Baru-baru ini dalam salah satu kelas Tafsir saya, kami berbincang
perihal nazar. Saya nyatakan ada nazar yang dipuji dan ada juga yang
nazar dilarang. Bahkan jika diteliti
secara umum SEAKAN terdapat sedikit percanggahan antara Hadith nabi dan
al-Quran dalam isu nazar. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW melarang
nazar dilakukan manakala dalam ayat lain pula Allah memuji orang yang
menunaikan nazarnya.
Saya menjelaskan kepada pelajar saya
bahawa maklumat tersebut adalah berdasarkan pembacaan saya suatu masa
dahulu tetapi saya terlupa bahan bacaan tersebut. Sepanjang kelas
berlansung saya cuba mengingat kembali bahan bacaan yang saya maksudkan
tetapi gagal. Seketika itu juga saya berdoa kepada Allah agar
dipertemukan dengan bahan bacaan tersebut bagi merungkaikan percanggahan
dalam isu nazar itu.
Pagi ini (30 September 2013) ketika
memasuki bilik di UIAM, hati saya tergerak untuk membelek sebuah buku
yang berada atas meja saya. Buku tersebut adalah Tesis PhD al-Fadhil Dr.
Muhd Asri bin Zainul Abidin yang bertajuk “Sabab Wurud al-Hadith,
Dhawabit Wa Ma’ayir” (Sebab kewujudan sesuatu Hadith nabi) terbitan
Research Centre, UIAM, halaman 186-188. Alhamdulillah! Saya dipertemukan
dengan bahan rujukan yang saya maksudkan. Segala puji bagi Allah yang
kembali menyinarkan cahaya ilmu dan memakbulkan doa tersebut.
Peristiwa ini jelas menunjukkan kelemahan manusia yang mudah lupa. Ia
memang disebut oleh Allah pada sifat kejadian nabi Adam, firmanNya:
وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آَدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا
Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada
masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai
keazaman yang teguh. (Taha[20:115]).
Sedang Allah Yang Maha Sempurna pula jauh bezanya dengan makhluk. FirmanNya:
قَالَ عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي فِي كِتَابٍ لَا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنْسَى
Ertinya: Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi
Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan
Ia juga tidak pernah lupa" (Taha[20:52]).
PERBINCANGAN ISU NAZAR:
1) Sebenarnya apabila diteliti kedua sumber Islam itu tidak bercanggah
tetapi membawa konteks perbincangan yang berbeza. Dalam sebuah hadith,
nazar dihukumkan makruh oleh Rasulullah SAW:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّذْرِ
وَقَالَ إِنَّهُ لَا يَرُدُّ شَيْئًا وَلَكِنَّهُ يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ
الْبَخِيلِ
Ertinya: Dari Abdullah ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah
SAW melarang bernazar, baginda bersabda: Sesungguhnya nazar itu tidak
akan menolak sesuatu (taqdir) pun, akan tetapi ia dikeluarkan dari si
kedekut (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Dalam al-Quran pula Allah memuji orang yang menunaikan nazarnya. Firman Allah:
يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا
Ertinya: Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka
menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya),
serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana
sini (al-Insan[76:7]).
2) Hadith dan ayat di atas tidak
bercanggah sama sekali. Allah memuji hambaNya yang menunaikan nazar
dengan sempurna. Nazar itu pula adalah nazar ibadat yang ikhlas tanpa
mengharapkan manafaat duniawi. Ia adalah seperti nazar ibu Maryam yang
mahu meletakkan bayinya sebagai orang yang berkhidmat di Bayt al-Maqdis
tanpa diikat dengan apa-apa hajat:
إِذْ قَالَتِ امْرَأَةُ
عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا
فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Ertinya: (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya
aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang
yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu
semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Ali ‘Imran[3:35]).
3) Nazar
yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas adalah nazar yang
diikat dengan hajat duniawi seperti seseorang menyebut: “Ya Allah! Jika
Engkau beri kejayaan kepadaku dalam peperiksaan nanti aku bernazar akan
berpuasa 3 hari.”
Nazar sedemikian kelihatan biadab kerana
orang yang bernazar seakan cubaan berunding dengan Allah seolah-olah
Allah amat memerlukan ibadah hambaNYa. Sedangkan Allah itu Maha Kaya dan
tetap teguh berkuasa walaupun tanpa ibadah para hambaNya. Firman Allah:
وَقَالَ مُوسَى إِنْ تَكْفُرُوا أَنْتُمْ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ
Ertinya: Dan Nabi Musa berkata: "Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di
muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian
tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi
Maha Terpuji (Ibrahim[14:8]).
4) Perlu diingat bahawa nazar tidak akan mampu mengubah taqdir yang ditetapkan Allah semenjak azali sebagaimana sabda nabi SAW:
لَا تَنْذِرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنْ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ الْبَخِيلِ
Ertinya: Janganlah kamu bernazar kerana sesungguhnya nazar itu tidak
akan dapat mengubah taqdir walau sedikit pun. Sebenarnya ia hanya
dikeluarkan (dibuat oleh si bakhil) (Sahih Muslim, Sunan al-Tirmidhi dan
al-Nasa’i).
Sebaiknya seseorang yang berhajat itu berusaha
sepenuh daya, berserah dan berdoa kepada Allah. Ia bertepatan dengan
konsep usaha, ikhtiar dan doa yang disarankan Islam.
Allahu A'lam..semoga bermanafaat
No comments:
Post a Comment