Wednesday, April 8, 2009

UMNO Tolak ISLAM, Tak Salah?

“Sepatutnya sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina”.(Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam). Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Ko Ming.

Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini.Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.” Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum,suku bangsa, warna kulit dan bahasa. Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa.Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan. Jika dalam zaman awal Islampun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?

Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.
Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjangpendeknya.

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan lapuran Polis oleh sesiapa. Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam didalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah ? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa. Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca?Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan.Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari “dasar anti- jawi” mereka yang amat dungu? Pemimpin Umno yang sebelum inilah? Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran? Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman IT. Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya. Di sana ada kamera digital, adanya “youtube”, ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam? Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari . Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han. Atau , kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu ;mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian. Sikit-sikit menuntut maaf.Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit lapuran polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah. Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang. Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.” Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah ?

Sejak kalah di kedua bukit, Umno ini, betul-betul sudah menjadi sebuah parti yang meracau. Tidak cukup dengan seribu satu masalah di kedua tangan, dia masih menimbulkan masalah. Kehadirannya cukup menimbulkan serba salah. Ajaran yang dibawanya semakin sehari semakin salah.


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar kelantan
Tanggal: 7 April 2009
08 Apr 2009
امنو تولق اسلام، تق ساله؟
Kategori: Politik

“سڤاتوتڽ سوده لاما بندا القرءان اين دباچ دان دڬوناكن دڠن ملواس اوليه سموا اورڠ ترماسوق اوليه اورڠ چينا“.﴿بريتا تۏ1 ڤد ڤاڬي 6 اڤريل 2009 دان رانچڠن بريتا تۏ9 جم 8.00 مالم﴾. اينله لبيه كورڠ، بوڽي كات-كات ساي سوقتو دمينتا مڠولس ڤڠڬوناان دان سبوتن ايات القرءان اوليه ايايك سچو كراجأن نڬري ڤراق، يب. ڠا كو ميڠ.

سباڬاي ڤنجلسن لنجوت، ايذينكن ساي بركات بڬيني.اسلام اين ڤد داسرڽ دتورونكن اونتوق ممباوا ڤتونجوق. اي سومبر هدايه. اي منجادي رحمة دان ڤناور. نيلاي ڬوناڽ اداله اونتوق سلوروه سمستا عالم. اي برصفة “رحمةال ليل ‘عالميين.“ اي برڬونا اونتوق سلوروه اومت مأنسي تنڤا مڠيرا ڤربيذأن قوم،سوكو بڠسا، ورنا كوليت دان بهاس. سڤاتوتڽ، القرءان ايت بوليه دڬوناكن دڠن جوجور دان إخلاص اوليه ڤڠڬوناڽ تنڤا مڠيرا سسياڤا.ڤد ساي، كسديان يب. بركنأن يڠ چندروڠ مڠڬوناكن ايات القرءان اداله ساتو ڤرمولأن كڤد ساتو ڤركمبڠن يڠ چوكوڤ مڠڬالقكن. تيدق اد سبب اي تيدق دألو-ألوكن. جك دالم زمان اول اسلامڤون، ابو لاهب يڠ بوكن اسلام ايتڤون دايذين ممباچ دان ممهمي سوره اللاهب يڠ منچلا بلياو، مك اڤ ڤيليهن كيت اونتوق منوتوڤ حق بوكن اسلام اونتوق مندكتي، ممباچ دان چوبا ممهمي القرءان ؟

ايسو اين برمولا سبايق ساج ڤميمڤين امنو منچتوسكن كريسهن دمي مرايه ڤرهاتين اونتوق منداڤتكن ڤوڤولريتي دان سيمڤاتي ك اتس ڤرتيڽ يڠ سماكين دبنچي اورڠ. ساي دبري فهم بهاوا ايسو اصل هاڽله كچيل. ايسو يڠ بربڠكيت اياله نام سوره سهاج يڠ دسبوت ساله تتاڤي ايات يڠ دكوتيڤ دان دترجمهن اداله بتول.
باچانڽ ماسيه اوق; چوما اينتوناسي دان سبوتنڽ ساج يڠ سديكيت ترساله. تتاڤي، تقله ڤولا باچانڽ ايت سبايق سأورڠ قاري موسىباقوه اتاو تلاوة. هتتا، اد جوڬ اورڠ اسلام باك، يڠ سوده لاما اسلامڽ سكاليڤون; ماسيه تيدق سمڤورنا دري سڬي ترتيب دان ترتيل، دري سڬي سبوتن دان تجويد سرتا لفظ ڤنجڠڤينديقڽ.

اڤ يڠ ساي نمڤق، يب. بركنأن تيدق منتفسير. دي چوما ممباچ ترجمهن "سسوڠڬوهڽ الله مڽوروه برلاكو عاديل دان بربوات كبايكن". دي ترجمه ڤركاتان “إيهسن“ سباڬاي ءبلس كاسيهنء. ايت ساج.

دالم اسلام، اد ساتو ڤركارا يڠ دسبوت “ لي االاافي-قريش “ سڤرتي يڠ تركندوڠ ددالم سوره قريش ايات 1. مقصود برڬرق دري كليمة اين ساي ارتيكن سباڬاي “منجينق اتاو منجينقكن.“ منجينقكن سياڤا، جك تيدق اورڠ-اورڠ يڠ بلوم اسلام كڤد اسلام؟ دسيني، اڤ ساله اورڠ چينا جك دي باچ قرءان دڠن توجوان اونتوق برجينق-جينق دڠن اسلام؟ جك كاتاكن ترساله﴿كاتاكن﴾، مك دڠن لمه لمبوت دبتولكن. تق بربڠكيت سام سكالي سؤال كڤرلوان لڤاورن ڤوليس اوليه سسياڤا. ڤد ساي، اين ڤرچوبأن منوتوڤ رواڠ دان مڽكت لڠسوڠ لالوان نون-مسلم مندكتي اسلام سڤرتي يڠ ڤرنه دلاكوكن اوليه سباهاڬين دري ڤڠواسا مسجد د تمڤت-تمڤت ترتنتو يڠ مڠهالڠ اورڠ نون اسلام دري مماسوقكي مسجد. سداڠكن دالم سوره ‘ابسا، جلس يڠ نبي ساو منريما، منڬور دان ممبيمبيڠ اورڠ اسلام دان نون اسلام ددالم مسجد.

برباليق كڤد ايسو، جك اورڠ چينا باچ ساله، مك اڤ جامينن يڠ اورڠ ملايو يڠ كبڽقانڽ داتڠ دري جنيس اسلام باك اينڤون توروت تيدق ساله ؟ حال اين بوليه دصحكن اوليه ڬورو-ڬورو تجويد سلوروه نڬارا ڤد بيلا-بيلا ماس. امبيل ساج سوره الفاتحة يڠ منجادي ام ال كتاب.ساي تيدق سوك منچابر تتاڤي ساي همڤير ڤستي اكن ككوراڠن يڠ جوڬ توروت ملندا اورڠ ملايو يڠ دڤرانقكن دالم سواسان اسلام سڤنوهڽ اين.ساتو لاڬي اياله اڤ ڬوناڽ قرءان جك تيدق اونتوق دباچ؟باڬايمانا اورڠ بوكن اسلام ماهو ممهمي جك دحرامكن مريك دري برتاتيه ممباچ القرءان. اين ڤرمولأن.كيت كنا فهم. هتتا، سيدنا عمر سنديري دوقتو بلوم اسلام﴿كوفور﴾ سكاليڤون دريكودكن ڤرنه مرمڤس سسواتو دري تاڠن اديق بلياو. بلياو لالو منداڤتي بهاوا اي ساتو توليسن دري سوره طه لالو بلياو ممباچڽ دالم كادأن ڬيڠڬم دان لڤس. سبنرڽ كوفور زمان دولو اداله اورڠ چينا اتاو ايندياله د زمان سكارڠ. سڤاتوتڽ، كيت بربڠڬ اڤابيلا اورڠ بوكن اسلام بوليه ممتيق دان چوبا-چوبا ممباچ ايات دري كتاب سوچي كيت.

ساله ساتو ڤونچا كلمهن دالم مڠواساءي علمو ڤمباچان القرءان اين اياله تيدق داڤت مڠواساءي توليسن جاوي. اين كرجا سياڤا جك تيدق دري كرجا ڤميمڤين امنو عقيبة دري “داسر انتي- جاوي“ مريك يڠ امت دوڠو؟ ڤميمڤين امنو يڠ سبلوم اينله؟ دالم كادأن ڤميمڤين امنو يڠ منيڠڬلكن قرءان دان تله ممبونوه توليسن جاوي ايت، تيبا-تيبا، اڤابيلا اد ڤميمڤين چينا ممباچ قرءان دالم ڤلات يڠ دڤندڠ ساله، ڤميمڤين امنو سيبوق مندسق دڤ مڠموكاكن ڤرموهونن معاف سچارا تربوك. دسيني سؤالن ڤرتام ساي، مان لبيه بسر دوساڽ، منولق قرءان دان مڠهيرديق حكوم اسلام دڠن دوسا چوبا ممباچ القرءان؟ سؤالن كدوا ساي، اڤ كات، جك دالم ساتو ماس تردكت، اد ڤيهق يڠ داڤت بوقتيكن يڠ اد جوڬ ڤميمڤين ملايو دري امنو يڠ ممباچ قرءان دڠن ساله؟ ماهو اتاو واجركه مريك دمالوكن دڠن دتونتوت ممبوات ڤرموهونن معاف سچارا تربوك؟

ساي ڤرلو ايڠتكن د سيني بهاوا كيت سداڠ هيدوڤ د زمان ات. ايڠتله بهاوا بوقتي چوكوڤ موده اونتوق دچاري. ساي ڤرنه تيڠوق كعجاءيبن تيكنولوڬي اينترنيت يڠ دتونجوقكن اوليه كاون-كاون دان انق چوچو ساي. د سان اد كاميرا ديڬيتل، اداڽ “يوتوبي“، اد 3ڬ، اد ڤين دريۏي، چد، ايميل دان ڤلباڬاي لاڬي راڠكين ڤرودوق رقمن يڠ چوكوڤ سوفيستيكتيد.

دالم حال بڬيني ساي لبيه ڬيمر كيت سموا ملاكوكن محاسبة. جك تقديرڽالاه، راكن-راكن كيت دري يڠ “بلوم اسلام“ اين اد ككوراڠن دري سڬي سبوتن ايات-ايات قرءان، كناڤ كيت تيدق برفيكير اونتوق اداكن كلس-كلس اساس ڤڠنلن علمو القرءان كڤد نون اسلام؟ دالم حال اين، ڬوناكنله سموا راڠكين راديو دان تليۏيشين كيت اونتوق مڠاداكن سلوت-سلوت رانچڠن بروڤا كلس “مسرا القرءان“ سڤرتي يڠ اد دالم رانچڠن “ليارن ا وورد ا داي“ اتاو بلاجرله ساتو ڤركاتان ساتو هاري . موڠكين جوڬ اي بوليه دسوسولي دڠن كلس-كلس مالم ڤرچوما د سموا مسجد دان سوراو. موڠكين جوڬ، كلس-كلس تويشن مالم دسكوله-سكوله بوليه جوڬ دأتور سڤرتي سيستم سكوله ديواس د اول تاهون 60 هن. اتاو ، كيت اد ايكيم، جاكيم، يادم، دان جابتن-جابتن اڬام اسلام ستياڤ نڬري. ساي ڤرچاي، كيت بوليه ملاكوكن سسواتو ;مڠمبيل كسمڤتن دان منافات دري ترند كڬهايرهن بارو يڠ صيحت اين دمي ممباڠون برسام اسلام دان مندكتكن نون اسلام كڤد اسلام.

د سيني، تيدق بوليهكه كيت سام-سام چوبا برفيكير دالم كراڠك ڤميكيرن سبواه كراجأن. جاڠنله ترلالو ماهو برڤوليتيك سچارا برڤرتي دالم سربا-سربي سهيڠڬ سڬنڤ ڤركارا هندق دڤوليتيك مڠيكوت شك واسڠك كڤارتين. سيكيت-سيكيت منونتوت معاف.اين سڤرتي يڠ ددسق اوليه ناءيب كتوا بهاڬين هولو ترڠڬانو ميثلڽ دالم اخبار سمالم برتاريخ 7 اڤريل 2009. سيكيت-سيكيت لڤاورن ڤوليس. سيكيت-سيكيت اين ڤركارا ڤرقومان، مڠهاسوت، سينسيتيف دان بوليه منيمبولكن ڤچه بله. جك كيت تيدق سينسيتيفكن ايسو اين مك تيدق سينسيتيف له اي. ڤركارا اين بوكنڽ سوسه ساڠت تتاڤي سڠاج نق دكليرو دان نق دسوسه-سوسهكن. موڠكين دالم ككليروان دان كمارهن يڠ سڠاج د اڤي-اڤيكن ايتله امنو مڠهارڤكن ديريڽ دجولڠ. سكارڠ، اورڠ سوده راماي يڠ چرديق. اين خصوصڽ دكالڠن اورڠ-اورڠ مودا. مريك بياساڽ لبيه چڤت مڠهيدو دان داڤت ممبيذاكن تروس انتارا دورين دڠن تيمڤويق.

سباڬاي ڤنوتوڤ، ماري كيت مندالمي كلوهن دوكچيتا يب. ڠا د اتس ڤنديرين تربارو امنو اين. كات بلياو، “ساي براس امت كسل اڤابيلا مشاركت شنغاوا يڠ چوبا مڠنالي اسلام دان القرءان ملالوءي كتاب بركنأن، تيبا-تيبا دهالڠ.“ ڤينديق كات، ڤليق سوڠڬوه امنو اين. دي تولق اسلام تق ساله. اورڠ شنغاوا نق دكتي اسلام ملالوءي باچان القرءان د كيرا ساله ؟

سجق كاله د كدوا بوكيت، امنو اين، بتول-بتول سوده منجادي سبواه ڤرتي يڠ مراچاو. تيدق چوكوڤ دڠن سريبو ساتو مسئله د كدوا تاڠن، دي ماسيه منيمبولكن مسئله. كحاضيرنڽ چوكوڤ منيمبولكن سربا ساله. اجرن يڠ دباواڽ سماكين سهاري سماكين ساله.


نئ عبدالعزيز نئ مت
منتري بسر كلنتن
تڠڬل: 7 اڤريل 2009
Mukadimah

Selamat datang ke laman blog saya. Disini anda dapat membaca segala pendapat dan buah fikiran dari saya tentang isu-isu politik, semasa dan agama.

Semoga dengan adanya blog ini, kita dapat sama-sama mendapat kebaikan darinya, InsyaAllah.

Sumber dari kelantan.tv

* UMNO Tolak ISLAM, Tak Salah?
* Rayuan Pengundi Plihanraya Kecil DUN Bukit Selambau, Kedah
* Pilihan Raya Kecil Parlimen Kawasan Bukit Gantang (P059) Pada 7 April 2009
* Peringatan Mursyidul Am Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Kepada Semua Bakal Pengundi Di Bukit Gantang Dan Bukit Selambau
* Ucapan YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan Sempena Pelancaran Wi-Fi Aptus Net Dan Blog Tok Guru

No comments: