Saturday, September 1, 2012

JANGAN SAMPAI HIJAB YANG SUDAH TERBUKA DALAM RAMADHAN TERTUTUP!! HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN.

Alhamdulillah, semalam pada malam di ambang merdeka (31 Ogos 2012) saya dijemput beri kuliah Maghrib di masjid Asy-Syarif, Meru, Klang dengan tajuk: HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN. Antara isi yang boleh dikongsi adalah:

MUQADDIMAH:

Saya bawa ayat tentang 3 pembahagian umat nabi dalam berinteraksi dengan al-Quran. Firman Allah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُو الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

3 Golongan itu adalah:

1) Menzalimi diri sendiri, tidak mengendahkan al-Quran, melakukan dosa, dihumban ke neraka sebelum diampunkan, lewat ke syurga, sempat mendiami A’raf, masuk syurga dengan syafaat nabi SAW.

2) Pertengahan, mengamalkan isi kandungan al-Quran, melakukan kewajipan agama, masuk syurga dengan rahmat Allah.

3) Terkehadapan melakukan kebaikan DENGAN IZIN ALLAH, mengamalkan segala isi kandungan al-Quran, masuk syurga tanpa hisab,  ditempatkan bersama orang soleh.


3 BERADIK YANG TAK BOLEH DIPISAHKAN (RAMADHAN - AL-QURAN – TAQWA)

RAMADHAN & TAQWA

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
* Ramadhan mampu mendidik manusia menjadi bertaqwa kerana Allah menggunakan perkataan MUDAH-MUDAHAN dalam perkataan yang mampu dicapai.

 
TAQWA MEMBENTUK NERACA KEHIDUPAN

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal [8:29] ).
 
* Taqwa yang dicapai hasil dari latihan semasa Ramadhan akan berkekalan selepas Ramadhan sebagai pembimbing tindakan orang beriman.
 


TAQWA & MA’RIFAH HANYA DENGAN AL-QURAN

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيز الْحَمِيدِ

  Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]).
 
* Cara terbaik mencapai Taqwa dan Ma'rifat Allah adalah dengan al-Quran. Sesiapa yang cuba mengenal Allah dan mencapai Taqwa dengan sumber lain berkemungkinan besar akan tersilap masuk pintu yang boleh membawanya ke lorong yang salah.
 

CARILAH HIDAYAH DARI AL-QURAN
 

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى (123)

Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara (Taha[20:123]).
 
* Tanggungjawab orang beriman adalah mencari petunjuk dalam setiap ayat yang dibaca dengan mengembalikan percakapan Allah kepada DIRI SENDIRI bukannya orang lain, atau menyalahkan diri sendiri dalam sebarang teguran Allah pada setiap ayat.
 
JANGAN DITUTUP HIJAB IMAN SESUDAH RAMADHAN

 
 وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآَنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآَخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا

Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu (al-Isra’[17:45]).

 
JANGAN TUNGGU HIJAB DIBUKA DI AKHIRAT


لَقَدْ كُنْتَ فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ


 

(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)“ (Qaf [50:22]).


* Al-Quran yang dibaca pada bulan Ramadhan membantu membuka hijab mental yang tidak dapat melihat akhirat. Interaksi berterusan selepas Ramadhan membantu agar hijab tersebut senantiasa terbuka untuk mendekatkan lagi kita kepada Allah dengan PANDANGAN AKHIRAT.
  

JANGAN HANYA AKRAB PADA BULAN RAMADHAN-HATI-HATI DENGAN KELUHAN NABI!!!

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآَنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai“ (al-Quran [25:30]).


KESIMPULAN: Kekalkan momentum interaksi kita yang agresif dengan al-Quran pada bulan Ramadhan sehingga ke Ramadhan akan datang!
 

 

 

No comments: