Monday, September 30, 2013

MALAM ITU AKU BAHAGIA BILA KUTAHU IMAM ITU ANAK ARWAH KASIM

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan bacaan seorang imam sambilan Masjid UIAM yang sungguh merdu suaranya dan mantap Tajwidnya. Setiap kali bersolat di belakangnya, saya terpesona. Alhamdulillah pada suatu malam saya sempat bertanya khabar dengannya setelah selesai solat Maghrib.

Namanya Ahmad Muhaimin bin Kasim, umur baru 21 tahun dan seorang HAFIZ AL-QURAN. Saya agak terkejut kerana baru sedar beliau adalah anak kepada arwah kawan saya Kasim yang meninggal dunia pada tahun 2005 (kalau tidak silap). Kasim adalah bekas bilal Masjid UIAM Petaling Jaya dan kami mula berkenalan ketika saya belajar di Darul Quran.

Setelah selesai mendirikan solat jenazah kepada Kasim di Masjid UIAM dahulu saya berbisik kepada Muhaimin: "Jadi anak yang soleh ye adik!"

Tak disangka sekarang beliau dikurniai kelebihan SUARA DAN KEMANTAPAN BACAAN AL-QURAN YANG HEBAT. Dengarnya Muhaimin agak gigih dalam mempelajari al-Quran.

Bahagialah kamu wahai Kasim di alam barzakh sana didoakan oleh para malaikat pemikul Arasyh dan anak yang soleh, firman Allah:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ (7) رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (8)

Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): ORANG-ORANG YANG LAYAK DI ANTARA IBU BAPA MEREKA, DAN ISTERI-ISTERI MEREKA, SERTA ZURIAT KETURUNAN MEREKA. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ghafir[40:7-8]).

No comments: