Tuesday, April 7, 2009
OPERASI TANGKAP HANTU,PEKERJAAN YANG SIA-SIA..
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama sependapat menyatakan perbuatan menangkap hantu atau keseronokan melihat perlakuan itu sebagai pekerjaan yang sangat sia-sia.
Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr Amran Kasimin, berkata tiada guna manusia menghabiskan masa semata-mata untuk menangkap hantu atau melihat perbuatan itu.
“Buat apalah tangkap hantu. Itu semua mengarut. Secara ratio atau perbandingan, jumlah jin 99 kali ganda daripada jumlah manusia. Tiada gunanya tangkap hantu,” katanya..
Menurutnya, tiada satu ayat pun dalam al-Quran yang menyebut salah satu tugas manusia di dunia ini untuk menangkap hantu syaitan.
Beliau hanya tergelak apabila diajukan mengenai operasi menangkap hantu di Taman Rinting, Johor Bahru oleh seorang pengamal perubatan tradisional hingga dikatakan menerima sambutan luar biasa di kalangan penduduk bandar raya itu yang teruja untuk melihat cara menangkap makhluk berkenaan.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai keterujaan orang ramai menyaksikan operasi itu yang diketuai seorang pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Kak Mek yang didakwa sudah membantu menyelesaikan kira-kira 100 kes kerasukan, membuang saka, menangkap hantu di rumah atau premis berpenunggu.
Dr Amran berkata, kegiatan berkenaan sia-sia dan dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat dan memesongkan akidah.
“Dalam al-Quran tidak sebut pun tugas manusia tangkap hantu, yang ditekankan ialah supaya manusia menjauhi syaitan dan menganggap makhluk itu sebagai musuh.
“Cukuplah dengan pelbagai masalah akhlak di kalangan umat Islam, sedarlah dengan kenyataan dunia ketika ini kita sedang ketinggalan. Malah, ada saudara kita sedang diperangi.
“Perbuatan kononnya menangkap hantu atau melihat upacara itu satu pekerjaan sia-sia yang sangat nyata...sebenarnya kalau tiada sambutan, kegiatan pengamal perubatan itu akan hilang sendiri,” katanya.
Namun apa yang berlaku katanya, pengamal perubatan itu akan terus ‘menunjukkan’ kehandalan kerana orang ramai suka melihatnya.
Menurutnya, bukan sebarang orang boleh mendakwa berupaya menundukkan makhluk halus.
“Siapa dia nak mengaku berupaya menundukkan hantu ? Warakkah dia, zuhudkah dia atau takwakah orangnya? Orang ramai janganlah terlalu mudah percaya perkara sebegini,” katanya.
Menurutnya, apa yang harus dipegang insan di dunia ini ialah manusia hidup di alam nyata, jadi tidak perlu terlalu taksub dengan alam khayalan kerana ia merugikan.
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din pula menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan individu yang mendakwa berupaya menangkap hantu kerana dikhuatiri mempunyai unsur komersial.
“Sebagai contoh satu masa dulu heboh diperkatakan mengenai ‘jenglot’ yang dikeringkan dan kemudian menjadi bahan pameran.
“Dalam istilah tauhid atau fekah tiada makhluk bernama hantu, pontianak atau jenglot tapi yang ada ialah jin dan syaitan. Manusia tidak boleh nampak makhluk berkenaan jadi bagaimana nak menangkapnya, lebih-lebih lagi konon dimasukkan ke dalam botol,” katanya.
ULASAN SAYA:
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa isu ini pula disentuh. Sebenarnya saya sengaja menyentuh isu ini kerana dalam 2-3 hari ini saya mengajar Tafsir surah al-Fatihah. Apabila masuk kepada huraian tentang Basmalah, biasanya perbincangan akan dibawa kepada ayat 30 surah al-Naml:[27.30] "Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
Ayat tersebut menyatakan tentang bagaimana surat dakwah nabi Sulayman yang diutus kepada Balqis mengandungi lafaz Basmalah. Lafaz itu juga dikatakan menjadi cop mohor kerajaan Sulaiman AS. Walaubagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya, pernah seorang lelaki menceritakan kepada saya bagaiamana beliau berjaya mendapat satu tender projek yang seakan-akan mustahil diperolehinya hanya kerana beliau membaca ayat itu.
Di satu sudut lain pula, ada yang mendakwa ayat ini boleh digunakan untuk menangkap Jin kerana ianya bergantung dengan kehebatan nabi Sulayman. Apabila menyebut tentang kebolehan menangkap Jin, biasanya nama Harun Din akan segera keluar dan dijadikan sandaran. Persoalannya adakah benar Harun Din permah berbuat demikian.
Mudahnya saya akan menyangkal dakwaan bahawa jin boleh ditangkap dengan mengutarakan ayat di bawah ini;
Surah Sad [38.34] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami): -
[38.35] Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
[38.36] Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK ditujunya;
[38.37] Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing).
[38.38] Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.
[38.39] (Serta Kami katakan kepadanya): " Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu) ".
[38.40] Dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi Kami, serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).
Jikalau diperhatikan di dalam ayat-ayat di atas, ternyata kelebihan menangkap Jin hanya dimiliki oleh nabi Sulayman sahaja. Lalu amat melucukan sekali sekiranya ada orang yang mendakwa mampu menangkap Jin lalu disumbat masuk ke dalam botol untuk pameran umum. Lihat juga hadith di bawah ini:
1-Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0274.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. katanya: "Tadi malam, Ifrit bangsa Jin datang kepada ku hendak mengganggu ku solat (atau beliau mengucapkan kata-kata yang sama maksudnya). Tetapi Allah memungkinkan ku untuk mengatasinya. Aku bermaksud hendak mengikatnya pada sebuah tiang masjid, sehingga pagi-pagi anda semua dapat melihatnya. Namun aku ingat doa saudara ku, Nabi Sulaiman, yang memohon, "Ya, Allah, Tuhan ku! Ampunilah aku, dan berikanlah kepada ku suatu kerajaan yang tidak akan pernah Engkau berikan kepada seorang jua pun sesudah ku,(Sad[38:35]), ." Kata Rauh, lalu jin itu diusir oleh Nabi."
2-Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0496.
Dari Abu Darda' r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika Rasulullah saw. sedang solat, kami mendengar beliau membaca: "A'udzu billahi minka" (Aku berlindung dengan Allah dari kejahatanmu). Kemudian beliau membaca pula: Al'anuka bila'natillah" (tiga kali) (Aku kutuk engkau dengan kutukan Allah) sambil beliau menjangkaukan tangannya seperti orang hendak menerima sesuatu. Ketika telah selesai solat kami bertanya,
"Ya, Rasulullah! Tadi dalam solat kami mendengar anda membaca sesuatu yang belum pernah kami dengar anda baca sebelumnya, dan kami lihat anda menjangkaukan tangan anda."
Jawab Rasulullah saw., "Tadi musuh Allah iblis datang membawa obor menyala hendak dilemparkannya ke muka ku. Lalu kubaca: ''A'udzu billahi minka." (tiga kali) (Aku berlindung dengan Allah dari kejahatanmu) (3 X). Kemudian kubaca pula: "Al'anuka bila'natillahit tammah falam yasta'khir" (tiga kali) (Kukutuk engkau dengan kutukan Allah yang sungguh-sungguh, sehingga engkau celaka seketika) (3 X). Sesudah itu aku bermaksud hendak mengikatnya.
Demi Allah, kalaulah bukan kerana doa saudara kami Sulaiman (Sad[38:35]), tentu dia akan terikat sampai Subuh sehingga anak-anak penduduk di sini dapat mempermain-mainkannya."
Oleh itu bandingkan siapalah kita ini? Kalau bagida Rasulullah pun tidak mampu menangkap Jin lalu bagaimana dengan kita? Fikirkanlah dan janganlah samapai minda kita dicemari dengan bayangan angan-anagan yang tidak pasti.
Baca juga:
Pameran Hantu : Saya ragui kesahihannya - Haron Din
Jin Tidak Boleh Ditangkap
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
saya kuatir dgn nie... isteri saya ada masalah buatan org.... sy dah pergi banyak hospital dan clinik2.. tp masalah tu ader gak... saya cubat berubat dgn ustazah dan buang benda tu...ustazah tu cakp toyol yang ganggu isteri saya dan ade beberapa makluk jin lain lagi...kalau di biarkan mungkin kandungan akan gugur.. ustazah tu bagi tau la...
apa pendapat anda
Post a Comment