Saturday, September 8, 2012

BUKU AYAT-AYAT SYAITAN


Anak sulung saya Ayat-ayat Syaitan sudah terbit dan boleh didapati di pasaran sekarang..Antara isi kandungan buku ini adalah seperti berikut:









SINOPSIS RINGKAS MENGENAI BUKU:

Iblis dan syaitan adalah makhluk ghaib yang sudah diwartakan sebagai musuh manusia yang nyata sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir[35:6]).

Peperangan melawan Iblis dan syaitan adalah peperangan yang berat sebelah seperti peperangan gerila kerana manusia tidak mampu melihat mereka. Mereka juga boleh menyerang secara mendadak sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka (al-A’raf[7:27]).



Oleh itu, umat Islam perlu mengenali musuh mereka ini dengan mendalam bagi menyelamatkan mereka dari terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sudah banyak memakan mangsa manusia sebagaimana firman Allah: "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin[36:62]).



Buku ini cuba membongkar serangan syaitan ke atas manusia dan cara menghadapinya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Antara isu yang perlu diberi perhatian dalam buku ini adalah:


- Kaitan jin dan UFO

- Benarkan cicit Iblis beriman dengan nabi Muhammad?

- Dakwaan nama para sahabat nabi dari kalangan jin

- Adakah jin dan syaitan mampu ditangkap?

- Tipuan syaitan dalam isu menutup aurat (WANITA MESTI BACA!!!)

- Tipuan syaitan dalam lambakan cerita hantu (PEMBIKIN FILEM SERAM MESTI BACA!!!)

- Benarkah sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia?

- Dakwaan nama anak-anak Iblis bersama portfolio yang mereka pegang?

- Dakwaan wujudnya nama syaitan dalam surah al-Fatihah (GURU TAJWID MESTI BACA!!).

- Dakwaan nama jin yang bakal mengundang penyakit misteri



PEMBUKA BICARA & PENDAHULUAN

Buku Ayat-ayat Syaitan, Jin, Iblis Dan Syaitan Dalam Al-Quran bukanlah seperti Satanic Verses karya kontroversi Salman Rushdie yang biadab menolak al-Quran dan pernah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1980an. Buku ini adalah tulisan dari hamba Allah yang cuba untuk benar-benar beriman kepada al-Quran bahkan sudah bersumpah mengabdikan dirinya kepada al-Quran semenjak tahun 1993 ketika mula menjejakkan kaki ke Darul Quran, Jakim.

Pemilihan tajuk buku ini yang agak kontroversi adalah suatu bentuk dakwah moden bertujuan menarik sebanyak mungkin pembaca agar manafaat yang terdapat dalam buku ini dapat melimpah kepada semua.

Buku ini boleh dikategorikan sebagai sebuah Tafsir Tematik (Mawdu’i) yang membincangkan ayat-ayat berkaitan syaitan dalam al-Quran. Pendekatan Tafsir Tematik lebih berkesan untuk mendekatkan manusia awam moden yang amat sibuk dengan urusan harian kepada al-Quran.

Al-Quran dengan jumlah ayatnya 6236 seumpama minyak mentah yang pastinya menyusahkan pemandu jika secara terus dimasukkan ke dalam tangki kereta. Untuk lebih menyerlahkan manafaat pada minyak tersebut, pihak yang memiliki kemahiran memprosesnya perlu melakukan proses saringan agar manafaat dari minyak tersebut dapat digunakan oleh manusia sejagat. Penggunaan kaedah Tafsir Tematik seumpama suatu proses saringan serta penyusunan semula ayat al-Quran di bawah suatu tajuk yang khusus untuk memudahkan orang awam memahami al-Quran. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah dalam bidang Tafsir al-Quran, penulis cuba membantu orang awam memahami nilai permusuhan antara syaitan dan manusia dari perspektif al-Quran agar semua anak Adam benar-benar terselamat dari fitnah musuh ghaib ini.


ISI PILIHAN



وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِأَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا (50)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf[18:50]).


Ketika mentafsirkan ayat ini, sesetengah mufassir membawa sebuah riwayat yang menyebut tentang 5 anak Iblis yang memiliki portfolio tersendiri dalam menyesatkan manusia. Riwayat tersebut biasanya disandarkan kepada Mujahid (Tabi’in). Nama dan tugasan mereka adalah;


1) Zalnabur (زلنبور) yang bertugas menggangu manusia di pasar.

2) Thabar (ثبر) yang bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah.

3) Al-A’war (الأعور) yang bertugas menghasut manusia melakukan zina.

4) Masut (مسوط) yang bertugas melemparkan berita palsu pada lidah manusia. Dalam Tafsir Ibn Abi Hatim, Tafsir al-Alusi dan al-Durr al-Manthur Fi al-Tafsir bi al-Ma’thur(Imam al-Suyuti) pula menyebut Masut adalah nama syaitan yang menggangu Nabi Ayyub AS (lihat pada tafsiran surah Sad[38:41]).

5) Dasim (داسم) yang mengiringi manusia ke dalam rumah apabila tidak dibaca Basmalah atau tidak disertakan zikir kepada Allah.


(Riwayat di atas boleh dilihat dalam Tafsir al-Tabari pada pentafsiran ayat di atas).

Dalam Tafsir al-Nasafi pula (tafsiran pada ayat yang sama) ditambah beberapa nama lain;

6) Laqis (لا قيس) yang mencampakkan rasa was-was dalam solat.

7) Batar (بتر) bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah. Tugasnya kelihatan sama dengan tugas Thabar.

8) Matus (مطوس) yang bertugas menyebarkan gossip.

Dalam Tafsir al-Qurtubi pula ditambah beberapa nama lain;

9) Al-Abyad (الابيض ) (Si putih) yang mencampak rasa was was ke dalam hati para nabi.


10) Sakhar (صخر) yang mencuri cincin nabi Sulayman AS sehingga mengakibatkan baginda kehilangan kerajaannya selama 40 hari (juga disebut dalam Tafsir al-Tabari). Walau bagaimanapun riwayat tentang rampasan kuasa ini ditolak oleh Imam al-Razi kerana bertentangan dengan roh agama dan akal yang sihat. Sekiranya jin (seperti Sakhar) mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti kesucian agama akan musnah akibat penyamaran syaitan. Tambahan pula, sekiranya mereka mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti mereka juga mampu menyamar dalam rupa para ulama dan membuat fatwa atau ijtihad yang palsu di atas nama para ulama (Tafsir al-Razi pada tafsiran surah Sad [38:35]).


11) Murrah (مرة) yang menghasut untuk menggunakan serunai (alatan muzik).

12) Al-Haffaf (الهفاف) yang menggangu dan menyesatkan manusia di padang pasir.


Jin Islam yang ditemuramah oleh wartawan Mesir, Muhammad ‘Isa Dawud juga menyebut isu tentang 5 anak Iblis bersama portfolio mereka. Mengikut dakwaannya kelima anak Iblis itu masih hidup sampai sekarang (Hiwar Sahafiy Ma’ Jinniy Muslim, ms 51-54).

Walau bagaimanapun, Ibn ‘Atiyyah dalam tafsirnya al-Muharir al-Wajiz(tafsiran pada surah al-Kahf[18:50]) telah mengkritik penamaan tersebut kerana semuanya tidak mempunyai sanad periwayatan yang sahih. Kesemuanya tidak sahih kecuali apa yang disebut oleh hadith iaitu Khanzab (خنزب - si penggangu solat sebagaimana yang disebut dalam Sahih Muslim) dan juga al-Walahan (الولهان - si penggangu wuduk sebagaimana yang disebut dalam Sunan al-Tirmidhi).




Komentar kepada nama Jin yang boleh mendatangkan penyakit misteri.

Pada hari Sabtu 17 Disember 2011, dalam rancangan Tanyalah Ustaz terbitan TV 9, seorang penceramah agama yang juga pengamal perubatan Islam mendakwa jin mempunyai beberapa nama yang sering digunakan di kalangan mereka. Nama tersebut juga amat popular di kalangan orang Melayu. Beliau mendakwa berdasarkan pengalamannya merawat ramai pesakit, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit misteri berkaitan dengan gangguan jin biasanya menggunakan nama yang sering digunakan oleh para jin seperti Najwa, Erisya, Batrisyia, Qistina, Zakuan dan sebagainya. Penceramah itu juga mengeluarkan sebuah buku bertajuk XXXXXXXXXXXXXXXXXXXX. Pada halaman XXXXXXXX, penulis buku itu menyenaraikan nama-nama jin yang disusun dalam susun atur abjad rumi.

Dakwaan penceramah tersebut perlu ditolak kerana ia telah menyentuh sempadan alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah (al-Naml[27:65]). Sandaran pengalaman merawat pesakit juga tidak boleh dijadikan hujah untuk menanggap persoalan alam ghaib, apatah lagi untuk disebut secara terbuka kepada masyarakat awam dalam media penyiaran.Tindakan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan serta menyuburkan budaya khurafat yang mendakwa sebarang penyakit boleh berpunca daripada kesilapan memberikan nama.


Cicit Iblis beriman kepada nabi Muhammad SAW
Ketika mentafsirkan ayat di atas (al-Ahqaf[46:29-30]), Imam al-Razi membawa sebuah riwayat yang agak pelik tentang pertemuan nabi SAW dengan jin yang tersangat tua yang bernamaHamah bin Him bin Laqis bin Iblis. Riwayat itu mengatakan jin tersebut mendakwa usianya sama dengan usia bumi, masih remaja ketika pembunuhan Habil bin Adam, sempat beriman dengan beberapa orang Rasul, menyampaikan salam nabi Isa kepada Rasulullah SAW. Jin itu kemudiannya beriman dengan Rasulullah SAW dan sempat belajar 10 surah al-Quran dari nabi SAW (Tafsir al-Razi).
Hadith ini juga disebut oleh Imam al-Bayhaqi dalam kitabnya Dala’il al-Nubuwwah, dalam kumpulan bab-bab peperangan Tabuk/bab ketibaan Hamah bin Him bin Laqis bin Iblis bertemu dengan dengan nabi SAW dan memeluk Islam. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga meletakkan Hamah dalam senarai para sahabat dalam kitabnya al-Isabah FI Ma’rifat al-Sahabah. Namun begitu, Ibn Hajar dan Imam Ibn al-Jawzi dalam kitabnya al-Mawdu’at/Hadith-hadith Palsu menyatakan hadith mengenai pengislaman Hamah adalah tidak thabit (tidak jelas sandarannya kepada nabi SAW) dan tidak pasti asal usulnya. Oleh itu, hadith ini tidak boleh dijadikan hujah bagi menyokong tentang panjangnya umur jin.
DAN BANYAK LAGI.......


WALAUPUN SUDAH TERPISAH SEJAUH 1500 TAHUN…KITA BOLEH BERJUMPA DENGAN RASULULLAH DI ALAM BARZAKH INSYAALLAH!

Malam ini (8 September 2012) tiba-tiba saya teringat cerita ayah angkat saya dari Taman Tun Dr. Ismail yang agak akrab dengan Presiden sebuah parti Islam di Malaysia. Presiden parti tersebut pernah bercerita kepada ayah angkat saya, ketika beliau agak tertekan dengan masalah partinya, beliau bermimpi berjumpa dengan al-Marhum bekas presiden parti itu yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002…



Dalam mimpinya, al-Marhum mantan Presiden akan berkata: Adakah senarai calon untuk pilihanraya sudah siap?  TAPI PERLU DIINGAT! MIMPI TIDAK BOLEH SAMA SEKALI MENJADI SUMBER RUJUKAN DALAM ISLAM…Ia hanyalah perkhabaran gembira untuk orang Soleh dan saya percaya keduanya iaitu Presiden dan al-Marhum mantan presiden parti tersebut adalah hamba Allah yang berintegriti dan soleh…

 Firman Allah:

لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya: Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus[10:64]).

Ketika membicarakan ayat di atas, para ulama’ Tafsir & Hadith akan membawakan makna perkhabaran gembira sebagai mimpi benar yang diperlihatkan kepada orang Soleh (Tafsir Ibn Kathir, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Sabda nabi:

لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ

Ertinya: Tiada lagi yang berbaki dari kenabian kecuali perkhabaran gembira, para sahabat bertanya: Apakah perkhabaran gembira itu? Nabi menjawab: Ia adalah mimpi yang benar (dikurniakan kepada orang Islam) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Kalaulah benar cerita ayah angkat saya di atas, kisah ini seolah membenarkan apa yang disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam bukunya al-Ruh. Beliau menamakan sebuah bab dengan tajuk:  Adakah roh si mati bertemu, menziarahi dan saling memberikan peringatan atau tidak?

Dalam tajuk ini beliau menyebut Roh orang yang sudah mati bakal bersama dengan siapa yang mereka cintai berdasarkan firman Allah:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا

Ertinya:Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat) (al-Nisa'[4:69]).
 
Beliu juga menyebut banyak riwayat atau athar tentang kisah Salaf al-Soleh bermimpi bertemu dengan orang soleh yang sudah meninggal dunia seperti Sufyan al-Thawri, ‘Abdullah Ibn al-Mubarak, Marwan al-Muhlami, ‘Ata’ al-Salmi, Ibn Sirin, Maymun Ibn Sayyah dan lain-lain lagi. Mereka berada dalam kebahagiaan di alam barzakh dan dipertemukan dengan nabi Muhammad SAW. Subhanallah! (al-Ruh, ms 27-29).

* Walaupun terpisah dengan Rasulullah SAW sebegitu jauh sehingga hampir 1500 tahun, kita tetap berkesempatan bertemu Rasulullah bermula dari alam barzakh lagi kerana alam barzakh bukanlah seperti alam dunia yang berbeza zon masa dan zamannya. Inilah sebabnya mati juga menjadi ni'mat untuk orang Soleh kerana mereka bertemu dengan Rasulullah SAW di alam barzakh. Semoga kita dipertemukan dengan baginda SAW dan semua manusia pilihan kelak..Amin!

 

Saturday, September 1, 2012

INILAH AYAT YANG SAM KOUKA MAKSUDKAN!

 
 
Sam Kouka, Presiden Mercy Slaughter LLC, Texas, Amerika Syarikat  menunjukkan demonstrasi bagaimana kambing biri-biri yang ingin disembelihnya tunduk jinak dan tidak bergerak setelah mendengar ucapan “Bismillah, Allahu Akbar”. Inilah yang disebut oleh ayat ini.

 أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan (Ali ‘Imran[3:83]).

Mujahid meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: Apabila binatang tunggangan kamu sukar menuruti perintah atau terlalu liar, maka bacalah ayat ini (ayat  83) pada telinganya (Tafsir al-Qurtubi).  




JANGAN SAMPAI HIJAB YANG SUDAH TERBUKA DALAM RAMADHAN TERTUTUP!! HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN.

Alhamdulillah, semalam pada malam di ambang merdeka (31 Ogos 2012) saya dijemput beri kuliah Maghrib di masjid Asy-Syarif, Meru, Klang dengan tajuk: HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN. Antara isi yang boleh dikongsi adalah:

MUQADDIMAH:

Saya bawa ayat tentang 3 pembahagian umat nabi dalam berinteraksi dengan al-Quran. Firman Allah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُو الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

3 Golongan itu adalah:

1) Menzalimi diri sendiri, tidak mengendahkan al-Quran, melakukan dosa, dihumban ke neraka sebelum diampunkan, lewat ke syurga, sempat mendiami A’raf, masuk syurga dengan syafaat nabi SAW.

2) Pertengahan, mengamalkan isi kandungan al-Quran, melakukan kewajipan agama, masuk syurga dengan rahmat Allah.

3) Terkehadapan melakukan kebaikan DENGAN IZIN ALLAH, mengamalkan segala isi kandungan al-Quran, masuk syurga tanpa hisab,  ditempatkan bersama orang soleh.


3 BERADIK YANG TAK BOLEH DIPISAHKAN (RAMADHAN - AL-QURAN – TAQWA)

RAMADHAN & TAQWA

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
* Ramadhan mampu mendidik manusia menjadi bertaqwa kerana Allah menggunakan perkataan MUDAH-MUDAHAN dalam perkataan yang mampu dicapai.

 
TAQWA MEMBENTUK NERACA KEHIDUPAN

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal [8:29] ).
 
* Taqwa yang dicapai hasil dari latihan semasa Ramadhan akan berkekalan selepas Ramadhan sebagai pembimbing tindakan orang beriman.
 


TAQWA & MA’RIFAH HANYA DENGAN AL-QURAN

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيز الْحَمِيدِ

  Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]).
 
* Cara terbaik mencapai Taqwa dan Ma'rifat Allah adalah dengan al-Quran. Sesiapa yang cuba mengenal Allah dan mencapai Taqwa dengan sumber lain berkemungkinan besar akan tersilap masuk pintu yang boleh membawanya ke lorong yang salah.
 

CARILAH HIDAYAH DARI AL-QURAN
 

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى (123)

Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara (Taha[20:123]).
 
* Tanggungjawab orang beriman adalah mencari petunjuk dalam setiap ayat yang dibaca dengan mengembalikan percakapan Allah kepada DIRI SENDIRI bukannya orang lain, atau menyalahkan diri sendiri dalam sebarang teguran Allah pada setiap ayat.
 
JANGAN DITUTUP HIJAB IMAN SESUDAH RAMADHAN

 
 وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآَنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآَخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا

Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu (al-Isra’[17:45]).

 
JANGAN TUNGGU HIJAB DIBUKA DI AKHIRAT


لَقَدْ كُنْتَ فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ


 

(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)“ (Qaf [50:22]).


* Al-Quran yang dibaca pada bulan Ramadhan membantu membuka hijab mental yang tidak dapat melihat akhirat. Interaksi berterusan selepas Ramadhan membantu agar hijab tersebut senantiasa terbuka untuk mendekatkan lagi kita kepada Allah dengan PANDANGAN AKHIRAT.
  

JANGAN HANYA AKRAB PADA BULAN RAMADHAN-HATI-HATI DENGAN KELUHAN NABI!!!

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآَنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai“ (al-Quran [25:30]).


KESIMPULAN: Kekalkan momentum interaksi kita yang agresif dengan al-Quran pada bulan Ramadhan sehingga ke Ramadhan akan datang!
 

 

 

Friday, August 31, 2012

TANGKAP ULAR DI TENGAH SOLAT JUMAAT?


Selesai sahaja parking kereta untuk masuk ke Masjid Sungai Tua, Selayang untuk bersolat Jumaat tadi, tiba-tiba saya ternampak sebuah van JPA3, Jabatan PertahananAwam masuk ke sebuah lorong. Seorang kanak-kanak tiba-tiba memberitahu saya... “Ada ULAR Cik!”.

Lalu saya terfikir: “ Eh diaorang ni terpaksalah berkorban tidak bersolat Jumaat hari ini!”. Azan kedua pun dikumandangkan di corong masjid.

Situasi mungkin akan menjadi lebih kritikal jika ular tersebut tidak segera ditangkap, boleh jadi ia dari jenis ular berbisa dan akan memberi mudarat yang lebih besar kepada penduduk sekeliling. Menyelamatkan nyawa adalah suatu tugas yang mulia sebagaimana firman Allah:
 

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu (pembunuhan anak nabi Adam-Habil oleh Qabil) kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah[5:32]).

Ini juga menunjukkan kepentingan wujudnya UNIT PENGUATKUASAAN yang bertugas menjaga keselamatan seperti JPA3, POLIS, ASKAR, BOMBA dan sebagainya. Ia berasaskan firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam (al-Baqarah[2:251]).

Juga firmanNya:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya (al-Hajj[22:40]).

Wednesday, August 29, 2012

KALAU KITA MERDEKA 31 OGOS 1957..BANI ISRA’IL MERDEKA BILA??

PEDULIKAN SESETENGAH AHLI POLITIK YANG KORUP…INSYAALLAH AKU MEMANG PATRIOTIK!

Baru selesai prigram LIQA’ SHAHRI (perjumpaan bulanan) untuk staff UIAM di Dewan Besar, CAC..ada 2 agenda utama;

1)      pelancaran derma secara potongan gaji bulan SEPTEMBER SAHAJA untuk pelajar luar negeri dari Negara yang bermasalah seperti Syiria, Palestin, Myanmar dan sebagainya.

2)      Pelancaran bulan kemerdekaan. Agenda ini memang amat releven apabila pihak penganjur terlebih dahulu tayangkan isu Syiria..hatiku memang tersentuh melihat nasib penduduk Syiria yang TIDAK MERDEKA. Seterusnya pihak penganjur meminta semua staff berdiri bersama untuk menyanyikan lagu KERANAMU MALAYSIA & JALUR GEMILANG. Ketika kedua lagu ini dinyanyikan, rasa cintaku kepada Malaysia membuak-buak dan barulah jelas padaku fungsi lagu sebagai medium penyempaian maklumat dan emosi. Di samping kecintaan kepada Negara, AMARAH DAN GERAMKU kepada sesetengah ahli politik yang MENJAHANAMKAN Negara dengan sifat tamak mereka juga turut membuak-buak.

Apabila menyebut isu kemerdekaan, lantas aku terlintas 2 ayat ini:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا فَأُولَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97) إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا (98) فَأُولَئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا (99) وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (100)

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’[4:97-100]).

 
ULASAN: Umat Islam di Mekah tidak dapat hidup senang, terancam dan tidak bebas mengamalkan agama mereka. Setelah hijrah, mereka seakan sudah merdeka dari penindasan musuh dan mampu berdiri sendiri di bawah naungan Islam. Allah mencela segolongan umat Islam di Mekah (ayat 97) yang mampu berhijrah (MEMERDEKAKAN DIRI) tetapi enggan berbuat demikian kerana tidak mahu meninggalkan bumi Mekah yang sememangnya tidak sesuai lagi untuk agama mereka. Mereka ini mati terbunuh di pihak Mushrikin dalam perang Badar kerana dipaksa menyertai tentera Mekah (Tafsir Ibn Kathir). Bersyukurlah atas ni’mat kemerdekaan ini.


Firman Allah tentang nasihat nabi Musa AS kepada Bani Isra’il yang SUDAH MERDEKA dari penindasan Firaun:

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنْبِيَاءَ وَجَعَلَكُمْ مُلُوكًا وَآَتَاكُمْ مَا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِنَ الْعَالَمِينَ

Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan DIA MENJADIKAN KAMU BEBAS MERDEKA (SETELAH KAMU DIPERHAMBA OLEH FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)" (al-Ma’idah[5:20]).

* Cuma tarikh kemerdekaan mereka bukan 31 Ogos tetapi 10 Muharram (Sahih al-Bukhari)* 
 

 

BAYANGKAN KALAU MALAM BERPANJANGAN TANPA SIANG?!

Aduhai! Habis tergendala urusan malam ini. Tak boleh isi asset declaration form, tak boleh taip buku, tuisyen anak untuk UPSR pun dibatalkan DEK KERANA BEKALAN ELETRIK TERPUTUS sejak petang tadi..setelah begini barulah aku faham ayat ini:

قُل أَرَءَيتُم إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيكُمُ الَّيلَ سَرمَدًا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ مَن إِلٰهٌ غَيرُ اللَّهِ يَأتيكُم بِضِياءٍ ...

ۖ أَفَلا تَسمَعونَ

Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?(al-Qasas[28:71]).
 

 
* Kalau malam berterusan di bumi, matilah pokok kerana tidak dapat memproses makanan, kuranglah oksigen untuk haiwan dan manusia, baju dijemur tak akan kering, bau hapak baju lembab akan berleluasa di bumi, pembangunan bumi pasti terbantut, kemalangan jalan raya berleluasa kerana kegelapan malam, umur manusia pun pendek!

Tuesday, August 28, 2012

ALLAH AJAR BURUNG WALIT, BURUNG LAYANG-LAYANG DAN LEBAH!

Pagi ni bawa anak-anak ke klinik, ceret beret punya pasal. Dalam perjalanan keluar dari klinik UIAM, nampak burung layang-layang bertenggek atas lampu.
 


Saya: Itulah burung layang-layang. Dia pandai buat sarang sama juga seperti burung walit. Orang sekarang buat bisnes sarang walit. Dia buat sarang pakai air liur. Kita boleh buat duit dengan jual sarang dia!

Asma (10 tahun): Macaana dia tahu nak buat sarang pakai air liur?!

Saya: Allah lah yang ajar! Lalu ayat ni terlintas di hati saya:

...

قالَ رَبُّنَا الَّذى أَعطىٰ كُلَّ شَيءٍ خَلقَهُ ثُمَّ هَدىٰ

Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: Kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya (Taha[20:50]).


Juga ayat ni:

وَالَّذى قَدَّرَ فَهَدىٰ

Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);(al-A'la[87:3]).
 
Dalam ayat lain, Allah juga mengajar lebah untuk hidup:
 
وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (68) ثُمَّ كُلِي مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ (69)
 
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir (al-Nahl[16:68-69]).
 

Monday, August 27, 2012

KENAPA FIRAUN SEBUT BUMI/NEGERI KAMI?

 
Adakah Firaun seorang yang PATRIOTIK atau hanya seorang AHLI POLITIK yang licik?

قالَ أَجِئتَنا لِتُخرِجَنا مِن أَرضِنا بِسِحرِكَ يٰموسىٰ

Firaun berkata: Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?(Taha[20:57]).

* Para Ulama Tafsir menyebut, Firaun sengaja menyebut dengan JELAS perkataan BUMI atau NEGERI KAMI kepada Musa dalam kisah ini sebagai strategi untuk menakutkan rakyatnya tentang BAHAYANYA MENGIKUT atau MENYOKONG perjuangan Musa AS.. (Tafsir al-Munir)..

Hmm! Seakan sama saja dengan AYAT SESETENGAH AHLI POLITIK MALAYSIA APABILA BERKEMPEN utk jatuhkan pihak lawan!!
" JANGAN GADAI NASIB ANAK CUCU & NASIB NEGARA KITA DENGAN MEMBUAT PILIHAN YANG SALAH DALAM PILIHAN RAYA!! "


* Rupanya hidup manusia adalah kitaran sejarah yang selalu berulang..cuma watak, masa & lokasinya shj berbeza...Oh agungnya al-Quran!