Wednesday, April 8, 2009
KELEBIHAN NABI IBRAHIM YANG PERLU DICONTOHI
Malam tadi saya mengajar ayat 127-132 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang pembinaan Ka'abah oleh nabi Ibrahim & Ismail AS. Ketika menghuraikan tentang isu tersebut, saya menyatakan banyak kelebihan nabi Ibrahim yang perlu kita contohi. Di antaranya ialah:
1- Keteguhan Tauhdnya hanya kepada Allah. Ketika baginda divampakkan ke dalam api kerana memusnahkan berhala kaumnya (al-Anbiya',21:69), baginda benar-benar bergantung kepada Allah dengan kata-katanya (hasbiyallah,wani'mal wakil-cukuplah bagiku Allah, Dia adalah sebaik-baik penolong)(Sahih al-Bukhari). Lafaz inilah juga yang diucapkan oleh para sahabat nabi ketika mereka bertolak ke medan perang Badar Sughra (Ali 'Imran:173).
Di samping itu, satu riwayat yang daif menyebut, ketika baginda dicampakkan ke dalam api, baginda telah didatangi oleh Jibrail yang sedia membantunya, lalu baginda menjawab: Adapun mengharap bantuan daripadamu (wahai Jibril) tidak sama sekali, akan tetapi sekiranya bantuan itu daripada Allah, maka aku sedia menerimanya (Tafsir Ibn Kathir)
Keteguhan Tauhidnya ini sepatutnya dicontohi oleh orang Islam, tempat memohon bantuan hanyalah kepada Allah sahaja. Selain itu apa yang menarik ialah orang-orang Melayu percaya bahawa ayat ini (21:69) berguna untuk luka-luka terbakar. Wallahu A'lam.
2- Kepatuhan baginda kepada Allah yang tiada tolok bandingnya. Contohnya baginda sedia menyembelih anaknya hanya berdasarkan mimpi yang dilihatnya kerana mimpi para nabi adalah wahyu (al-Saffat,37:101-112).
3-Kemuliaan yang diberikan kepada baginda di akhrat.
(al-Baqarah[2:130], & al-Nahl[16:122]. Di antara yang disebut ialah nabi Ibrahim diberikan penghormatan untuk menyembelih mati di hari kiamat (saya memohon maaf kerana tidak mencari dalil secara khusus tentang nabi Ibrahim As yang diberikan penghormatan untuk menyembelih MATI kelak, sekiranya para pembaca mempunyai rujukan, sila bantu saya), sebagaimana hadith nabi :
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2435.
Dari 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Setelah penduduk syurga dimasukkan Allah ke syurga dan penduduk neraka dimasukkan ke neraka, maka diumumkan kepada mereka masing-masing, "Hai, penduduk syurga! Tidak ada lagi kematian! Hai, penduduk neraka! Tidak ada lagi kematian! Semuanya kekal di mana mereka berada."
4-Keajaiban seruan Haji baginda yang didengar oleh seluruh manusia sejak zaman berzaman. Ini dijelaskan dengan firman Allah:
al-Hajj[22.27] "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
5- Makbulnya doa baginda agar orang-orang yang tinggal di Ka'abah dikurniakan oleh nabi mereka sendiri iaitu nabi kita Muhammad SAW. Firman Allah:
al-Baqarah[2.129] "Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Itulah sedikit sebanyak kelebihan nabi Ibrahim yang terangkum di dalam al-Quran. Semoga kita mendapat manafaat bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment