Thursday, December 18, 2008

Di Mana Hikmah Di Dalam Dakwah?


Rumah yang dikatakan tempat kelahiran nabi Muhammad s.a.w

Hari ini adalah hari kedua aku bertugas sebagai penterjemah di Bukit Thur. Selepas selesai bertugas, aku pulang ke asrama untuk berehat sebentar. Selepas menjamah hidangan tengah hari, aku dan beberapa orang teman terus pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat Asar masih lama lagi, kami terus ke tempat yang dikatakan tempat kelahiran Nabi saw (Maulid Nabi). Rumah ini terletak berdekatan dengan kawasan Masjid al-Haram. Dahulu, di tempat ini pernah didirikan sebuah masjid oleh al-Khaizuran iaitu pada zaman pemerintahan Abbasiyah. Kemudian ia digantikan dengan dibina sebuah perpustakaan awam. Pembinaan perpustakaan ini dilakukan dengan keputusan dan pembiayaan Syeikh Abbas Qattan pada tahun 1370H/1950M. Perpustakaan ini kekal sehingga sekarang (ketika diari ini ditulis iaitu pada 2006) dan dikenali sebagai “Maktabah Makkah al-Mukarramah”. Melawat tempat ini bukanlah suatu sunnah yang dituntut. Malah, ia boleh jadi suatu kesalahan jika disertai dengan kepercayaan atau amalan khurafat yang tertentu.

Di tempat ini juga ada satu kumpulan yang ditugaskan sebagai penterjemah dan memberi penerangan kepada para jamaah haji yang datang melawat. Disebabkan kawasan ini terletak berdekatan dengan Masjid al-Haram, jadi tidak putus-putus jemaah haji yang datang melawat. Oleh sebab itu, petugas di sini diletakkan sepanjang masa secara bergilir-gilir dari pagi sampai malam. Sementara ada di sini, aku juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.

Penulis bersama beberapa orang sahabat yang bertugas di Maulid Nabi bertolak pulang ke asrama selepas solat Isyak (Dari kiri: Penulis, Murad (Rusia), Tirmizi (Malaysia), Abdul Rahman (Thailand)..

Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki -kalau tidak silap jemaah haji dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini. Kemudian dia mengusap dinding bangunan ini dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Biasanya perbuatan seperti itu dilakukan dengan tujuan untuk mengambil keberkatan dan kepercayaan-kepercayaan lain. Ternyata, memang perbuatan itu salah dari segi agama kerana tidak ada dalil yang jelas menyebut tentangnya.

Kebetulan perbuatan lelaki ini dilihat oleh salah seorang pegawai dari Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar -jabatan ini mungkin seperti JAKIM atau jabatan agama Islam di Malaysia-.Tanpa memberi peluang, dengan perasaan penuh “tanggungjawab” untuk mencegah kemungkaran, pegawai ini terus menerpa ke arah lelaki tersebut dan bertanya dengan suara yang tinggi -dan aku rasakan bahasa pegawai ini tidak dapat difahami oleh lelaki tersebut-. Pegawai itu bertanya (dalam bahasa Arab pasar): “Eshh anta??!! Anta majnun??!!” (Apa kau buat ni?!Kau gila?!). Kemudian pegawai ini terus menghalau dengan menolak lelaki tersebut supaya beredar dari situ (Rooh! Rooh! (Pergi! Pergi!)

Aku yang menyaksikan adegan ini, menggelengkan kepala. Perasaan aku bercampur baur. Bingung, kecewa, geram dan luntur semangat. Lantas aku bertanya kepada diri sendiri: Di manakah hikmah di dalam dakwah mereka ini?!

Apakah begini caranya mencegah kemungkaran? Apakah begini cara dakwah Nabi? Apakah tiada ruang langsung untuk berlembut di dalam mencegah kemungkaran? Apakah tidak boleh jika ditanya terlebih dahulu dan diterangkan dengan baik kesalahan lelaki tersebut. Sekurang-kurangnya dia akan tahu yang perbuatannya tidak betul dan tahu juga apakah sebab-sebabnya. Penulis merasakan yang lelaki tadi pergi dengan tidak mendapat sebarang mesej pun dari pegawai tadi kecuali yang dia faham bahawa ustaz-ustaz atau pendakwah di Arab Saudi ini memang keras dan kasar cara dakwah mereka. Betullah khabar-khabar yang di dengar sebelum ini.

Maka, tidak hairan jika ada yang bersangka buruk dengan dakwah sebahagian daripada pendakwah di Arab Saudi. Bukan manhaj yang salah, tetapi sikap sesetengah mereka yang bercanggah. Terlalu bersemangat ingin mencegah kemungkaran, tetapi tidak melihat siapakah sasaran, apakah perkataan dan apakah cara yang berkesan.

Lalu, kita bertanya, dimanakah hikmah di dalam dakwah? Ramai orang asyik bercakap tentang hikmah. Entah berapa ribu kali perkataan ini telah diulang cakap oleh para penceramah dan pendakwah. Entah berapa banyak telah ditulis di dalam buku dan makalah. Tetapi apa itu hikmah???Mungkin catatan aku kali ini dapat memberi sedikit peringatan dan gambaran atau mungkin juga dapat menambah apa yang kurang.

Pengertian al-hikmah

Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan“. Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah“, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya“. Dr. Abd al-Muhaimeen al-Tahhan di dalam “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah” menyatakan bahawa hikmah itu ialah: “perkataan yang tepat dan tindakan yang betul”.

Kebanyakan pengertian hikmah yang diberikan oleh kebanyakan penulis adalah hampir sama dan ianya berlegar di sekitar tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Inilah takrif yang rajih dan ianya seperti yang dihuraikan oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya, beliau menyebut bahawa hikmah itu ialah: tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan.

Oleh itu, terdapat beberapa etika, prinsip dan disiplin yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah agar dakwahnya benar-benar memenuhi maksud hikmah ini. Antara ialah seperti yang telah dihuraikan di dalam buku “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah“:

Etika-etika al-hikmah di dalam dakwah

Pertama: Berikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi pendakwah (al-tanfir).

Sandaran penting di dalam prinsip yang pertama ini ialah nasihat Rasulullah saw kepada dua orang sahabat yang diutuskan untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: ((Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia dari kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara)).(al-Bukhari & Muslim).

Bagaimana untuk menggembirakan sasaran dakwah kita dan membuatkan mereka minat dengan dakwah yang kita sampaikan? Dua etika yang boleh diamalkan, iaitu:

1) Berlembut di dalam percakapan dan mesra di dalam pergaulan.

Tiada lagi yang lebih jelas di dalam menerangkan etika ini selain daripada saranan Allah swt kepada dua orang rasulNya; Musa dan Harun yang diutuskan bagi menyampaikan dakwah kepada Fir ‘aun: ((Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut)) (surah Taaha: 43-44).

Galakan daripada Rasulullah saw juga banyak, antaranya seperti yang disampaikan oleh A’isyah bahawa Baginda bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut di dalam semua perkara)) (al-Bukhari & Muslim)


2) Jadikan hadiah pengikat mahabbah.

Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi saw menyarankan: ((Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ianya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang)) (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).

Nabi saw sendiri ketika peperangan Hunain telah menghadiahkan Safwan bin Umayyah seratus ekor unta, kemudian seratus ekor lagi, kemudian seratus ekor lagi. Lalu Safwan berkata: Demi Allah, Rasulullah saw telah memberikan (hadiah ini) kepadaku dan sesungguhnya dia dahulu adalah manusia yang paling aku benci -sebelum keislaman Safwan-, tidaklah dengan pemberiannya ini sehingga dia menjadi manusia yang paling aku kasihi” (Riwayat Muslim).

Bagaimana pula untuk menjadikan orang ramai tidak menjauhi dakwah kita? Beberapa etika ini perlu diberi perhatian:

1) Elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.

Nabi saw jika ingin menegur sesuatu kesalahan atau maksiat, Baginda tidak akan menyebut nama mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Perhatikan perkataan yang dipilih dan digunakan oleh Nabi saw: ((Apa kena dengan salah seorang dari kamu yang berdiri mengadap tuhannya, lalu meludah ke arah hadapannya (semasa solat)? Apakah ada di antara kamu semua yang suka jika ada seseorang yang berdiri mengadapnya lalu diludah ke arah mukanya? Jika ada diantara kamu yang ingin meludah, maka hendaklah dia ludah ke arah kirinya ke bawah kaki…)) (al-Bukhari & Muslim)

2) Bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka, dan jangan suka menghukum di dalam semua perkara.

3) Jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.

Ikutikah contoh hikmah yang ditunjukkan seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah saw bertanya kepadanya: ((Apakah kamu tidak tahu yang kaummu telah membina semula ka’bah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda saw menjawab: ((Kalaulah tidak disebabkan kaummu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya)) (al-Bukhari & Muslim).

Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkiran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)

Kedua: Permudahkan (al-taysir) dan jangan menyulitkan (al-ta’sir)

Konsep al-taysir ini merupakan prinsip penting di dalam agama. Dalil-dalil al-Quran dan hadis yang mengajak ke arah prinsip ini disebut berulang-ulang kali. Antaranya firman Allah (bermaksud): ((Allah mengkehendaki dari kamu untuk melakukan perkara yang mudah, dan Dia tidak mahu dari kamu perkara yang menyusahkan)) (al-Baqarah: 185). Di dalam ayat yang lain: ((Allah tidak mentaklifkan ke atas setiap diri kecuali apa yang mampu diusahakannya)) (al-baqarah: 286).

Nabi saw juga bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya agama ini mudah)) (al-Bukhari). A’isyah menyatakan bahawa: ((Tidaklah Rasulullah saw diberi pilihan di antara dua perkara kecuali Baginda akan memilih yang paling mudah…)) (al-Bukhari & Muslim).

Muaz bin Jabal pernah ditegur oleh Nabi saw apabila beliau membaca surah al-Baqarah atau al-Nisa’ ketika menjadi imam, kerana ini menyusahkan keadaan makmum. Sabda Nabi saw kepada Muaz: ((Apakah kamu mahu menimbulkan fitnah (diulangi sebanyak 3 kali), Kenapa tidak kamu solat dan membaca surah al-‘A’la, al-Syam dan al-Lail, kerana yang sembahyang di belakang kamu itu ada yang tua, yang lemah dan yang mempunyai urusan masing-masing)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Ketiga: Mengkaji dan mengambil kira kesan daripada setiap tindakan.

Kaji terlebih dahulu baik dan buruk setiap tindakan atau ucapan sebelum melakukannya. Bukan semua perkara yang betul itu perlu disegerakan dan bukan semua perkara yang tidak penting boleh ditangguhkan. Semua aspek perlu diambil kira agar wujudnya kesinambungan dakwah. Jangan kerana semangat semata-mata, tapi tiada hikmahnya, akhirnya dakwah tidak ke mana.

Nabi saw telah menunjukkan contoh yang paling baik. Perhatikan beberapa contoh peristiwa berikut yang menggambarkan hikmahnya Baginda saw di dalam dakwah:

* 1) Nabi saw ketika dalam peringkat dakwah di Mekah -zaman permulaan Islam- menghalang sahabat-sahabatnya daripada bertindak balas dan berperang dengan kaum kafir Quraish walaupun mereka dihina, diseksa dan sehingga diisytiharkan pemboikotan ke atas mereka. Keputusan ini diambil kerana jumlah umat Islam waktu itu masih sedikit dan mereka tidak punyai kekuatan yang cukup. Keburukannya akan lebih besar jika mereka mengambil keputusan untuk membuat serangan balas.

* 2) Di dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi saw menerima semua syarat yang ditetapkan walaupun pada zahirnya syarat-syarat tersebut seperti menindas umat Islam. Tetapi dengan melihat kesannya, Nabi saw bersetuju. Benar sekali, kesannya jumlah yang masuk Islam semakin ramai selepas itu dan diakhiri dengan kejayaan “Pembukaan Kota Mekah”.

* 3) Nabi saw amat bersabar dengan tindakan yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul (ketua munafik di Madinah) yang telah menghasut orang Islam dan menimbulkan keraguan terhadap Islam. Boleh sahaja jika Nabi saw mengarahkan supaya dia dibunuh, tetapi memikirkan kesan buruknya yang lebih banyak, maka ia tidak dilakukan. Antara kesan buruk yang Nabi saw ingin elakkan ialah seperti sabda Baginda sendiri: ((…supaya orang ramai tidak bercakap-cakap yang Muhammad membunuh sahabatnya sendiri)) (al-Bukhari).

Keempat: Utamakan prioriti dan yang lebih penting dari yang penting.

Di dalam Islam, bukan semua perkara yang disuruh atau yang menjadi kewajipan itu berada di tahap yang sama. Begitu juga dengan perkara yang dilarang. Maka termasuk di dalam hikmah, seorang pendakwah itu perlu menyusun prioriti dan mengutamakan yang lebih penting dari yang penting, mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasarannya. Kaji terlebih dahulu yang manakah perkara: 1) yang penting dan perlu disegerakan, 2)yang penting tetapi tidak perlu disegerakan, 3)yang tidak penting tapi perlu disegerakan, 4)dan yang tidak penting dan tidak perlu disegerakan.

Pertama: Mulakan dengan perkara usul (prinsip) sebelum perkara furu’ (pecahan-pecahan). Maka di dalam Islam, tiada lagi yang lebih utama selain daripada aqidah dan tauhid. Lihat saja dakwah Nabi saw. Selama 13 tahun di Mekah, fokus yang diberikan ialah untuk menanamkan tauhid di dalam jiwa dan menafikan kesyirikan.

Kedua: Beri perhatian yang lebih kepada golongan-golongan penting yang jika golongan ini menerima dakwah kita, kesannya akan lebih besar dan cepat. Tetapi ia tidak bermaksud mengabaikan golongan-golongan biasa. Nabi saw di dalam dakwahnya telah memberikan perhatian yang lebih di dalam dakwahnya terhadap pemimpin-pemimpin kaum Quraish. Nabi saw juga telah berdoa semoga Allah menguatkan Islam dengan Umar al-Khattab atau dengan Abu Jahal bin Hisyam. Allah swt telah memilih Umar al-Khattab. Kenapa Nabi saw berdoa khusus untuk Umar al-Khattab dan Abu Jahal? Ini kerana kedua-duanya merupakan orang penting waktu itu dan jika mereka menerima Islam, kesannya amat hebat sekali. Perkara ini telah terbukti dengan Islamnya Umar al-Khattab.

Kelima: Raikan keadaan golongan sasaran.

Pertama: Kaji dan fahami keadaan semasa dan keadaan sekeliling golongan sasaran.

Bagaimanakah keadaan masyarakat di tempat tersebut. Apakah tahap pendidikan mereka, bagaimana keadaan ekonomi, apakah kecenderongan mereka, apakah masalah yang dihadapi di situ, apakah mazhab yang dianuti, apakah tempat/pusat ajaran yang menyelewang yang wujud di situ dan sebagainya. Ini semua perlu diketahui terlebih dahulu sebelum memulakan dakwah, kerana sudah pasti, lain padang lain juga belalangnya. Lain lubuk lain juga ikannya.

Jadi, pendekatan pendakwah dengan orang kampung tidak sama dengan pendekatan bersama orang-orang bandar. Begitu juga antara orang Islam dengan yang bukan Islam, golongan terpelajar dengan orang-orang biasa. Sebab itu Nabi saw semasa mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman telah menyebutkan ciri-ciri khusus golongan yang akan beliau dakwah. Sabda Nabi saw : ((Sesungguhnya kamu akan berhadapan dengan satu kaum daripada ahli kitab)) (al-Bukhari & Muslim).

Kedua: Raikan perbezaan, minat atau ciri-ciri istimewa setiap individu.

Perkara ini penting kerana ia merupakan “pintu masuk” untuk anda memulakan dakwah, terutamanya dalam dakwah fardiyah (dakwah terhadap individu tertentu). Contohi bagaimana Rasulullah saw telah meraikan ciri-ciri khusus yang ada pada raja Najran yang merupakan seorang Nasrani. Baginda saw telah menulis di dalam suratnya kepada raja tersebut: “Dengan nama Tuhan Ibrahim, Ishak dan Ya’qub daripada Muhammad, pesuruh Allah kepada raja Najran, Islamlah kamu?…)) (Sirah ibn Kathir, 2/310).

Ketiga: Fleksibel di dalam meraikan semua kehendak golongan sasaran dakwah dan menyampaikan dakwah secara berperingkat.

Tetapi ini semua dengan syarat tidak mengabaikan perkara-perkara usul dan rukun di dalam agama. Sebagai contohnya, ketika Basyir bin al-Khusasiyah mengikat janji dengan Islam, beliau meminta kebenaran daripada Nabi saw supaya dia tidak dikenakan kewajipan zakat dan berjihad. Nabi saw menjawab: ((Kalau tidak ada zakat dan jihad, maka dengan apa kamu ingin masuk syurga…)) (Imam Ahmad dan al-Hakim, disahihkan dan dipersetujui oleh al-Zahabiy).

Manakala ketika datang rombongan dari Thaqif datang berjumpa Nabi saw untuk berbai’ah dengan Islam, mereka juga meminta supaya tidak dikenakan zakat dan jihad. Maka Nabi saw menerima permintaan mereka ini. Kemudian, selepas dari itu, Nabi saw menerangkan (kepada sahabat) tentang pendiriannya itu: ((Mereka akan mengeluarkan zakat dan berjihad apabila mereka telah Islam)). (Abu Daud).

Demikianlah sebahagian daripada etika-etika dan prinsip penting yang perlu diberikan perhatian oleh setiap pendakwah supaya dakwahnya memenuhi maksud dan tuntutan al-hikmah. Kadang-kadang manusia bukan tidak mahu menerima yang benar itu sebagai kebenaran, tetapi mereka tidak bersetuju bagaimana kebenaran itu disampaikan. Oleh itu, muhasabah semula dakwah kita selama ini. Semoga konsep al-hikmah ini menjadi salah satu resipi kejayaan dakwah kita.

Oleh:

Abd al-Razzaq Muthalib

7 Rabi’ al-Awal 1428,

5.40 pm,

Mekah
http://abdulrazak.com/ver1/?p=285#more-285

Wednesday, December 17, 2008

AKU BERLINDUNG DARIPADA KEJAHATAN POLITIK KOTOR

ISU BESAR HARI INI!
Jangan lantik ahli politik sebagai ahli SPK (Utusan Malaysia,18/12/2008)

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk K. C. Vohrah berkata, ahli politik tidak sepatutnya dilantik sebagai antara empat tokoh terkemuka untuk menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) kelak.

Vohrah, 72, Ketua Kumpulan Kerja Pembaharuan Undang-undang di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, langkah itu bagi mencegah pelantikan hakim daripada dipolitikkan.

“Ia sama seperti anda tidak mahu pegawai dan eksekutif yang sedang berkhidmat untuk turut terlibat kerana mereka kakitangan kerajaan.

“Saya fikir sepatutnya tidak wujud sebarang unsur politik dalam pelantikan hakim. Sebab itu kenapa saya fikir ahli politik tidak wajar menganggotai suruhanjaya,” katanya kepada Bernama hari ini.

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm

******
Saya menulis:

Politik sebenarnya suatu wadah penting di dalam menyampaikan dakwah Islam. Dengan kuasa politik, banyak islah dan penambahbaikan sistem masyarakat dan negara akan dapat dilakukan. Matlamat politik di dalam Islam adalah sebagaimana firman Allah: Al-Hajj[22.41] Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.


Namun begitu, takrif politik sekarang ini nampaknya sudah terpesong daripada kehendak Islam. Rata-rata ahli politik akan berjuang mendapat kedudukan sama ada untuk 2 sebab iaitu, mencari kekayaan atau membalas dendam terhadap musuh politik mereka.

Menyebut tentang peranan politik di dalam dakwah, saya teringat semasa belajar di UM dahulu (sekitar 1997-2000), pernah sekali kami mengikuti program anjuran Majlis Siswazah Kelantan di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, Kelantan sempena Hari Raya Aidil Fitri. Majlis itu dihadiri oleh Tuan Guru Nik Aziz. Semasa sessi soal jawab, ada seorang pelajar Universiti bertanya soalan kepada Tuan Guru tentang wadah apa yang perlu digunakan semasa berada di Universiti kerana kebiasaan, para pelajar baru akan cuba dilamar oleh kumpulan-kumpulan Islam yang beroperasi di Universiti. Ada Pas, ada Abim, JIM, Tabligh, al-Arqam dan sebagainya.


Tuan Guru mengatakan, di Malaysia ada 2 jenis gerakan Islam iaitu Gerakan Dakwah dan Gerakan Politik Islam. Pada pendapat beliau gerakan politik lebih penting kerana politik memayungi kesemua perkara. Dengan kuasa politik semua perubahan di dalam apa jua sektor akan mampu dilakukan. Tuan Guru juga memberikan contoh; semasa di Mekah, baginda Rasulullah s.a.w pernah ditawar untuk menjadi raja boneka demi untuk menghalang dakwah baginda. Pelawaan itu ditolak kerana kuasa politik yang ditawarkan ketika itu tidak membawa apa-apa erti kepada dakwah Islam.

Setelah berhijrah ke Madinah dan ditawarkan kuasa politik sebenar dalam erti kata seorang pemimpin mutlak di Madinah, baginda sedia menerimanya kerana jawatan dan kuasa politik ketika itu amat penting. Hasilnya baginda berjaya menubuhkan negara Islam baru yang menjadi permulaan kepada semua negara Islam di dunia sehingga hari ini. Bertitik daripada hujah ini Tuan Guru mengatakan bahawa penglibatan di dalam politik Islam lebih utama daripada gerakan atau jamaah dakwah.



Seterusnya setelah bekerja di Universiti Islam Antarabangsa, persepsi saya terhadap politik mulai berubah terutama sekali apabila melihat pendekatan yang digunakan oleh Dr Asri (mantan mufti perlis). Walaupun belum pernah mengikuti kuliah-kuliahnya, saya dapati pendekatan yang beliau gunakan iaitu penekanan kepada menuntut ilmu bersuaian dengan naluri saya. Pendekatan beliau ini agak logik juga kepada pelajar Universiti kerana ada segelintir daripada mereka terlalau asyik berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka di Universiti. Kesudahannya, walaupun habis belajar, mereka masih lagi jumud, jahil dan tidak berilmu. Usia mereka di lubuk ilmu habis dengan aktiviti politik yang kebudak-budakan seperti bergaduh menampal poster, ditangkap kerana mengikuti kempen pilhanraya kecil, ditangkap kerana demonstrasi jalanan. Tambah menyedihkan lagi, apabila mereka keluar nanti, mereka sukar untuk mendapat kerja yang baik kerana sekadar memiliki sijil cukup makan dek kerana dahulunya sibuk berpolitik. Akhirnya mereka terpaksa memilih kerja yang mencabar prinsip mereka iaitu mengikut ahli politik yang dahulunya mereka bermati-matian menyerangnya. Apabila ditanya kenapa mereka melanggar prinsip mereka semasa belajar dahulu, dijawabnya anak bini saya siapa nak bagi makan?


Seterusnya perspesi saya tentang politik juga berubah setelah mendengar ceramah oleh Prof Dr. Kamal Hasan (mantan Rektor UIAM) di dalam satu majlis Training for Naqib & Amir di Tekam Plantation Resort, Jerantut Pahang pada tahun 2003. Di dalam majlis itu, beliau bercakap selama 2 jam menceritakan pengalaman beliau di dalam dakwah di Malaysia dan Amerika. Antara mesej penting yang dapat saya simpulkan kenapa beliau menolak penglibatan dalam politik ialah;

1-Beliau lahir di dalam keluarga yang besar dan mereka tinggal sebumbung dengan ramai sanak saudara di Pasir Mas. Akan tetapi masa remajanya lebih banyak dihabiskan di Masjid kerana rimas dengan pertelingkahan politik yang berlaku di kalangan ahli keluarganya. Pak Cik tidak bertegur dengan Mak ciknya kerana perbezaan fahaman politik. Untuk mengelakkan konflik ini beliau lebih suka duduk di Masjid.

2-Beliau berkata, in politic, everybody is your potential enemy, but in Dakwah everybody is your potential Muslim.

3-Semasa berada di Amerika beliau biasa pergi berdakwah kepada non-muslim sehingga pernah memberikan ceramah mengenai Islam di dalam gereja. Soalan beliau, berapa ramai orang bukan Islam yang memeluk Islam kerana politik?

Setelah mendengar ceramah beliau, pandangan saya mengenai politik bertambah luas dan saya cuba adunkan kesemua ketiga-tiga pandangan tokoh-tokoh di atas. Al-hasilnya saya katakan politik adalah salah satu bidang yang penting seiring dengan bidang lain di dalam Islam. Cuma kesilapan sesetengah orang yang terlalu minat politik ialah mereka beranggapan bahawa politik adalah segalanya. Akibatnya masa mereka habis mempertahankan hujah puak mereka.

Ditambah pula dengan budaya politik di Malaysia hari ini yang semakin parah dan kotor. Taksub kepada puak masing-masing telah menutup akal dan minda mereka kepada kebenaran seolah-olah puak mereka sahaja yang benar dan betul tanpa silap. Ingatlah firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (al-Maidah [5:8])

Untuk menggambarkan kepentingan berlaku adil, Allah telah menggunakan perkataan QAWWAMIN bukan QA'IMIN iaitu dengan sighah mubalaghah yang membawa makna melampaui batasan di dalam berlaku adil atau amat adil. Ayat di atas nampaknya tidak berapa dihayati oleh mereka yang gila politik.

Saya mempunyai pendirian tersendiri tentang kumpulan politik mana yang akan saya sokong di dalam pilihanraya kerana itu adalah tanggungjawab saya di hadapan Allah. Bahkan sebelum pilihanraya baru-baru ini, murid-murid saya di satu kelas Tafsir yang saya ajar (mereka ini HARDCORE UMNO) bertanya apa Parti yang perlu mereka sokong? Secara berselindung saya katakan bahawa mereka wajib menyokong Parti yang dasarnya adalah Islam kerana setiap undi mereka akan disoal di akhirat kelak. Setiap undi yang menyebabkan pemimpin yang jahat, korup naik ke tampuk kuasa akan menyebabkan mereka dihumban sekali ke neraka sebagaimana firman Allah: (al-A'raf[7.38] "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui". [7.39] Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".


Selain itu, mereka yang gila politik biasanya senang dijangkiti oleh penyakit taksub yang menutup minda sihat mereka. sedangkan Islam melalui al-Quran mengarahkan agar kita menggnakan minda dan akal kurniaan Allah. Apabila berpolitik kepartian, akal yang sihat seolah-olah sudah disimpan di dalam almari tidak lagi digunakan. Ramai juga yang saya jumpa pengikut sebuah Parti Islam. Semua ceramah parti tersebut akan diikutinya. Semua ilmu hanya diperolehi daripada ceramah Partinya. Yang sedihnya mereka ini sembahyang pun banyak tertinggal, baca al-Quran pun tergagap-gagap. Lalu bagaimana hendak memperjuangkan al-Quran? Saya juga pernah mempunyai seorang murid (Pemuda Umno Jerteh) yang amat gigih untuk belajar al-Quran. Beliau sanggup berulang alik pada setiap hari Jumaat dari Jerteh ke UIAM Gombak semata-mata untuk mengikuti kelas saya.

Kesimpulannya, anda boleh berpolitik kerana politik itu tuntutan Fardu Kifayah kepada umat Islam. Akan tetapi menuntut ilmu dan mengeluarkan diri daripada kejahilan adalah tuntutan Fardu Ain. Yang mengubah generasi Arab jahiliah kepada generasi sahabat yang terbaik di bawah cahaya Islam adalah ilmu bukan semata-mata politik. Oleh itu, kenalpasti apa keutamaan anda hidup di dunia ini dan sesungguhnya aku berlindung dengan Allah daripada Politik yang jahat, Taksub dan kotor!

ABDULLAH BUKHARI

MANUSIA DIMULIAKAN DENGAN AKAL, JANGAN SAMPAI AKAL ANDA BEKU KERANA POLITIK!

Sunday, December 14, 2008

AMARAN EMPANGAN PECAH - JANGAN JADIKAN MALAYSIA SABA’ KEDUA

UTUSAN MALAYSIA-19/12/2008


EMPANGAN KLANG GATE

Amaran oleh Syabas tentang ancaman empangan yang bakal pecah sekiranya kegiatan pembangunan di sekelilingnya tidak dihentikan segera sememangnya menakutkan. Sekiranya amaran ini tidak diendahkan, berkemungkinan besar Malaysia yang makmur dan maju sekarang ini akan menjadi tamadun pupus sebagaimana yang telah berlaku kepada tamadun Saba’ di Yaman suatu masa dahulu. Kegemilangan dan kejatuhan tamadun Saba’ yang bergantung kepada empangan Ma’rabnya ternyata disebut secara spesifik oleh al-Quran sebagai pengajaran kepada umat manusia akan pentingnya pengurusan yang baik terhadap nikmat kurniaan Allah dalam kerangka agama dan taqwa.

Firman Allah: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur. (Saba’[34.15-17])

Kaum Saba’ yang telah mencapai kemuncak kemewahan telah mengingkari perintah Allah yang akhirnya mengakibatkan kemusnahan tamadun mereka oleh bencana alam. Fenomena yang sama sudah kelihatan di Malaysia apabila adanya pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membangun kawasan sensitif sebegini untuk kepentingan mereka. Keingakaran mereka kepada Sunnah Allah, arahan pihak berkuasa dan hak alam sekitar pastinya akan mengundang padah yang sama sepertimana yang telah berlaku kepada kaum Saba’.

Islam sebagai sebuah agama yang sempurna mencakupi segala aspek hidup manusia di muka bumi telah menggariskan semua prinsip hidup yang perlu diikuti termasuklah cara untuk berinteraksi dengan alam yang dianugerahkan sebagai tempat tinggal kepada manusia (al-A’raf [7:10,24-25). Sekiranya prinsip interaksi dengan alam sekitar tidak dipatuhi, sudah pasti alam akan memberontak dan menyusahkan kembali hidup manusia. Umpamanya sebuah kereta baru yang digunakan tanpa merujuk kepada manual atau buku panduan syarikat pengeluar, jangka hayat kereta tersebut akan menjadi singkat dan senang rosak. Begitulah juga keadaannya dengan pengunaan alam sekitar.

Kerakusan manusia sememangnya merupakan punca utama berlakunya kerosakan di muka bumi ini. Sikap tamak mengaut keuntungan secara melampau sehingga melanggar sunnah Allah di muka bumi telah menyebabkan alam menderita kesakitan. Penderitaan alam itu pula akan turut menjejaskan kehidupan manusia. Lihat sahaja peristiwa runtuhan yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang minggu lepas. Ini bertepatan dengan firman Allah; Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum[30.41])

Al-Quran sudah sekian lama mengingatkan manusia tentang peri pentingnya menjaga kestabilan alam dengan tidak melampaui batas di dalam menerokanya. Janganlah kerana terlalu inginkan keindahan panorama bukit, lalu bukit bukau dan gunung ganang yang merupakan pasak bumi ditarah dan digondolkan. Perhatikanlah ayat-ayat ini untuk menyedarkan kita tentang fungsi sebenar bukit bukau kepada alam sekitar;

1-Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu
lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. (al-Nahl[16.15])

2-Dan Kami telah jadikan di bumi: gunung-ganang yang menetapnya, yang tinggi menjulang; dan Kami telah memberi minum kepada kamu air yang tawar lagi memuaskan dahaga? (al-Mursalat[77.27])

3-Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang kukuh, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’[21.31])

4-Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia meletakkan di (permukaan) bumi gunung-ganang supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat (Luqman[31.10])

5-Dan (Kami Jadikan) gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (al-Naba’[78.7])
Mendiami bumi tuhan bukan hanya membangunkan bangunan-bangunan untuk didiami, tetapi adalah dengan menjaga keharmonian serta kestabilannya dengan pengisian ilmu, iman dan taqwa kepada Allah. Apa yang menyedihkan walaupun sudah diberikan panduan oleh al-Quran tentang kepentingan menjaga alam semenjak sekian lama, namun nampaknya orang bukan Islam di negara bukan Islam yang tidak mendapat bimbingan al-Quran lebih memahami dan terkehadapan di dalam menjaga kesihatan alam sekitar. Jangan sampai kita mewariskan bumi Malaysia yang bertuah ini kepada generasi anak cucu kita di dalam keadaan sakit, tenat, gondol dan penuh kemusnahan kerana kerakusan segelintir daripada kita. Jangan sampai anak cucu kita kelak akan meludah di kuburan kira kerana legasi peninggalan bumi yang sudah kita rosakkan. Fikirkanlah.

Thursday, December 11, 2008

PERGINYA SEORANG ULAMA'


Almarhumah Dr. Tg. Norbanee Tg. Hamzah dan anak bongsunya

Sudah hampir seminggu saya tidak berkesempatan menulis di blog ini kerana pulang bercuti di kampung. Sepanjang seminggu berada di kampung (Kota Bharu)banyak peristiwa telah berlaku yang boleh menjadi iktibar dan dikongsi bersama. Pada tengahari hari raya pertama, abang saya (Ahmad Tarmizi) menjemput saya ke rumah mentuanya di Lundang (juga ayah angkat saya) pada hari raya kedua untuk sedikit kenduri dan solat hajat untuk kakak iparnya (Dr. Tg. Norbanee) yang sedang menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang belakang kerana penyakit leukemea di Singapura. Keadaan Dr Norbanee, bertambah kritikal walaupun pemindahan berjaya dijalankan kerana komplikasi kimoterapi yang merosakkan kebanyakan anggota dalamannya.

Pada petang hari raya pertama kira selepas Asar, saya mendapat penggilan daripada abang saya mengatakan bahawa Dr. Norbanee telah meninggal dunia, Inna Lillah. Allah lebih menyayangi beliau. Saya amat bersedih kerana saya kenal baik dengan Dr. Norbanee. Banyak juga kenangan kami bersama sepanjang saya kenal dengan keluarganya semenjak daripada tingkatan lima lagi (1992).

Kak Nor sememangnya disenangi ramai, seorang yang baik, solehah, banyak berjasa kepada masyarakat. Beliau adalah Doktor Pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Kematian beliau merupakan satu kehilangan kepada umat Islam kerana kepakarannya sememangnya diperlukan oleh masyarakat. Saya boleh kategorikan beliau sebagai salah seorang ulama' tempatan dalam erti kata ilmu perubatan kerana ilmu perubatan yang cukup saintifik sememangnya sukar untuk dikuasai. Seseorang pakar mengambil masa bertahun lamanya untuk mendapat kepakaran bidang yang diceburinya.

Setelah mengetahui berita sedih ini, saya bersama ibu dan adik beradik telah menziarahi keluarga beliau selepas solat Asar. Jenazah beliau baru bertolak daripada Singapura dan dijangka sampai pada tengahari hari raya kedua. Sebelum pulang, saya meminta izin kepada abang saya untuk menasihati bapa mentuanya yang saya panggil sebagai Abuya tentang adab dan kaedah menyambut kematian mengikut sunnah nabi. Saya katakan keluarga simati yang sedang bersedih tidak perlu menyediakan apa-apa untuk para tetamu seperti lazimnya dilakukan oleh masyarakat setempat di Kelantan.

Setelah pulang, abang saya menelefon dan menyatakan, ada saudara simati telah campur tangan dan meminta penyediaan pakej kematian yang berharga kira-kira RM 1000 lebih. Pakej itu termasuk bayaran solat jenazah, belian nasi bungkus untuk para tetamu, bacaan talqin dan bacaan al-Quran di atas kubur. Untuk melakukan upacara tersebut, orang-orang daripada pondok terdekat akan dipanggil. Setelah berbincang panjang lebar, akhirnya hanya solat jenazah dan talqin sahaja akan diteruskan. Kesemua duit bayaran pula datangnya daripada saudara mara bukan daripada duit arwah. Pihak yang mencadangkan bayaran ini menyatakan ada ustaz yang mengatakan tidak menjadi salah sekiranya dibayar duit minyak kepada orang yang datang bersembahyang kerana diniatkan sedekah.

Saya berpendapat, keluarga simati yang perlu menerima sedekah daripada orang yang datang berziarah bukan sebaliknya. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula. Sudahlah bersedih dengan kematian, kena fikir pula mengeluarkan duit untuk bersedekah..pelik bin ajaib. Sedekah paksa ke? Saya yakin kalau sekiranya Rasulullah s.a.w masih hidup baginda akan menentang budaya ini walau ustaz mana sekalipun mengatakan boleh.

Saya juga berpendapat perkara ini tetap salah dan menyimpang daripada sunnah nabi kerana ianya tetap menyusahkan pihak keluarga simati. Jika dikatakan, duit perbelanjaan itu datangnya daripada ahli keluarga, saya akan katakan bahawa anak-anak yatim arwah lebih memerlukan duit itu daripada melayan kerenah penduduk setempat yang masih jahil. Saya juga katakan kepada Abuya, kalau kita melayan kehendak masyarakat, sampai bila pun penindasan ini akan berlaku, kita perlu mendidik mereka kepada ajaran Islam yang sebenar. Bayangkan bagaiamanakah keadaannya sekiranya yang mati itu orang miskin? Persoalan berikutnya ialah, bagaimanakah statusnya solat oleh orang yang dibayar upahnya? Fikirkanlah.

Akhir sekali, kami semua bersedih di atas pemergianmu Kak Nor. Saya katakan kepada Abuya, walaupun pada zahirnya Kak Nor meninggal dunia, tetapi sebagai orang mukmin, kita yakin sebenarnya Kak Nor hanya berpindah ke negeri lain iaitu negeri barzakh yang kelak akan juga kita kunjungi. Pujuklah hati kita dengan memahamai erti perpindahan ini. Mungkin kehidupan seorang ulama' seperti Kak Nor di alam barzakh lebih membahagiakan, bebas daripada kesakitan, penderitaan dan kesibukan seperti hidup di dunia ini. Harimau mati meninggalkan belang, ulama' mati meninggalkan nama, jasa, amal jariah dan zuriat yang soleh dan solehah Insya Allah!

Wednesday, December 3, 2008

JANGAN EKSPLOIT WANITA ISLAM UNTUK LUMBA HALAL (PETRONAS SPRINTA & F1)



Sedih rasanya apabila melihat di dalam akhbar tempatan (Berita Harian,4/12/2008)anak gadis Melayu Islam bergambar di samping pelumba kereta atau pelumba motor di dalam litar lumba dengan pakaian yang menjolok mata. Sekiranya tidak ditaja oleh mana-mana syarikat berdaftar maka perlumbaan itu akan dilabel sebagai lumba haram dan gadis-gadis yang kelihatan di litar haram itu akan digelar sebagai bohsia, gadis murahan dan sebagainya. Sebaliknya jika sebarang perlumbaan telah ditaja oleh syarikat milik kerajaan, ianya menjadi halal dan gadis-gadis yang terlibat memayungi para pelumba pula digelar sebagai gadis litar atau gadis payung.

Fenomena ini menggambarkan pentafsiran yang fleksibel kepada hukum halal dan
haram yang telah ditetapkan oleh Allah. Seolah-olah sebarang kemungkaran atau eksploitasi kepada wanita Islam akan menjadi halal sekiranya mendapat lesen daripada pihak berkuasa.

Wanita dipandang tinggi oleh Islam kerana kejadiannya yang unik, cantik dan berguna untuk membentuk sesebuah masyarakat yang bahagia. Peranan mereka kadangkala lebih besar dan kritikal berbanding kaum lelaki kerana sifat keibuan mereka dan hubungan mereka yang lebih akrab dengan anak-anak yang merupakan generasi pelapis sesebuah masyarakat dan negara. Wanita juga merupakan sayap kiri kepada kaum lelaki kerana mereka tidak akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan kaum wanita yang mungkin bergelar isteri, ibu, nenek, guru, jururawat, doktor, peniaga dan sebagainya. Sekiranya wanita di dalam sesebuah masyarakat dan negara rosak akhlaknya maka generasi di bawah didikannya akan lebih rosak lagi.

Oleh sebab itu, Islam telah menggariskan bahawa wanita perlu dijaga, dihormati dan ditatang sebaik mungkin kerana sebarang kepincangan kepada wanita akan mengakibatkan kepincangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara. Untuk memahami bentuk penjagaan dan penghormatan Islam terhadap wanita perlulah dilihat di dalam kerangka al-Quran dan al-Sunnah kerana Allah yang mencipta wanita paling mengetahui bagaimana cara terbaik untuk mengurus dan menjamin kebahagiaan mereka di dunia ini. Sebarang usaha untuk mengenepikan panduan Islam tentang isu-isu wanita sudah pasti akan membawa kepada kepincangan.

Sebenarnya, tindakan menggunakan gadis-gadis Melayu Islam untuk menjadi pengiring atau pembawa payung kepada para pelumba di litar lumba jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tindakan sedemikian seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita yang disamakan seperti pengiring murahan. Untuk melengkapkan penyertaan mereka di litar lumba, mereka diarahkan untuk memperagakan jenis-jenis pakaian yang menjolok mata yang bertentangan dengan Islam dan budaya Timur. Tambah menyedihkan lagi sesetengah akhbar harian tempatan mulai menyiarkan biodata sesetengah gadis litar yang beragama Islam. Seolah-olah Islam pada para gadis ini hanyalah satu agama keturunan yang langsung tidak boleh memagari tindakan mereka daripada terlibat dengan perkara yang tidak berfaedah dan dilarang oleh Islam. Usahlah digadaikan maruah diri hanya kerana mengharap habuan bayaran yang tidak seberapa dan kemasyhuran yang sekejap.

Janganlah segala budaya asing di litar lumba hendak dicedok untuk mencari kesesuaian. Sikap selektif terhadap sebarang pengaruh luar perlu dimiliki oleh para penganjur sukan sebegini kerana kita tidak perlu malu dengan identiti sopan orang Islam dan Timur. Kita yang sememangnya kaya dengan nilai agama dan budaya Timur tidak patut terpengaruh dengan budaya Barat yang menyimpang.

Sekiranya fenomena ini dibiarkan berleluasa, tidak mustahil suatu hari nanti, anak gadis Melayu Islam akan bertambah berani melakukan sesuatu kemungkaran menjangkau batasan agama dan budaya Timur setanding masyarakat Barat yang sudah jauh menyimpang daripada norma agama dan budaya. Pihak kerajaan melalui autoriti agama Islam seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertindak segera untuk menangani masalah yang mungkin disangka kecil ini. Islam berpegang kepada konsep Sadd al-Dhara’I (pencegahan lebih baik daripada merawat). Sekiranya tidak dibendung, Islam hanya akan tinggal sebagai nostalgia sahaja pada sesetengah umat Islam di negara ini.

Pihak kerajaan yang memegang amanah Allah mentadbir negara seharusnya peka dengan masalah ini kerana mereka memikul tanggungjawab mencorak masyarakat sebagaimana sabda baginda Rasulullah s.a.w; "Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin bertanggung jawab atas kepemimpinannya. Imam itu pemimpin dalam keluarganya, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Laki-laki itu pemimpin, bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Wanita itu pemimpin dalam rumah tangganya, dan bertanggung jawab tentang kepemimpinannya. Khadam itu pemimpin bagi harta majikannya, bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya. (Sahih al-Bukhari).

Sepatutnya pihak pengajur perlu bijak di dalam penganjuran acara seperti ini kerana acara tersebut masih boleh berjalan lancar dengan keuntungan yang besar tanpa adanya gadis–gadis litar yang berpakaian menyakitkan mata. (Lihat contoh perlumbaan tanpa gadis litar di Kelantan, http://amalkelate.wordpress.com/2008/06/12/kejuaraan-cub-prix-aam-petronas-sprinta-malaysia-2008-tesco-lembah-sireh-kota-bharu/) Bahkan jika ditanyakan kepada para penonton sukan ini apakah tujuan asal kedatangan mereka ke litar lumba, apakah agaknya jawapan mereka? Adakah kerana ingin melihat kepakaran memandu para pelumba atau menilai pakaian gadis litar mana yang paling seksi serta menggiurkan? Allah telah memuliakan kita dengan akal untuk berfikir. Oleh itu, fikirkanlah.


ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

WOMEN IS NOT CREATED TO FREELY BE DISPLAYED TO PUBLIC EYES

Tuesday, December 2, 2008

TAFSIR SURAH AL-A'RAF (11-30) KENALI MUSUH SEBENAR ANDA

Malam tadi (Selasa,2/12/2008)semasa mengajar kelas Tafsir di IfLA, UIAM, saya membaca surah al-A'raf (ayat11-30) tentang kisah godaan pertama Iblis terhadap Adam. Beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan peristiwa tersebut ialah;

1-Tujuan Iblis menggoda Adam & Hawa adalah untuk melucutkan pakaian mereka di dalam Syurga kerana pakaian yang menutup aurat adalah salah satu nikmat pertama yang dikurniakan kepada manusia. Oleh itu sesiapa sahaja yang cenderung kepada pendedahan aurat sebenarnya telah tergoda dengan Iblis dan kufur dengan nikmat kemuliaan pakaian. Firman Allah;[7.20] Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)".



Ayat di atas juga menunjukkan bagaimana Iblis yang cuba menggoda Adam telah melakukan research tentang kelemahan Adam. Sudah menjadi sifat manusia inginkan kuasa luar biasa dan hidup yang berkekalan. Sebagai buktinya, manusia biasa yang tidak mendapat hidayah agama amat risau sekiranya kesan-kesan ketuaan mulai muncul di wajah mereka. Untuk mengelakkan ketuaan mereka sanggup berbelanja ribuan ringgit dan berbuat apa sahaja seperti menggunakan botox, kosmetik surgery dan sebagainya). Di samping itu mereka juga takutkan kematian, jikalau diberikan pilihan, manusia tidak mahu mati sampai bila-bila. Begitu juga dengan kuasa yang luar biasa, saban hari berbagai-bagai watak super hero dicipta sebagai satu cerminan keinginan hidup manusia yang hauskan kuasa seperti para malaikat. Dua kelemahan manusia ini telah dieksploit sebaik mungkin oleh Iblis untuk menyesatkan Adam.

2-Di dalam usaha Iblis untuk menggoda Adam, Iblis telah menggunakan sumpah palsu yang akhirnya menewaskan Adam. Ayat ini juga menjadi dalil mengatakan sesiapa yang menggunakan sumpah palsu untuk mencapai matlamatnya, sifatnya samalah seperti Iblis. Tambah menyedihkan sekiranya sumpah palsu itu biasanya datang daripada ahli politik yang berkemungkinan suatu hari nanti menjadi pemimpin negara kita. Bayangkan bagaiamana sekiranya pemimpin lantikan kita itu sebenarnya suku sakat Iblis. Firman Allah ;[7.21] Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): "Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".

Oleh sebab itulah sesetengah ahli Sufi berta'awaauz dengan lafaz :Aku minta perlindungan dengan Allah daripada Syaitan yang direjam dan Politik


3-Setelah tewas dengan godaan Iblis, Adam dan Hawa telah menderhakai Allah sebagaimana FirmanNya di dalam surah Taha;20.121] Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

Isu yang berbangkit daripada ayat ini ialah bagaimana Adam disifatkan sebagai derhaka. Musuh Islam galak menggunakan ayat ini untuk mengecam Islam yang berdoktrin dengan kemaksuaman para nabi. Kita menjawab, kesilapan Adam itu berlaku sebelum beliau dibangkitkan menjadi nabi. Setelah itu beliau memohon ampunan kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan oleh surah al-A'raf:[7.23] Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

Doa Adam ini diterima oleh Allah dan selepas itu barulah baginda dilantik menjadi nabi sebagaimana firman Allah di dalam surah Taha yang berikutnya;[20.122] Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.


3- Berikutan kesilapan Adam itu, beliau telah diarahkan agar turun mendiami bumi, Firman Allah;[7.24] Allah berfirman: "Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)".
Ayat ini menjadi dalil bagaimana saintifiknya Islam yang hanya mengiktiraf bumi sebagai tempat kediaman manusia. Berbanding agama lain yang dibayangi oleh kepercayaan karut tentang wujudnya alam kayangan yang didiami oleh para dewa.

4-Kisah ini juga menerangkan tentang siapa musuh sebenar manusia yang perlu dihadapi iaitu Iblis dan keturunannya (syaitan). Strategi Iblis untuk menyesatkan manusia muncul di dalam berbagai cara yang kadangkala tidak dapat difahami oleh pemikiran manusia biasa yang jahil. Oleh itu ilmu berkaitan godaan Iblis ataupun ilmu-ilmu agama amat penting dikuasai agar kita tidak terjerumus ke dalam perangkap Iblis. Oleh sebab itu, Ibn al-Jawzi telah mengarang kitab khusus (Talbis Iblis-Belitan Iblis) menerangkan tentang bentuk-bentuk godaan Iblis yang halus dan tersembunyi.

Godaan Iblis begitu kompleks, kadangkala sesuatu perjuangan yang kita lancarkan kepada saudara Islam kita yang berlainan fahaman juga merupakan di antara jarum Iblis yang meresap masuk kepada umat Islam. Seumur hidup mereka habis hanya untuk menyerang musuh mazhab/fahaman mereka. Akibatnya perpecahan sesama Islam berterusan berlaku. Yang jahil masih tetap dengan kejahilan.



Pada masa yang sama musuh-musuh Islam dengan berbagai-bagai pakaiannya berterusan merosakkan umat Islam. Di sini saya utarakan satu link yang sememangnya menjadi musuh umat Islam.

1- http://www.answering-islam.org/Bahasa/index.html
2- http://www.e-bacaan.com

Kita harus bersedia berhadapan dengan musuh sebenar kita, janganlah sempitkan pemikiran kita dengan pergaduhan yang tidak ada kesudahannya sehingga kelihatannya seolah-olah Islam hanyalah berkisar pada isu-isu yang kita bawakan itu sahaja.


ABDULLAH BUKHARI
CUBA MENGENAL MUSUH SEBENAR ISLAM

Saturday, November 29, 2008

ONGBAK 2: PATRIOTIKNYA ORANG SIAM!


Tengahari ini, ketika melayari internet, secara tidak sengaja saya terjumpa Trailer Filem Ongbak 2 lakonan Tony Jaa yang akan ditayangkan pada pertengahan Januari 2009. Setelah menonton trailer tersebut, saya merasa amat kagum dengan pemikiran beliau di dalam mempromosikan dunia Timur kerana biasanya hanya dunia Barat dilihat hebat dengan tamadunnya. Di dalam filem ini beliau telah menyatukan seni bela diri daripada Timur menjadi satu di dalam seorang watak utama filem tersebut. Slogannya yang boleh difahami daripada filem ini ialah ; The Land of the East is Borderless.



Samalah juga 2 filem beliau sebelum ini, Ongbak 1(menyelamatkan kepala patung Budha) & Tom Yum Gong (menyelamatkan gajah peliharaan keluarganya yang dicolek ke Australia untuk menjadi hidangan di restoren makanan eksotik-gajah juga merupakan binatang kebanggaan Thailand), kedua-duanya mempunyai mesej agama dan semangat patriotism yang cukup jelas. Sepatutnya pembikin filem di Malaysia mencontohi semangat sedemikian, jangan hanya menerbitkan filem yang sedap ditonton tetapi kosong daripada sebarang mesej. Sikap kreatif Tony Jaa yang harus dipuji ialah mencipta filem yang membawa mesej agama, diisi sarat dengan aksi bela diri yang luar biasa dan jalan penceritaan yang logik dan menarik. Filem sedemikian talah berjaya menarik ramai golongan muda ke panggung wayang.

Pernah suatu hari, saya berbual dengan Encik Zulkifli atau lebih kami kenali dengan nama Ayah Zu. Beliau merupakan Timbalan Pengarah FINAS. Beliau merupakan bapa saudara kepada kakak ipar saya. Beliau bertanya kepada saya mengapa orang-orang agama di Malaysia tidak memikirkan untuk membuat satu filem yang sehebat filem Ongbak. Walaupun filem tersebut menyentuh tentang bagaimana pentingnya kepala patung Budha kepada kampung watak utamanya, namun ianya membawa mesej akidah yang cukup jelas. Menurut Ayah Zu, tidak dapat dinafikan filem boleh menjadi satu medium dakwah yang cukup berkesan. Namun yang menjadi masalahnya ialah, para pembikin filem Islam di Malaysia seakan hilang punca kerana kurangnya ilmu pengetahuan yang sebenar berkaitan Islam.

Kalau adapun filem bercorak Islamik kelihatan seperti terlampau kudus sehingga menampakkan Islam suatu agama yang mustahil dihayati, atau filem tersebut jauh menyimpang daripada Islam yang sebenar kerana kejahilan pereka skrip atau pengarahnya. Akibatnya, Islam tidask dipandang hebat. Agak sinis jika dikatakan, lambang filem Islam di Malaysia ialah berdasarkan tajuk-tajuknya sahaja. Sekiranya filem tersebut memiliki nama-nama seakan Arab, itulah filem Islam walaupun isinya kadangkala membawa kepada khurafat seperti filem lakonan M.Rajoli Liang Lahad.



Untuk itu, orang agama perlu tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan orang filem untuk menghasilkan sebuah filem Islam yang sebenar, sarat dengan pengajaran dan mampu menarik semua lapisan masyarakat. Mendengar cadangan beliau itu, saya merasa tercabar, namun apakan daya saya tidak mempunyai saluran yang betul untuk mengketengahkan idea-idea baru Islam melalui filem. Pada satu segi, ini sebenarnya menunjukkan bahawa orang agama perlu juga bergaul dengan orang filem atau mempelajari ilmu-ilmu tentang filem agar bidang ini boleh dieksploit sepenuhnya untuk menyebarluaskan lagi dakwah Islam.

ABDULLAH BUKHARI

MINAT FILEM AKSI BERMESEJ

KHURAFAT HAJI



Pada malam Khamis lepas (27/11/2008), salah seorang murid tua saya di Kelas Tafsir Titiwangsa (Hajah Khairiah) telah menjemput saya untuk kenduri doa selamat sempena pemergian anaknya menunaikan Haji. Dan seperti biasa, saya akan mengatakan bahawa kalau setakat nak berdoa selamat atau bertahlil, tidak perlu saya datang dari jauh hanya untuk 2 tujuan di atas. Tambahan pula hari itu, lalu lintas di Kuala Lumpur agak sesak kerana hujan lebat dan untuk menghadirkan diri ke rumah beliau saya terpaksa menunggang motor meredah.

Tapi Alhamdulillah, kebanyakan murid saya sedia maklum bahawa setiap kali saya hadir ke majlis-majlis mereka, saya akan membawa pendekatan ilmiah iaitu mermberikan tazkirah tentang isu majlis. Pada malam tersebut, saya menyentuh tentang isu Haji, kelebihan dan cara mendapat Haji Mabrur juga khurafat-khurafat yang perlu dielakkan semasa Haji.(http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=58)

Sebenarnya isu khurafat semasa Haji sudah sedia berlaku semenjak zaman jahiliah lagi, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah: [2.189] Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."

Semasa menyentuh isu khurafat, saya ada memberikan contoh khurafat di Mekah iaitu memeluk tiang Jin atau mengambil apa-apa sahaja daripada Masjid Jin untuk dibawa pulang ke Malaysia dengan kepercayaan bahawa jin-jin Mekah adalah jin Islam yang akan menjadi khadam yang setia. Saya seterusnya menjelaskan bagaimana asal usul Masjid Jin boleh dinamakan. Adakah kerana imamnya atau ahli jawatankuasanya seorang jin atau sebaliknya.

Sebenarnya, Masjid Jin disempenakan dengan tempat pertemuan nabi s.a.w dengan Jin. Kisah tersebut boleh dilihat pada intisari surah Jin dan surah al-Ahqaf [46:29-32]. Di dalam majlis tersbut, saya juga menyatakan menurut ayat-ayat al-Quran Jin biasa mencuri dengar berita langit untuk dibisikkan kepada para pawang dan kahin. Setelah baginda s.a.w diutuskan, pintu langit telah ditutup untuk menjamin keselamatan dakwah nabi. Mana-mana jin yang cuba mencuri dengar akan dipanah atau ditembak dengan panah berapi (tahi bintang) (al-Hijr;[15:18],al-Saffat;[37:8-10]). Saya menjelaskan kepada hadirin sebenarnya kepercayaan yang mengatakan tahi bintang akan membawa impian dan hajat kita adalah karut. Sesetengah orang mempercayai bahawa setiap kali tahi bintang melintas, kita perlu memasang hajat untuk dimakbulkan. Donktrin karut sebegini biasa diterapkan di dalam filem-filem asing seperti filem Koch Koch Hota Hei, Zathura dan sebagainya. Setelah menyatakan isu tahi bintang ini, sebahagian anak-anak muda di dalam majlis tersebut kelihatan terkejut kerana mereka sudah sekian lama berpegang kepada khurafat itu. Saya nyatakan Qada' Qadar Allah tidaklah selemah itu, hanya bersandarkan kepada lintasan tahi bintang sahaja. Saya merasa puas kerana saya sudah berjaya menyangkal khurafat ini.

Di akhirnya saya memberikan panduan untuk mendapat Haji Mabrur kepada bakal Hajah. Saya nyatakan bahawa Haji Mabrur bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai, ianya bergantung kepada keazaman kita untuk mencapai martabat taqwa yang disebut di dalam surah al-Hajj;[22.37] Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.



Sekiranya selepas pulang dari haji, si Hajah masih tidak mengubah cara hidup kepada gaya hidup Islam yang sebenar, secara terang kita dapat katakan hajinya bukanlah Haji Mabrur. Sebaliknya jika si Hajah cuba mengubah hidup selepas pulang haji dengan menepati piawaan taqwa yang dituntut oleh Allah, kita yakin bahawa si Hajah telah mendapat Haji Mabrur yang disifatkan nabi sebagai pembersihan diri daripada dosa dengan pembersihan yang sebenar (Sahih al-Bukhari;Bab Kelebihan Haji Mabrur).

Pakaian taqwa ini hendak dipakai bersama dengan gelaran Haji atau Hajah selepas pulang daripada haji. Sindiran akhir saya yang berisi tazkirah kepada jemaah yang hadir pada majlis tersebut ialah; Janganlah disia-siakan wang, masa, dan segala pengorbanan untuk menunaikan haji sekadar hanya untuk mendapat title Tuan Haji atau Puan Hajah sahaja, sebaliknya segala pengorbanan itu dipastikan berbaloi dengan fadhilat Haji Mabrur yang tiada tukar gantinya.


ABDULLAH BUKHARI
YA ALLAH! BERIKANLAH KEPADANYA HAJI YANG MABRUR!

Wednesday, November 26, 2008

JANGAN EKSPLOIT WANITA UNTUK IKLAN MURAHAN




Sedih rasanya apabila melihat di dalam akhbar tempatan anak gadis Melayu Islam bergambar di samping pelumba kereta atau pelumba motor di dalam litar lumba. Kalau sekiranya tidak ditaja oleh kerajaan maka perlumbaan itu akan dilabel sebagai lumba haram dan gadis-gadis yang terlibat di litar lumba haram digelar sebagai bohsia, gadis murahan dan sebagainya. Sebaliknya sekiranya perlumbaan itu ditaja oleh syarikat milik kerajaan, ianya menjadi halal, gadis-gadis yang terlibat memayungi para pelumba pula digelar sebagai gadis litar dan tidak semurah bohsia-bohsia di litar lumba haram. Inilah yang dikatakan haram bila tidak berlesen, sekiranya mempunyai lesen, haram akan menjadi halal walaupun Allah sendiri telah mengatakannya haram.

Wanita dipandang tinggi oleh Islam kerana kejadiannya yang unik, cantik dan menjadi kembar atau sayap kepada kaum lelaki. Kaum lelaki tidak akan dapat berdiri sendiri tanpa bantuan kaum wanita yang mungkin bergelar isteri, ibu, nenek, guru, jururawat, doktor, peniaga dan sebagainya. Cuma yang menjadi masalah kepada umat Islam ialah kesilapan di dalam memahami penghormatan Islam terhadap wanita. Lalu lahirlah kumpulan-kumpulan yang ekstrem memperjuangkan hak sama rata di antara lelaki dan wanita.

Mereka beranggapan bahawa tindakan Islam membungkus wanita, menghadkan kebebasan wanita sebagai suatu penindasan. Wanita sepatutnya dibebaskan daripada belenggu agama yang menurut mereka berasal daripada tafsiran para ulama’ Arab yang bias gender kerana terbiasa dengan budaya dan dunia mereka di tanah Arab. Lalu bentuk pemahaman hukum yang baru mengenai hak wanita perlu dijalankan. Mereka ini dengan berani menyangkal persoalan aurat dengan menyatakan bahawa Islam melalui al-Quran hanya menekankan persoalan kesederhanaan di dalam berpakaian. Apa yang penting pakaian takwa sepatutnya menjadi keutamaan dengan merujuk sebahagian makna daripada ayat surah al-A’raf([7.26] Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Pentakrifan penghormatan kepada wanita juga agak berbeza di antara kefahaman orang bukan Islam yang hanya disandarkan kepada akal berbanding kefahaman umat Islam yang bertunjangkan al-Quran dan al-hadith. Orang Barat beranggapan wanita perlu dihargai kecantikannya yang menarik. Untuk itu, semua perkara yang diperdagangkan akan diserikan dengan wanita cantik. Mungkin mereka mengatakan produk ini secantik wanita yang sedang berdamping dengannya.

Salah faham tentang fungsi wanita ini, telah meresap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Buktinya sebelum Malaysia mempunyai litar lumba, tidak kedengaran gadis-gadis Melayu Islam berpakaian seksi mengiringi para pelumba. Akan tetapi setelah lumba dihalalkan oleh kerajaan di atas nama perniagaan, anak gadis kita menjadi mangsa. Sesetengah gadis dan ibu bapa yang jahil dan terpengaruh dengan pentafsiran Barat tentang takrifan penghormatan kepada wanita dengan rela hati tampil menawarkan diri untuk dipamerkan sebagai gadis litar. Kehadiran mereka perlu disesuaikan dengan sukan tersebut, lalu cara berpakaian mereka tidak ubah seperti pakaian gadis-gadis litar bukan Islam lain daripada negara orang Putih atau negara bermata sepet.



Sepatutnya pihak kerajaan melalaui JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menyatakan dengan jelas bahawa penglibatan gadis-gadis litar beragama Islam, berbangsa melayu diharamkan sama sekali kerana anak gadis kita bukan barang dagangan untuk dipamerkan kepada awam. Tambah menyedihkan lagi pakaian mereka yang menjolok mata sudah pasti akan memberikan berbagai-bagai fantasi jahat kepada para penonton berbilang bangsa bahkan dari seluruh dunia.

Kalau perlu pengharaman ini juga dipanjangkan kepada sebarang eksploitasi wanita di dalam semua iklan yang langsung tidak releven dengan wanita. Bak kata Mat Sabu, iklan ais krim menggambarkan seorang wanita dengan ghairahnya menelan ais krim ketika panas dan haus. Adalah lebih releven sekiranya iklan ais krim itu menggunakan seorang petani yang baru pulang daripada kebun kehausan dan kepanasan. Kehausan petani itu amat sesuai dihilangkan dengan memakan ais krim jenama terbabit. Namun sebenarnya sukar untuk mengubah fenomena ini kerana pada kebiasaannya semua orang sukakan kemasyhuran dan publisiti walaupun terpaksa menggadai maruah diri dan agama.

ABDULLAH BUKHARI
JAGA DIRI ANDA DAN KAUM KELUARGA ANDA DARIPADA API NERAKA (AL-TAHRIM:66)

Tuesday, November 25, 2008

MUFTI PERLU MENGGUNAKAN MEDIA UNTUK BERDAKWAH

Dengan berakhirnya bulan November 2008, Malaysia mungkin akan sunyi seketika daripada ulasan atau pendapat yang diutarakan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Sepanjang tempoh penglibatan beliau sebagai Mufti Perlis, kita dapati bidang agama di Malaysia seolah-olah sudah melangkah ke era baru di mana orang agama mulai mendapat tempat di dalam apa sahaja perbincangan.

Walaupun kerap tampil dengan berbagai isu kontroversi dan kadang kala dikatakan gila publisiti, namun tidak dapat dinafikan beliau telah berjaya mencipta satu fenomena baru kepada pemikiran agama di Malaysia yang menunjukkan perlunya paradigma baru di kalangan orang agama.

Di antara salah satu faktor yang menyebabkan pemikiran beliau banyak kedengaran dan sampai kepada masyarakat awam ialah pengaruh penggunaan media massa perdana dan media alternatif seperti laman web rasmi dan blog peribadi. Apa sahaja yang diceramahkan oleh beliau akan segera dimasukkan ke dalam laman-laman web, blog-blog peribadi dan youtube. Setakat carian untuk ceramah dan artikel yang dilakukan melalui internet, kebanyakan paparan menjurus kepada Mufti Perlis dan Mufti Perak. Sepatutnya langkah proaktif menggunakan segala bentuk media tersebut perlu dicontohi oleh semua mufti lain di Malaysia.

Peranan para mufti selaku penasihat agama atau pakar rujuk masalah hukum hakam mesti diperluaskan sebaik mungkin dengan segala salurannya. Janganlah jawatan mufti hanya terhenti di pejabat para mufti sahaja yang tampak begitu ekslusif dan sukar didekati apatah lagi untuk dirujuk oleh masyarakat awam yang sememangnya memerlukan bantuan konsultasi hukum hakam. Setakat yang diperhatikan, para mufti lebih menonjol di dalam rancangan statik Bicara Mufti dan Forum Perdana Ehwal Islam sahaja. Skop penampilan para mufti seharusnya perlu lebih ketara kerana untuk memasarkan pemikiran bernas mereka kepada masyarakat awam, kemunculan yang kerap di media perdana amatlah membantu.

Selain itu, penggunaan laman web rasmi atau blog peribadi amat berguna untuk berinteraksi dengan masyarakat bawahan tanpa halangan birokrasi. Para pengunjung laman web atau blog peribadi tidak perlu bersusah payah membuat temujanji untuk bertemu para mufti dan mengajukan soalan. Penulis percaya sekiranya setiap mufti mempunyai laman web sendiri yang semasa, interaktif, dikemaskini setiap hari dan menarik sudah pasti ramai penganut Islam di Malaysia akan berpusu-pusu mengunjunginya untuk bertanya soalan atau mengambil manafaat ilmiah (contoh laman web interaktif ialah laman web Mufti Perlis drmaza.com)

Dengan cara ini fungsi para mufti akan lebih terserlah sebagai pembimbing masyarakat dan juga mampu membawa para mufti kepada masyarakat awam Islam tanpa perlu turun berjumpa mereka. Jangan sampai jawatan mufti dilihat terlalu kudus dan hanya berfungsi sebagai penasihat agama yang sukar didekati. Kadangkala kesilapan ini juga menyebabkan masyarakat awam yang masih jahil sukar untuk menghormati Institusi Mufti kerana benteng pemisah yang wujud kerana kurangnya interaksi di antara kedua-dua belah pihak. Penggunaan teknologi moden yang dicadangkan di atas pasti boleh membantu untuk memecahkan benteng tersebut.
Kalau musuh Islam boleh menggunakan media alternatif ini untuk menyebarkan berbagai-bagai fahaman mereka yang salah, kenapa para mufti tidak boleh memanafaatkan medium yang sama semaksimum mungkin untuk menyebarluaskan ajaran Islam.

Mufti seharusnya kreatif, peka dan terkehadapan di dalam penggunaan teknologi moden. Gunakan segala wasilah yang ada untuk berdakwah kerana dakwah di zaman siber mungkin menjadi fardu kifayah kepada para ulama biasa, akan tetapi boleh menjadi fardu ain yang mendesak kepada para mufti yang menjadi tonggak kedaulatan Islam di Malaysia.

Ingatlah, orang mukin yang alim dan bertakwa tetapi tidak berperancangan akan kalah dengan orang kafir yang jahat, zalim dan berperancangan. Hidup di era globalisasi, dunia tanpa sempadan adalah sama seperti hidup di zaman darurat peperangan. Tanpa disedari umat Islam boleh diserang pemikiran mereka daripada segenap penjuru. Para mufti sebagai jeneral-jeneral Islam di Malaysia harus terkehadapan mengatur strategi menangkis serangan dan menyebarkan Islam dengan segala kemudahan media moden yang ada.


OLEH:

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

Monday, November 24, 2008

BANYAK LAGI ALTERNATIF SELAIN YOGA



Fatwa yang dikeluarkan berkaitan dengan Yoga telah mengundang kontroversi berbagai pihak sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan. Polemik ini nampaknya seakan-akan mencabar kredibiliti Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar-pakar di dalam ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun, usaha Majlis Fatwa yang bersidang khusus untuk membincangkan isu Yoga sepatutnya dipuji semua kerana badan ini sememangnya bertanggungjawab untuk menyelamatkan umat Islam daripada pencemaran akidah yang akan menyebabkan kesengsaraan mereka di akhirat kelak.

Perlu diingat, fatwa yang dikeluarkan itu menyatakan bahawa umat Islam diharamkan mengamalkan senaman Yoga secara sistematik yang membawa kepada penyatuan diri dengan Brahma atau Tuhan. Penyatuan ini disangkal sama sekali oleh Islam. Persoalannya, mengapa sesetengah kita mengeluh apabila Yoga diharamkan dengan alasan bahawa Yoga mempunyai banyak kelebihan dan faedahnya. Seolah-olah di dunia ini senaman kesihatan tubuh badan tidak dapat dilakukan tanpa Yoga. Bukankah banyak lagi pilihan senaman yang bersih daripada unsur-unsur akidah yang boleh diamalkan seperti Pilates, Senaman Harimau, Senaman Kucing, Senaman Silat Melayu, Senaman Aerobik dan sebagainya. Semua senaman yang disebut di atas juga mempunyai elemen kesihatan yang tinggi nilainya dengan gabungan pergerakan fizikal dan pernafasan yang tidak bertentangan dengan akidah Islam.


Apa yang pasti senaman hanyalah wasilah untuk mencapai kesihatan fizikal sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Sekiranya Yoga bercampur baur dengan doktrin agama Hindu, apalah salahnya kita beralih pula kepada jenis-jenis senaman lain yang tidak kurang hebatnya berbanding Yoga. Kejayaan orang-orang Hindu menerapkan fahaman agama mereka melalui kaedah senaman seperti Yoga, bahkan menjenamakannya sebagai senaman antarabangsa patut dicontohi oleh umat Islam dari sudut dakwah. Seharusnya para pengusaha senaman Melayu Islam cuba mempromosikan pula senaman Melayu bersulam ajaran Islam kepada dunia. Usaha sedemikian pastinya melambangkan semangat patriotisme kita sebagai rakyat Malaysia.



Janganlah kerana fanatik mempertahan satu senaman di celah-celah berbagai-bagai senaman yang sedia wujud kita menggadaikan persoalan akidah yang merupakan tunjang utama agama Islam. Ingatlah firman Allah yang bermaksud; Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.(al-Ma’idah [5:100])

Buanglah kepercayaan karut yang mengatakan bahawa senaman kesihatan hanya boleh dilakukan dengan Yoga sahaja. Sekiranya kita begitu fanatik dengan amalan Yoga, boleh juga dicadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan agar senaman Yoga diIslamkan dengan membuang unsur-unsur agama Hindu di dalamnya kerana pastinya semua ilmu yang wujud di alam ini pastinya berasal daripada kebijaksanaan Allah yang al-Hakim. Juga renunglah sabda baginda s.a.w yang bermaksud; Hikmah (Kebijaksanaan atau Ilmu Pengetahuan) adalah barang kehilangan orang Muslim, di mana sahaja (Muslim) menemukannya (hikmah), hendaklah dia mengutipnya" (Sunan al-Tirmidhi & Ibn Majah)


ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

SILAT MELAYU KAYA SENAMAN

Hujah pengharaman yoga

Disertakan di sini link jakim yang menyatakan hujah-hujah pengharaman yoga,cukup akademik, boleh baca sendiri.
http://www.islam.gov.my/ajaransesat/pdf/Hujah%20Pengharaman%20Yoga.pdf

Sunday, November 23, 2008

PERKENALKAN ANGGOTA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN KEPADA MASYARAKAT UMUM


Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan nadi umat Islam di zaman moden ketika berbagai-bagai isu baru timbul yang memerlukan keputusan hukum halal atau haram. Penetapan hukum penting untuk umat Islam kerana kehidupan mereka yang disulam ketetapan hukum halal atau haram akan menentukan duka atau bahagianya kehidupan mereka di akhirat kelak. Walaupun sudah teguh berdiri menangani masalah umat Islam, tidak kurang juga kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh badan ini seperti isu pengharaman Pengkid baru-baru ini dan juga Yoga.

Salah satu cara untuk mempertahankan institusi ini daripada terus dipertikaikan kredibilitinya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ialah dengan mendedahkan profil setiap anggotanya atau lebih tepat lagi mengisytiharkan carta organisasi badan ini kepada masyarakat awam Islam. Pendedahan sedemikian amat penting kerana sesetengah masyarakat awam yang jahil tentang fungsi badan ini beranggapan Majlis Fatwa Kebangsaan hanya dianggotai oleh mufti-mufti lantikan kerajaan negeri sahaja. Tambah parah lagi sesetengah mereka mengatakan kredibiliti mufti-mufti tersebut masih boleh dipertikaikan kerana ada di kalangan mereka bukan daripada bidang pengajian Syariah dan hanya berkelulusan ijazah pertama sahaja.

Oleh itu pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu menerangkan secara telus kepada masyarakat awam Islam tentang senarai ahli akademik atau ahli panel yang menganggotai badan tersebut. Di samping itu penerangan tentang tempoh kajian yang dibuat, unit-unit yang wujud serta fungsinya juga perlu diterangkan untuk menambah keyakinan masyarakat awam Islam di Malaysia bagi mengelakkan sebarang pertikaian yang mungkin timbul. Kadangkala sebarang pertikaian timbul diakibatkan oleh ketidakjelasan tentang fungsi sebenar sesuatu badan. Benarlah kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta'.

Untuk itu media massa perdana Negara perlu memainkan peranan utama untuk membantu memperkenalkan Majlis Fatwa Kebangsaan kepada masyarakat awam. Dengan pengumunan tersebut, kemungkinan suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan badan ini tidak lagi kedengaran. Kalaupun masih kedengaran, suara itu tidak akan lagi dihiraukan kerana umat Islam di Malaysia sudah kenal dengan pemfatwa-pemfatwa mereka juga yakin dengan kelayakan yang mereka miliki.

Selain itu, pengumuman ini juga dapat memperlihatkan kepada masyarakat awam yang sebenarnya umat Islam di Malaysia masih mempunyai ramai tokoh berwibawa walaupun tidak terkenal di kaca television. Kalau sekiranya media massa tempatan boleh menyiarkan secara berterusan isu atau gossip cinta, nikah cerai berkaitan dengan artis tempatan yang tidak langsung menampakkan faedahnya kepada masayarakat awam, mengapa fokus ini tidak dialihkan kepada pengenalan setiap anggota Majlis Fatwa Kebangsaan daripada segenap unit yang terlibat dengan penghasilan sebarang fatwa. Kalau perlu pengenalan kepada biografi mereka dibuat secara bersiri di waktu perdana atau di ruangan utama setiap akhbar harian. Diharap dengan adanya usaha sedemikian, Islam akan terus dihormati dan dikagumi oleh semua pihak, kerana penghormatan kepada sesuatu badan amat penting untuk menimbulkan rasa kagum serta kepada keyakinan untuk menerima sebarang keputusan yang datang daripada badan tersebut.


ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

TANYALAH KEPADA AHLINYA JIKALAU KAMU TIDAK MENGETAHUI....