
perkataan KALAU itu membuka kepada perbuatan (hasutan) syaitan (Sahih Muslim).
-Kita juga mesti tahu tujuan utama kita bukan semata-mata mahukan kejayaan
dalam ujian di dunia tetapi yang lebih utama kejayaan dalam ujian di akhirat
kelak. Tujuan hidup orang beriman di dunia ini memerlukan pembelajaran dan
usaha yang berterusan seumur hidup. Oleh itu, kita mesti tahu bahawa Allah
senantiasa memerhatikan kita setiap saat.
- Kebanggaan sebenar bagi seorang mu’min adalah kejayaan atau graduasi pada
hari akhirat dengan pemberian kitab amalan dengan tangan kanan sebagamana
firmanNya:
فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ
اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ (19) إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ (20)
فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (21) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (22) قُطُوفُهَا
دَانِيَةٌ (23) كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ
الْخَالِيَةِ (24)
Ertinya: Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan
kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di
sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! "Sesungguhnya aku telah
mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari
yang ditentukan)!" Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang
senang lenang lagi memuaskan, - Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), - Buah-buahannya
dekat untuk dipetik. (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan
dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat
yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah
kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!" (al-Haqah[69:19-24]).
- Sebagai mu’min sejati kita mesti lebih mengutamakan tentang
graduasi akhirat berbanding graduasi dunia kerana keterlaluan mengejar kejayaan
dalam graduasi dunia mungkin menyebabkan kita terlupa graduasi akhirat.
- Untuk menjamin kejayaan graduasi akhirat kita mesti merebut segala peluang
yang ada di dunia. Sesetengah kita amat beruntung kerana mempunyai peluang
untuk belajar dan meni’mati kesenangan hidup berbanding saudara muslim kita di
negara lain yang secara berterusan ditindas dan tidak memiliki peuang untuk
belajar pun. Rebutlah peluang sebagaimana sabda nabi:
إغتنم خمسا قبل خمس : حياتك قبل موتك ، وفراغك قبل شغلك ،
وغناك قبل فقرك ، وشبابك قبل هرمك ، وصحتك قبل سقمك
Ertinya: Rebut 5 perkara sebelum 5 perkara: Hidup sebelum matimu, lapang
sebelum tiba matimu, kaya sebelum tiba miskinmu, muda sebelum tiba waktu tuamu
dan sihat sebelum tiba waktu sakitmu (Musannaf Ibn Abi Syaybah)
Kesimpulannya, kehidupan di dunia sebenarnya adalah universiti kehidupan
yang selalu menyebabkan kita berdepan dengan ujian.
- Kita mesti
memastikan hari ini lebih baik dari semalam. Jika ia tidak berlaku, bermakna
kita menjadi orang yang paling rugi. Usaha memastikan hari ini lebih baik dari
semalam bertepatan dengan firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا
اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap
diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan (al-Hasyr[59:18]).
KHUTBAH KEDUA:
- Sekiranya anda gagal dalam ujian atau peperiksaan di dunia, jangan jadikan
ia sebab untuk anda berasa tertekan kerana kegagalan sebenar adalah kegagalan
pada hari kiamat kelak. Orang yang gagal menerima kegagalan di dunia sebenar
orang yang tidak mempunyai iman yang cukup tentang penentuan taqdir Allah.
- Ketika berhadapan dengan ujian di dunia, kebiasaannya manusia akan banyak
bedampingan dengan Allah dengan ibadat sunat dan doa demi menjamin pengurniaan
kejayaan dari Allah. Perlu diingat bahawa hubungan kita dengan Allah tidak
sepatutnya bermusim kerana ia seumpama memperbudakkan Allah. Seolah-olah Allah
amat memerlukan doa dan ibadat kita. Maha suci Allah dari semua itu. Jangan
kita memperbudak-budakan Allah dengan ibadat bermusim sebagaimana kanak-kanak
diperbodohkan dengan gula-gula. Jangan juga hanya mengenal Allah apabila menghidap sakit kronik. Kita mesti senantiasa mengingati Allah sebagaimana sabda nabi SAW:
احْفَظْ اللَّهَ
يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ أَمَامَكَ تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ
يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ
وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ
Ertinya: Jagalah (hak) Allah, sudah pasti Dia akan menjagamu, jagalah (hak)
Allah, maka kamu akan mendapatinya (seakan-akan berada) di depanmu. Kenalilah
(ingat) Dia pada waktu senangmu sudah pasti Dia akan mengenalmu pada waktu susahmu.
Apabila kamu memohon sesuatu makan mohonlah kepada Allah dan apabila kamu mahu
meminta pertolongan maka mintalah pertolongan itu kepada Allah (Musnad Ahmad
dan Mustadrak al-Hakim).
Sekian, inilah antara sedikit sebanyak yang mampu saya kongsi. Semoga memberi manafaat kepada semua.
Thursday, November 29, 2012
HATI-HATI MEMILIH KAWAN
Pagi ini (30 November 2012) masuk majlis
al-Liqa’ al-Syahri di dewan utama UIAM, Gombak. Sebelum majlis bermula kami
dipertontonkan bacaan al-Quran dari surah al-Furqan. Lantas saya ingin berkongsi
sesuatu yang berharga di sini,
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي
اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا (27) يَا وَيْلَتَا لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ
فُلَانًا خَلِيلًا (28) لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي
وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا (29)
Ertinya: Dan (ingatkanlah) perihal hari
orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya
sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu)
mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku,
alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya
dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia
disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia
(yang menjadikan dia sahabat karibnya)" (al-Furqan[25:27]).
Menurut riwayat, lelaki yang menyesal dalam
ayat di atas adalah ‘Uqbah Ibn Abi Mu’ayt. Beliau pada awalnya memeluk Islam,
tetapi kembali murtad kerana ingin menjaga hati kawannya Ubayy Ibn Khalaf. Di
akhirat kelak ‘Uqbah menyesal kerana menjadikan Ubayy sebagai teman yang
membawanya ke neraka (Tafsir al-Tabari).
Benarlah sabda nabi:
مَثَلُ الْجَلِيسِ
الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ
الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ
تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ
مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Ertinya: Perumpamaan kawan
yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti berkawan dengan penjual minyak
wangi atau tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi akan menjadikanmu
membeli darinya atau terkena tempias wangiannya. Berkawan dengan tukang besi
pula sama ada akan membakar badan atau pakaianmu atau juga menempiaskan baunya
yang busuk kepada badanmu (Sahih al-Bukhari dan Muslim)
Wednesday, November 28, 2012
SENI BERDOA AGAR MUDAH DITERIMA ALLAH
Malam tadi (27 November 2012) mengajar surah awal
Maryam (ayat 1-11). Antara pengajaran menarik adalah kisah doa nabi Zakariyya AS
kepada Allah memohon anak. Firman Allah:
إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ
إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ
بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي
وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي
وَيَرِثُ مِنْ آَلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)
Ertinya: (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi
Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan [3].
Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya
telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan
aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku
kepadaMu [4].
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan
kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan
isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari
sisiMu seorang anak lelaki [5].
Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi
keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai
serta disukai [6]" (Maryam[19:3-6]).
TERDAPAT
BEBERAPA RAHSIA MENGAPA DOA BAGINDA DITERIMA, IAITU:
1) Baginda
berdoa dengan suara yang lembut yang jelas menunjukkan kerendahan hati (ayat 3).
* Dalam
ayat lain Allah mengarahkan doa dibuat secara perlahan:
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا
يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Ertinya: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan
merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampaui batas (al-A’raf[7:55]).
Juga
firmanNya:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً
وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ
الْغَافِلِينَ
Ertinya:
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri
serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula
menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang yang lalai (al-A’raf[7:205]).
2) Baginda mengakui
kelemahan diri yang sudah tua, lemah dan beruban (ayat 4).
* Sikap
ini juga digunakan nabi Adam dalam doa taubatnya:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ
تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Ertinya: Mereka berdua (Adam dan Hawwa’) merayu:
"Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau
Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya
menjadilah kami dari orang-orang yang rugi" (al-A’raf[7:23]).
*Ia juga
sikap nabi Yunus:
وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ
لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun,
ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia
menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah
berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang
gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat
menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan
aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang
menganiaya diri sendiri” (al-Anbiya’[21:87]).
*Juga
sikap nabi Musa ketika berdoa setelah melarikan diri dari Mesir tanpa apa-apa
bekalan makanan:
فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Ertinya: Maka Musa pun memberi minum kepada
binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada
sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan" (al-Qasas[28:24]).
3) Baginda memuji Allah yang tidak pernah
menghampakan doanya sebelum itu (ayat 4).
4) Baginda mengutamakan kepentingan agama
mengatasi kepentingan dirinya sendiri. Baginda mengharapkan anak yang bakal
menjaga urusan agama keluarganya yang dibimbangi terhakis selepas kematian
baginda (ayat 5).
*Ia sama seperti sikap nabi Isa AS yang
mengutamakan aspek agama mengatasi soal duniawi dalam doanya kepada Allah
ketika memohon hidangan dari langit:
قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا
أَنْزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِأَوَّلِنَا
وَآَخِرِنَا وَآَيَةً مِنْكَ وَارْزُقْنَا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Ertinya: Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke
hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada
kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi
kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan
sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan
kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah
sebaik-baik Pemberi rezeki" (al-Ma’idah[5:14]).
* Juga doa nabi Ibrahim semasa meninggalkan Hajar
dan Isma’il di lembah kontang Mekah:
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ
غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ
فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ
الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah
(Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan
mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka
mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah
hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang
beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai
jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim[14:37]).
KESIMPULANNYA: Seni berdoa amat penting bagi memudahkan
penerimaan Allah. Antara yang diajar oleh al-Quran adalah merendah diri dengan
segala kelemahan, memuji serta mengagungkan Allah dan mengutamakan kepentingan
agama mengatasi kehendak sendiri. Contohnya ialah: Ya Allah! Selamatkan
perjalananku pulang ke kampong halaman, tujuanku adalah INGIN MENGHUBUNG
SILATURAHIM yang Engkau arahkan!
Subscribe to:
Posts (Atom)








